Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil sebelum ini ada menyatakan bahawa rakyat Malaysia boleh menjangkakan harga perkhidmatan jalur lebar yang lebih murah, selepas Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) yang baru dikuatkuasakan pada 1 Mac 2023.
Kini setelah empat bulan, masih belum ada sebarang perubahan harga pelan dari penyedia perkhidmatan dan ia kelihatan seperti kurangnya penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
MSAP baru untuk jalur lebar berkelajuan tinggi sudah lama tertangguh
Untuk peringatan semula, MSAP merupakan penetapan harga borong untuk pelbagai perkhidmatan telekomunikasi, termasuk akses jalur lebar tetap berkelajuan tinggi (HSBB). Kali terakhir harga MSAP disemak semula dan dikuatkuasakan adalah pada bulan Jun 2018, sebulan selepas Gobind Singh Deo dilantik menjadi Menteri Komunikasi. MSAP terdahulu hanya meliputi tahun 2018, 2019 dan 2020, dan ini bermakna harga borong jalur lebar tidak disemak semula lebih daripada 2 tahun.
Seperti yang dijelaskan Fahmi sendiri, harga borong HSBB di bawah MSAP baru tahun 2023 menyaksikan penurunan sebanyak 50%. Contohnya, kadar borong 100Mbps untuk Lapisan ke-3 HSBB dikurangkan daripada RM515 kepada RM254.64 untuk tahun 2023, RM217.65 bagi 2024 dan menjadi RM186.21 tahun 2025. Dengan harga borong yang makin rendah, Fahmi menyatakan secara tidak langsung, perkhidmatan yang disediakan kepada pengguna boleh diturunkan lebih rendah dan lebih kompetitif, atau kelajuan lebih tinggi.
Kini sudah 4 bulan berlalu setelah harga baru MSAP dikuatkuasakan, jadi apa lagi yang menjadi penghalang?
TM masih belum memaparkan Tawaran Akses Rujukan baru
Selepas pengumuman oleh SKMM, beberapa telco telah memaparkan harga Tawaran Akses Rujukan (RAO) baru untuk mematuhi dengan MSAP baru tahun 2023. Selain akses fiber HSBB, RAO meliputi pelbagai perkhidmatan termasuk transmisi utama, rangkaian bersama, akses MVNO, perkongsian infrastruktur, perayauan domestik dan banyak lagi.
Buat masa ini, kami mendapati RAO telah dikemaskini untuk CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Time, Allo dan YTL Communications. . Tetapi, TM masih belum mengemaskini harga borong dan laman web RAO diliaht masih dalam pembinaan. Selepas menghubungi TM, mereka memaklumkan kami bahawa perbincangan masih berjalan dan RAO akan dikemas kini dalam masa terdekat tanpa memberikan jangka masa tertentu.
Seperti yang kita semua tahu, TM adalah penyedia rangkaian jalur lebar fiber terbesar di Malaysia. Selain menawarkan perkhidmatan fiber di bawah jenama Unifi, kebanyakan telco lain turut bergantung kepada rangkaian HSBB TM untuk menawarkan perkhidmatan fiber kepada lebih banyak pelanggan di seluruh negara. Ini bermakna, pengurangan harga runcit terbesar hanya boleh terjadi selepas TM menurunkan harga borong untuk HSBB.
Sudah ada beberapa perubahan selepas MSAP bru diumumkan. Contohnya di CelcomDigi dan Astro, mereka telah mengurangkan harga jalur lebar fiber tetapi hanya di kawasan rangkaian fiber CelcomTimur di Sabah. Maxis juga telah melancarkan pelan jalur lebar fiber perniagaan 1Gbps pada harga RM189/bulan sahaja tetapi terdapat di kawasan yang menggunakan infrastruktur jalur lebar fiber milik Maxis sendiri.
Harga jalur lebar turun hampir serta merta selepas MSAP dilaksana tahun 2018
Penurunan harga jalur lebar sebelum ini pada tahun 2018 menyaksikan perbuahan yang ketara untuk pengguna dalam masa beberapa bulan sahaja. MSAP tahun 2018 diumumkan pada 20 Disember 2017 dan ia dikuatkuasakan pada Jun 2018 selepas Gobind dilantik sebagai menteri.
Sebulan kemudian pada Julai 2018, TM memperkenal pelan Unifi Basic yang menawarkan kelajuan 30Mbps pada harga RM79/bulan (kuota 60GB) dan mereka turut mengumumkan naik taraf Turbo dengan kelajuan 10X bagi pelanggan sedia ada Unifi. Ini selari dengan janji Gobind untuk menggandakan kelajuan, dan mengurangkan harga.
Pada bulan Ogos 2018, Maxis mengurangkan harga jalur lebar fiber dengan pelan 30Mbps berharga RM89/bulan. Manakala Celcom turut mengumumkan penurunan harga pada September dengan pelan jalur lebar fiber 40Mbps menjadi RM80/bulan daripada RM180/bulan. TIME turut mengurangkan harga pada Oktober dengan pelan 100Mbps menjadi RM99/bulan, serta memperkenal pelan 1Gbps berharga RM199/bulan.
Untuk melihat harga pelan diturunkan, SKMM perlu menguatkuasakan dan menetapkan tarikh akhir yang jelas supaya semua telco mematuhi kadar borong yang baru, terutama di waktu kerajaan cuba untuk mengurangkan kos sara hidup. Kementerian Komnunikasi dan Digital perlu tegas dan memastikan MSAP yang baru dikuatkuasakan tanpa lengah supaya semua pengguna (tidak hanya untuk penerima Pakej Perpaduan), dapat menikmati harga jalur lebar fiber yang lebih rendah.
[Sumber: SoyaCincau]