Xiaomi hari ini telah melancarkan peranti flagship bajet terbaru mereka, siri Xiaomi 13T di peringkat antarabangsa. Sama seperti beberapa generasi sebelumnya, terdapat dua model telefon diperkenal dalam siri ini iaitu Xiaomi 13T dan Xiaomi 13T Pro.
Pada siri Xiaomi 12T, model Pro dan bukan Pro memiliki spesifikasi yang sangat berbeza. Kali ini, Xiaomi tidak lagi merapatkan jurang perbezaan dengan hanya sedikit kelebihan diberikan pada model Pro. Paling utama, kedua-dua model kini dilengkapi kamera yang dihasilkan dengan kerjasama pakar kamera, Leica. Ini menjadikannya telefon Xiaomi termurah yang menerima label Leica.
Prestasi tinggi tahun lepas
Bagi model yang lebih rendah Xiaomi 13T, ia masih diberikan kuasa prestasi kelas flagship melalui penggunaan cip MediaTek Dimensity 8200-Ultra 4nm. Kuasa ini digandingkan dengan RAM LPDDR5 sehingga 12GB dan storan dalaman UFS 3.1 seluas 256GB. Tiada slot untuk kad mikroSD.
Pilihan skrin juga bertaraf flagship, menggunakan paparan CrystalRes AMOLED 6.67-inci dengan resolusi HD Penuh (2712×1200) dan kadar penyegaran adaptif sehingga 144Hz. Kecerahan juga sangat tinggi, sehingga 1,200 nits dan kecerahan puncak 2,600 nits. Ia menyokong teknologi Dolby Vision, HDR10+ serta PWM DImming sehingga 2,880Hz. Pengimbas capjari juga ada di dalam skrin.
Kamera Leica termurah boleh dimiliki
Seringkali ramai yang tersilap apabila melihat label Leica terdapat di telefon pintar. Ia sebenarnya bukanlah setaraf kamera Leica sebenar tetapi dihasilkan menuruti pemantauan ketat Leica untuk dimuatkan di dalam telefon pintar. Sebelum ini, Xiaomi melekatkan label Leica pada telefon berharga lebih RM3,000 seperti Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Ultra. Dengan Xiaomi 13T, ia kini menjadi telefon termurah memiliki label Leica memandangkan harganya di bawah RM2,000.
Dengan tercetaknya label Leica-Summicron di belakang, Xiaomi telah melengkapi telefon ini dengan kamera utama 50MP 50mm F1.9 OIS, kamera ultralebar 12MP 15mm F2.2 dan kamera telefoto 50MP 50mm F1.9. Kamera ini juga mampu merakam video HDR10+ sehingga 4K 30fps, tiada sokongan 8K.
Xiaomi turut menambah beberapa pilihan penapis dan lensa Leica di dalam aplikasi Camera. Pengguna boleh memilih antara lensa Leica Authentic untuk warna kontras yang tinggi, atau Leica Vibrant untuk warna suam yang lebih tenang. Di samping itu, terdapat enam penapis Leica turut disediakan iaitu Vivid, Natural, BW Natural, BW Contrast, Sepia dan Blue.
Tambah menarik, adalah tambahan watermark Leica pada setiap gambar yang diambil.
Siri-T pertama kalis air dan debu
Xiaomi juga menambah satu fungsi penting pada siri Xiaomi 13T, iaitu kalis air dan debu IP68 yang selalunya ada di telefon flagship. Sebelum ini, hanya Samsung meletakkan ciri ini dalam telefon kelas pertengahan tetapi kini berubah dengan kedatangan Xiaomi 13T. Dengannya, pengguna tidak perlu risau lagi mencuci kotoran yang melekat di telefon atau mengambil gambar di dalam air di kolam renang.
Bateri yang diberikan berkapasiti 5,000mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 67W melalui USB-C. Kepala pengecas 67W dan kabel ada diberikan di dalam kotak, tidak perlu beli berasingan.
Sistem bunyi pada Xiaomi 13T adalah stereo menggunakan pembesar suara yang menembak ke tepi. Ia juga menyokong sistem bunyi sekeliling Dolby Atmos tetapi tiada jek audio 3.5mm.
Kemaskini terpanjang selepas Samsung
Siri Xiaomi 13T didatangkan dengan sistem operasi (OS) MIUI 14 berasaskan Android 13. Xiaomi kini memberi jaminan kemaskini OS sebanyak 4 kali dan kemaskini keselamatan selama 5 tahun untuk siri Xiaomi 13T. Ia adalah jaminan terpanjang untuk telefon Xiaomi apatah lagi ia menggunakan cip MediaTek. Dengan ini, ia mampu menyaingi tawaran Samsung pada peranti kelas pertengahan mereka yang turut dijanjikan kemaskini yang serupa.
Xiaomi menawarkan tiga pilihan warna untuk Xiaomi 13T iaitu hijau, biru dan hitam. Untuk maklumat mengenai harga dan jualannya di Malaysia, boleh merujuk laporan kami di sini.