Xiaomi kini rasmi memperkenalkan siri Redmi Note 17, generasi baharu siri telefon pintar pertengahan mereka yang hadir dengan empat model. Buat pertama kali, siri ini turut memperkenalkan model Redmi Note 17 Pro Max 5G, yang menjadi model paling tinggi dalam barisan baharu ini.
Selain membawa bateri lebih besar dan pengecasan lebih pantas, siri ini turut memberi fokus kepada ketahanan dengan perlindungan air dan jatuh yang lebih baik. Xiaomi turut mengetengahkan konsep “Built for Years”, dengan sokongan perisian dan jangka hayat bateri yang direka untuk penggunaan lebih lama.
Pelancaran ini turut menandakan satu pencapaian penting buat Xiaomi siri REDMI Note kini telah melepasi 500 juta unit dihantar di seluruh dunia sejak diperkenalkan.
Empat model dalam siri Redmi Note 17 kali ini terdiri daripada Redmi Note 17 Pro Max 5G, Redmi Note 17 Pro 5G, Redmi Note 17 5G, dan RedmiI Note 17.
Redmi Note 17 Pro Max bawa bateri 10,000mAh

Model tertinggi Redmi Note 17 Pro Max 5G menjadi tarikan utama dalam siri ini, terutamanya kerana ia membawa bateri 10,000mAh, yang didakwa Xiaomi sebagai bateri telefon pintar terbesar pernah digunakan pada peranti mereka.
Bateri ini menggunakan teknologi silikon karbon dengan kandungan silikon sebanyak 16%, selain menyokong 100W HyperCharge dan pengecasan terbalik 27W. Xiaomi mendakwa telefon ini boleh bertahan sehingga tiga hari dengan sekali cas, manakala pengecasan selama 20 minit sahaja sudah cukup untuk penggunaan sehari penuh.

Dari segi skrin, Redmi Note 17 Pro Max dilengkapi panel CrystalRes AMOLED 6.83″ beresolusi 1.5K, dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 3,500 nits. Untuk prestasi pula, model tertinggi ini dikuasakan cip Snapdragon 6 Gen 5 (4nm), dipadankan RAM LPDDR5X sehingga 12GB, serta storan 256GB atau 512GB jenis UFS 4.1.
Dari segi ketahanan, telefon ini turut memiliki penarafan IP66, IP68, IP69 dan IP69K, selain dilindungi Corning Gorilla Glass Victus 2. Ia turut menyokong Underwater Mode, dan telah diuji untuk menahan jatuhan dari ketinggian sehingga tiga meter.
Bagi kamera, model Pro Max ini dihadirkan dengan susunan dua kamera belakang kamera utama 50MP dan ultralebar 8MP manakala kamera hadapan pula 32MP. Siri ini turut menyokong rakaman dual-video, video 4K 30fps, mod Professional Video, serta fungsi Live Moment. Beberapa alat AI turut disertakan, termasuklah AI Glare Removal, AI Erase Pro, AI Beautify, dan AI Image Enhancement.

Untuk audio, telefon ini menggunakan speaker stereo dengan sokongan Dolby Atmos dan Hi-Res, serta kelantangan kuat sehingga 400%. Ia turut menyokong Wi-Fi 6, NFC dan Bluetooth 6.0.
Dari segi reka bentuk, model ini menampilkan kemasan eksklusif Cloud Blush dengan panel belakang photochromic yang bertukar daripada putih awan kepada tona pink-oren apabila di bawah cahaya UV. Selain itu, ia turut tersedia dalam warna ungu dan hitam.
Redmi Note 17 Pro 5G masih bawa ketahanan tahap tinggi

Redmi Note 17 Pro 5G pula merupakan model kedua tertinggi dalam siri ini, dan berkongsi beberapa ciri dengan model Pro Max termasuklah skrin 6.83″ beresolusi 1.5K, kadar segar semula 120Hz, serta kecerahan sehingga 3,500 nits.
Perbezaan utama terletak pada bateri, yang berkapasiti 8,340mAh dengan sokongan 67W HyperCharge. Ia turut dikuasakan cip berbeza Snapdragon 6 Gen 4s dengan RAM LPDDR4X sehingga 6GB, serta storan dalaman jenis UFS 3.1 bersaiz 256GB/512GB.
Perkakasan kamera belakang pula adalah sama seperti model Pro Max, menggunakan kamera utama 50MP dan ultralebar 8MP, tetapi menggunakan kamera depan menampilkan sensor lebih kecil 16MP.
Dari segi ketahanan, model ini turut menerima penarafan IP66, IP68, IP69 dan IP69K, selain dilindungi Corning Gorilla Glass Victus 2. Ia turut lulus ujian ketahanan air pada kedalaman dua meter selama 72 jam, serta menyokong Underwater Mode.
Dari segi audio, ia turut menggunakan speaker stereo dengan Dolby Atmos, tetapi dengan kelantangan sehingga 300%. Untuk sambungan pula, ia menyokong Wi-Fi 5 dan Bluetooth 5.1.
Redmi Note 17 Pro 5G ditawarkan dalam warna eksklusif Sky Blue, selain hitam dan ungu.
Redmi Note 17 5G dan Redmi Note 17

