Apabila mahu melakukan sesuatu kerja di komputer, tetikus sememangnya peranti yang anda perlukan untuk memudahkan kerja dilaksana. Logitech antara jenama yang terkenal dengan penawaran tetikusnya bagi golongan profesional kerana menyediakan pelbagai pilihan tetikus yang berkualiti tinggi dengan siri Logitech MX mereka, lebih-lebih lagi siri MX Master.
Pada awal Jun lalu, kami ada melaporkan bahawa Logitech telah melancarkan tetikus kompak wayarles terbaru dalam siri MX Anywhere iaitu MX Anywhere 3S. Ia adalah kemaskini daripada MX Anywhere 3, dengan diberikan beberapa peningkatan kerana ditambah ‘S’ sahaja di belakang nama.
Harga rasmi jualan MX Anywhere 3S di Malaysia adalah RM369, meletakkan ia sebuah tetikus dalam kategori premium. Malah ia lebih mahal daripada MX Master 3 pada ketika ini. Jadi apa yang bagus tentang tetikus terbaru Anywhere 3S ini berbanding dengan tetikus yang lain? Ikuti ulasan ini untuk ketahui lebih lanjut.
Binaan dan rupa bentuk
Model dalam siri Logitech MX Anywhere ini dihasilkan sebagai alternatif untuk lebih mudah alih berbanding MX Master. Jadi, sudah tentu terdapat beberapa bahagian yang perlu dikompromi untuk menghasilkan badan yang lebih kecil untuk dibawa “Anywhere”. Oleh itu, MX Anywhere 3S menampilkan luaran badan yang kompak serta berprofil rendah.
Dimensi dan beratnya yang ringan memudahkan ia untuk dibawa ke mana-mana, malah ia muat untuk dibawa di dalam poket. Warna unit yang saya terima adalah berwarna putih. Bagi saya cukup cantik tapi agak cepat meninggalkan kesan kotoran. Selain putih Logitech juga menawarkan pilihan warna hitam dan merah jambu. Pilihan warna putih ini mungkin cenderung dipilih oleh mereka yang ingin seragamkan warna peranti di meja kerja.
Di sisi tetikus terdapat tekstur bergetah berwarna putih untuk memberi cengkaman sisi yang lebih baik.
Kerangka badannya dihasilkan menggunakan plastik yang Logitech mengatakan 61% daripadanya adalah plastik yang dikitar semula. Tapi badan tetikus memang terasa berkualiti tinggi dan premium. Keseluruhan kemasannya memberikan sentuhan yang sedap dipegang di samping terdapat getah yang beralur untuk cengkaman sisi.
Lekuk badannya berbentuk ambidextrous yang ergonomik menjadikannya sesuai untuk penggunaan di dua belah tangan kiri dan kanan. Pada hemat saya, ia memberikan pengalaman mengguna yang cukup selesa. Tapi disebabkan saiznya yang comel, saya perlu menyesuaikan cara untuk menggunakannya di mana saya memakai cengkaman di hujung jari.
Butang sisi pada MX Anywhere 3S ini ditempatkan sangat sesuai untuk tangan saya yang bersaiz sederhana ini kerana sangat mudah dicapai. Tapi saya merasakan butangnya agak kurus sedikit untuk kesukaan saya walaupun ia tidak memberikan sebarang masalah ketika menggunanya.
Jika dihitung secara keseluruhan, MX Anywhere 3S mempunyai sebanyak 6 butang termasuk butang utama kiri dan kanan. Fungsinya boleh diubah suai melalui aplikasi Logi Options+.
Untuk mengecas tetikus, bahagian hadapannya terdapat port USB-C. Jadi kalau kehabisan jus bateri, anda boleh cas menggunakan kabel yang diberi dalam kotak dan tetikus boleh digunakan semasa mengecas.
Beralih pada bahagian bawah, ia dipasang empat gelungsur kaki untuk sempurnakan luncuran di permukaan, dan juga terdapat butang on/off dan butang menukar sambungan wayarles ke peranti lain. Sensornya terletak di tengah-tengah tapak tetikus.
Walau bagaimanapun, satu perkara yang kurang dengan tetikus ini adalah ia tidak mempunyai butang untuk menukar DPI terus dari tetikus. Jadi kalau nak ubah DPI anda perlu pasang perisian Logi Options+ terlebih dahulu dan menukarnya di situ.
