Hisense Malaysia pada hari ini telah melancarkan barisan televisyen terbaru mereka yang merangkumi model Mini LED dan ULED 4K ketika dalam satu majlis pelancaran yang diberi nama Go Tech And Beyond. Barisan TV ini menampilkan, paparan beresolusi 4K, sokongan Dolby Atmos, serta teknologi warna Quantum Dot untuk meningkatkan pengalaman menonton.
Harga rasminya di Malaysia
Terdapat beberapa model yang ditawarkan untuk barisan TV terbaru Hisense. Model mini LED merupakan model lebih premium dan ia tersedia dalam 2 varian iaitu ULED X UX dan ULED U7K. Walau bagaimanapun, Hisense masih belum mendedahkan harga bagi ULED UX. Manakala untuk ULED U7K, berdasarkan di Shopee harganya adalah seperti berikut:
- Hisense TV Mini-LED ULED 4K U7K (55”) – RM6,079
- Hisense TV Mini-LED ULED 4K U7K (65”) – RM7,079
- Hisense TV Mini-LED ULED 4K U7K (75”) – RM9,079
- Hisense TV Mini-LED ULED X UX (75”) – akan datang
Bagi model ULED 4K U6K Pro dan ULED 4K U7H, ia masih belum tersedia dijual namun berikut adalah harga rasminya di Malaysia:
- Hisense TV ULED 4K U6K PRO (65”) – RM4,299
- Hisense TV ULED 4K U7H (98”) – RM19,999
Model ULED 4K U6K pula tersedia dalam dua saiz (55″ dan 65″). Anda telah boleh mula membuat tempahan awal untuk model ini di Shopee dan harganya adalah seperti berikut:
- Hisense TV ULED 4K U6K (55”) – RM3,379
- Hisense TV ULED 4K U6K (65″) – RM4,379
- Hisense TV ULED 4K U6K (75″) – RM6,079
Kalau anda berminat untuk dapatkan ULED U7K dan ULED U6K, anda boleh singgah ke gedung rasmi Hisense di Lazada dan Shopee untuk membuat tempahan awal.
Spesifikasi Mini-LED ULED X dan ULED U7K
Model ULED X UX dan ULED U7K menggunapakai teknologi mini LED dengan resolusi 4K serta menggunakan rekaan tanpa bezel. Persamaan pada kedua-dua model termasuk dilengkapi warna Quantum Dot bagi menawarkan kesan kontras yang cantik, serta terdapat sokongan Dolby Visuals dan Dolby Atmos jadikan pengalaman menonton secara HDR dan bunyi cukup mengasyikkan.
Fungsi Game Mode Pro turut disertakan untuk kedua-dua model membolehkan ia mencapai kadar penyegaran 144Hz, serta ada Freesync Premium menjadikan permainan mampu bergerak lebih lancar. Dalam pada itu, terdapat juga sokongan untuk HDR10+ Adaptive dan juga IMAX Enhanced untuk tontonan filem yang lebih memukau.
Antara perbezaan utamanya adalah ULED X mempunyai local dimming zones lebih 2000 bagi menawarkan warna gelap sebenar. ULED U7K pula pada 1,200 local dimming zones. Sistem audio ULED X dimuatkan dengan CineStage X 4.1.2 Surround berikan bunyi berdimensi semasa menonton filem, manakala ULED U7K hanya 2.1 dengan subwoofer terbina.
Kedua-duanya menjalankan sistem operasi VIDAA dan bukannya Google TV. Jadi pengalaman akan berbeza sedikit. Namun masih serasi bersama penggunaan peranti Apple kerana menyokong Air Play 2.
Spesifikasi ULED 4K U7H
Model ini menggunakan rekaan tanpa bezel dan tampil dengan skrin terbesar yang berukuran 98 inci. Ia mempunyai resolusi 4K dan dilengkapi ciri Dolby Vision IQ bersama warna Quantom Dot untuk menawarkan kesan kontras yang cantik dan warna lebih terang. Ia juga menyokong HDR 10+ Adaptive, Game Mode Pro 120Hz bersama FreeSync Premium.
Selain itu, terdapat mod sukan berteraskan AI yang menjadikan pengalaman menonton acara sukan seolah berada di stadium. Sistem bunyi dihasilkan dari pada subwoofer terbina. Menunjangi TV ini adalah sistem operasi VIDAA dan ia ada sokongan sambungan WiFi 6 serta Apple Air Play.
Spesifikasi ULED U6K
Model ULED U6K mendukung spesifikasi lebih ringan tetapi masih menggunakan resolusi 4K ULED. Terdapat juga teknologi warna Quantum Dot memberikan warna terpapar lebih tepat serta ia menyokong kadar penyegaran 120Hz. Bahagian audionya hadir dengan ciri Dolby Atmos dan DTS HD.
Sistem operasi yang digunakan adalah VIDAA OS dan model ini turut menyokong kawalan menggunakan suara. Ciri Air Play 2 juga tersedia untuk membolehkan ia serasi digunakan bersama peranti Apple.