Bagi dua model asas dalam siri ini, Redmi Note 17 5G dan Redmi Note 17 turut dilengkapi bateri besar berkapasiti 7,700mAh, dengan pengecasan 45W. Kedua-dua model ini menggunakan skrin yang lebih besar berbanding model Pro iaitu 6.99″, menyokong resolusi FHD+, kadar segar semula 120Hz, dan kecerahan puncak 1,800 nits.
Dari segi prestasi pula, Redmi Note 17 5G dikuasakan cip Snapdragon 4 Gen 4, manakala model 4G pula dikuasakan cip Snapdragon 6s Gen 2. Kedua-duanya dipadankan RAM LPDDR4X seluas 8GB, dan storan dalaman UFS 2.2 seluas 256GB. Turut disertakan slot kad microSD, membolehkan peluasan storan sehingga tambahan 2TB.
Kedua-dua model ini berkongsi perkakasan kamera yang sama kamera utama 50MP dan kamera depan 16MP. Untuk audio pula, ia menggunakan speaker mono, dengan pengiktirafan kalis percikan air dan debu IP65.
Untuk Redmi Note 17 5G dan Redmi Note 17, ia tersedia dalam tiga warna yang sama iaitu ungu, biru dan hitam.
Xiaomi juga menawarkan sehingga enam tahun kemas kini keselamatan untuk siri ini, dengan ia menjalankan sistem operasi HyperOS 3 berasaskan Android 17 sejurus keluar kotak.
Semua model fokus kepada penggunaan jangka panjang
Walaupun spesifikasi setiap model berbeza, Xiaomi meletakkan kesemua REDMI Note 17 di bawah konsep Redmi Titan Quality.
Model Pro Max 5G dan Pro 5G menerima TÜV SÜD 5-star Titan Quality Certification yang menguji aspek ketahanan jatuh, air dan bateri. Sementara itu, REDMI Note 17 5G dan REDMI Note 17 menerima pensijilan TÜV SÜD 5-star Battery Performance.
Kesemua model menggunakan teknologi bateri silikon-karbon dan baterinya direka untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 80% kapasiti asal selepas 1,600 kitaran pengecasan, bersamaan kira-kira enam tahun penggunaan biasa.
Tempahan awal siri Redmi Note 17 di Malaysia

Untuk pasaran Malaysia, tempahan awal siri Redmi Note 17 kini dibuka sehingga 4 September 2026 di kedai fizikal Xiaomi Store. Tempahan dalam talian pula dibuka dari 2 hingga 4 September, menerusi mi.com serta kedai rasmi Xiaomi di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.
Kedua-dua Redmi Note 17 Pro Max 5G dan Redmi Note 17 Pro 5G akan ditawarkan dalam dua varian storan 8GB+256GB dan 8GB+512GB. Pengguna boleh membuat tempahan bagi kedua-dua model ini dengan meletakkan deposit RM100 (tidak boleh dikembalikan), dan berpeluang menikmati diskaun eksklusif RM300 (slot terhad, tertakluk terma dan syarat).
Pembeli awal turut menerima beberapa perlindungan tambahan, termasuklah jaminan bateri 5 tahun, perlindungan skrin 3 tahun, perlindungan kerosakan cecair 2 tahun, perlindungan penutup belakang 2 tahun, serta jaminan kualiti 2 tahun. Turut disertakan ialah 2 bulan YouTube Premium, dan 6 bulan Google One dengan storan 200GB.
Maklumat harga tempatan masih belum didedahkan setakat ini, dan hanya akan diumumkan pada pelancaran tempatan pada 2 September 2026. Namun sebagai rujukan, model Note 15 4G sebelum ini bermula pada RM799, Note 15 5G pada RM849, Note 15 Pro 5G pada RM1,399, dan Note 15 Pro+ 5G pada RM1,699.
Sempena pelancaran rasmi di Malaysia, Xiaomi turut mengadakan acara khas “REDMI Boss for A Day” di Xiaomi Store The Exchange TRX, Kuala Lumpur, pada 5 September 2026. Pelanggan yang membuat membuat tempahan awal siri Note 17 Pro dan mengambil peranti mereka mulai jam 10 pagi pada hari tersebut, berpeluang mendapat akses eksklusif untuk sesi meet-and-greet bersama Meerqeen.
Untuk maklumat lanjut tentang promosi tempahan awal, anda boleh layari laman pelancaran siri Redmi Note 17. Anda juga boleh layari laman produk Redmi Note 17 Pro Max 5G, Note 17 Pro 5G, Note 17 5G dan Note 17 4G untuk maklumat spesifikasi penuh.