Roda skrol elektromagnetik MagSpeed
Seperti model-model tetikus Logitech MX yang lain, MX Anywhere 3S ini juga memiliki roda skrol elektromagnetik MagSpeed. Butang skrolnya diperbuat menggunakan besi yang memberikan pentatalan rasa lebih premium berbanding tetikus lain di pasaran.
Uniknya pada skrol ini adalah ia boleh berubah antara dua mod iaitu mod skrol berklik-klik dan mod lancar berpusing tanpa had. Jadi nak tatal dengan laju bukan menjadi satu masalah untuk tetikus ini.
Untuk menukar antara dua mod, ia boleh dilakukan dengan menekan butang di bawah roda skrol. Ciri ini amat berguna jika anda sedang melakukan kerja yang perlukan penatalan yang tepat dan perlu menyelami dokumen yang panjang lebar dengan cepat. Tapi tiada info di tetikus yang menunjukkan anda berada di mod yang mana satu. Jadi untuk kenalpasti anda boleh menatal roda skrol atau melihat di perisian Logi Options+.
Bukan sahaja ada dua mod, melalui Logi Options+ juga anda boleh selaraskan berat supaya lebih ringan. Misal kata kalau jari anda terasa letih, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan daya yang perlu anda beri untuk menatal.
Tambahan pula, ada juga ciri SmartShift membolehkan skrol berubah secara automatik dari berklik ke skrol tanpa had kalau anda menatal dengan laju.
Klik senyap dan sensor baru
Antara perkara yang telah dinaik taraf di MX Anywhere 3S berbanding MX Anywhere 3 terdahulu adalah, ia kini mempunyai mekanisma butang klik yang lebih senyap. Saya boleh kata yang kliknya memang ketara lebih senyap, sekali gus menghilangkan bunyi menjengkelkan yang anda selalu dengar pada tetikus lain.
Yang saya perasan juga, suis butang tiada jarak yang besar apabila menekan habis butang utama kiri dan kanan. Jadi butang boleh ditekan tanpa perlu beri daya yang kuat dan klik suis butang terasa lembut.
MX Anywhere 3S terbaharu ini dilengkapkan dengan sensor 8,000 DPI, di mana ianya dua kali ganda lebih tinggi berbanding generasi terdahulu. Sensor tersebut adalah sensor yang sama digunakan dalam model yang lebih mewah iaitu MX Master 3S. DPI setinggi itu bermakna anda boleh menyeret tetikus dengan tepat tanpa memerlukan ruang yang besar untuk menggerakkannya.
Lebih menarik, sensor itu mampu mengesan mana-mana permukaan malah kaca. Jadi bak namanya, memang sesuai untuk dibawa “Anywhere” untuk kegunaan di luar pejabat seperti di kafe-kafe dan lapangan terbang tanpa anda perlu membawa pad tetikus bersama.
Sambungan pada komputer
MX Anywhere 3S ini menyokong dua jenis sambungan wayarles iaitu sama ada menerusi sambungan Bluetooth atau dongle Logi Bolt USB atau dulu yang dipanggil Unifying Receiver. Tapi perlu tahu bahawa dongle Logi Bolt tidak datang sekali dalam kotak bersama tetikus dan perlu dibeli secara berasingan dengan harga RM55.
Namun bagi saya sambungan Bluetooth sudah cukup sempurna untuk kegunaan harian serta lebih praktikal kerana anda tidak perlu menjinjing dongle tersebut kemana-mana anda pergi. Lagipun tiada ruang khas di tetikus untuk membolehakn dongle USB disimpan di tetikus. Tambahan pula, menggunakan sambungan Bluetooth juga tidak memakan ruang port di komputer anda.
Dengan menyambungkan MX Anywhere 3S pada perisian Logi Options+, anda boleh mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan tetikus seperti peratus bateri yang tinggal serta berupaya untuk mengubah suai lebih banyak konfigurasi tetikus. Melalui aplikasi itu juga anda boleh memetakan butang tetikus kepada fungsi yang lain.
Di samping itu, tetikus ini berkeupayaan untuk dipasang dan diingati pada tiga komputer atau laptop berbeza dalam satu masa. Jadi tak perlulah anda putuskan sambungan untuk beralih ke peranti lain, hanya klik sahaja butang yang terdapat di bawah tetikus. Tapi ciri ini tidak membenarkan anda untuk menggunakannya pada pelbagai peranti dalam satu masa.
Tapi dengan adanya Logitech Flow, anda boleh sambungkan tetikus pada pelbagai peranti serentak membolehkan anda bukan sahaja menggerakkan tetikus, malah boleh mengalih teks atau apa-apa fail antara komputer. Untuk gunakannya, perisian Logi Options+ perlu dipasang pada dua komputer yang nak digunakan dan pastikan kedua-dua komputer disambungkan pada rangkaian WiFi yang sama. Kemudian anda boleh mula gunakan tetikus secara bebas pada dua komputer serentak dengan hanya menggerakkan kursor tetikus ke komputer yang lain.
Ciri Smart Actions melancarkan aliran kerja
Lagi menarik, MX Anywhere 3S ini menyokong fitur terbaru Smart Actions membolehkan pengguna untuk mencipta aliran kerja yang lebih lancar. Terdapat pelbagai templat sedia ada yang dimuatkan di dalam Logi Options+ yang boleh anda pilih untuk membolehkan senarai aplikasi dibuka atau mengaktif fungsi dengan satu klik butang tetikus.
Antaranya anda boleh gunakan untuk persediaan waktu kerja di pagi hari membuka Zoom atau Excel, masa berehat untuk melayan Spotify dan membuka laman web kegemaran anda. Tapi ia tidak terhad pada itu. Anda juga boleh menghasilkan tempat sendiri dengan menekan pilihan “create” di bahagian kanan atas di halaman Smart Actions.
Anda boleh mengaktifkan sehingga empat profil dalam satu masa. Empat profil tersebut boleh dimetakan pada empat butang termasuk butang skrol, butang di atas skrol serta butang sisi depan dan belakang.
Jika anda sudah tidak mahu menggunakannya, templat yang aktif boleh dimatikan dengan pergi ke tab “Manage” dan tutup butang aktif. Anda juga boleh namakan semula, buang serta eksport templat yang anda buat untuk berkongsi kepada kawan.
Jangka hayat bateri
Menggunakan bateri terbina, MX Anywhere 3S dikatakan mampu bertahan sehingga 70 hari dalam satu isian penuh. Setakat seminggu saya gunakannya, tenaga yang digunakan adalah sebanyak 55% dengan tetikus menggunakan sambungan Bluetooth. Kalau diikutkan agak cepat bateri ditelan, mungkin kerana saya kerap guna dengan lebih dari 8 jam sehari. Bagaimanapun, ia bergantung pada cara penggunaan dan berapa lama tetikus digunakan dalam sehari.
Jika kehabisan jus bateri, seperti yang dinyatakan sebelum ini ia boleh dicas semula menggunakan kabel USB-C. Pengecasan 1 minit boleh memberikan masa penggunaan selama 3 jam. Sambil mengecas pun anda masih boleh menggunakan secara berwayar.
Jadi penggunaan tenaga MX Anywhere 3S ini cukup efisien untuk sebuah tetikus yang bersaiz kompak.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, Logitech MX Anywhere 3S memang memberikan pengalaman yang cukup bagus untuk sebuah tetikus kompak wayarles. Ianya sesuai untuk digunakan dimana jua anda berada kerana mudah dibawa, sensor yang mengesan pelbagai permukaan dan dilengkapi pelbagai fungsi untuk melancarkan kerja.
Ini bukan perkara mengejutkan kerana MX Anywhere 3S dihasilkan sebagai penyelesaian yang lebih mudah alih untuk model MX Master. Walaupun harga antara dua peranti tersebut tidak jauh beza, MX Anywhere 3S menawarkan apa yang tiada pada siri MX Master iaitu kemudahan untuk dibawa kemana-mana. Pada harga RM369, saya merasakan MX Anywhere 3S ini memang berbaloi untuk dibeli.
Walau bagaimanapun, satu perkara yang boleh dinaik taraf untuk menambah praktikaliti penggunaan MX Anywhere 3S ini adalah dengan menambah butang DPI. Ini adalah kerana, ketiadaan butang DPI mengakibatkan pengguna sukar untuk menukar DPI kalau perlukan sensitiviti yang tinggi. Menukar DPI hanya boleh dilakukan melalui Logi Options+ sahaja. Walhal kebanyakan tetikus yang lebih murah pun dilengkapi butang DPI khas pada tetikus.
Tapi untuk mereka yang sudah mempunyai siri MX Master dan memerlukan solusi mudah alih, ia merupakan pilihan terbaik yang anda boleh dapatkan. Dengan ciri-ciri yang dilengkapinya, memang layak pun ia diletakkan pada harga yang sangat premium. Jika anda berminat, anda boleh dapatkan tetikus ini di stor rasmi Logitech di Lazada atau Shopee.