Walaupun Huawei Watch GT 4 sudah kelihatan sangat bergaya, sebenarnya Huawei ada satu lagi jam pintar yang jauh lebih elegan, persis rekaan jam Omega Seamaster. Ia adalah Huawei Watch Ultimate.
Di majlis pelancaran Huawei Watch GT 4, Huawei Malaysia turut mengumumkan kedatangan edisi terhad Huawei Watch Ultimate Design. Dengan rekaan premium, edisi terhad ini dilengkapi emas 18-karat untuk rupa jauh lebih premium.
Harga dan ketersediaan
Menurut Huawei Malaysia, Huawei Watch Ultimate Design tidak boleh dimiliki oleh sebarang orang. Ia hanya boleh dibeli oleh mereka yang mendapat jemputan daripada Huawei sahaja. Kerana itu, hanya 100 unit Huawei Watch Ultimate Design akan dijual di Malaysia. Harga rasminya adalah:
- Huawei Watch Ultimate Design – RM13,999
Sudah tentu, ini jauh lebih mahal daripada edisi biasa iaitu RM3,799 (biru) dan RM3,299 (hitam). Tetapi jika anda benar-benar berminat untuk melihatnya dengan lebih dekat, boleh memohon jemputan dengan mendaftar di sini. Akan terdapat beberapa lokasi Kedai Jenama Huawei disenaraikan untuk dipilih, dari 6 hingga 31 Oktober 2023.
Setiap pembeli Huawei Watch Ultimate Design akan menerima perkhidmatan eksklusif iaitu jaminan selama 2-tahun, talian VIP, perkhidmatan pintu-ke pintu (Kuala Lumpur), 1 kali penggantian skrin dalam tempoh 12-bulan dan perkhidmatan penyelenggaraan istimewa.
Spesifikasi Huawei Watch Ultimate Design
Huawei memilih rekaan mewah untuk Watch Ultimate Design dengan gabungan dua tona warna emas dan hitam. Terdapat enam segmen pada bingkai jam seramik nanokristal, dihiasi emas sebenar 18-karat. Ditambah lagi dengan butang putar yang dilapisi emas. Tali jam yang diperbuat daripada besi, turut dihiasi warna dua-tona emas dan hitam untuk menambah rupa premium padanya.
Kotak kulit dengan kemasan baldu di dalam turut disediakan seperti mana jam mewah lain. Bagi menyerikan lagi rupa bergaya, Huawei menyediakan muka jam dengan warna dua-tona yang serupa, serta ikon aplikasi dalam dua warna juga.
Ciri-ciri pintar yang serupa dikekalkan pada jam edisi terhad ini. Muka jam ini memiliki diameter 1.5” menggunakan panel LTPO AMOLED dengan kepadatan piksel setinggi 311 PPI. Panel paparannya dilindungi nilam untuk lebih tahan calar.
Jam ini memenuhi standard EN 13319 seperti Apple Watch Ultra, mampu bertahan untuk menyelam sedalam 100 meter atau 10 ATM. Bagaimanapun, ia tidak digalakkan untuk aksi ekstrem seperti menyelam secara mendadak atau suhu terlampau panas, kerana talinya yang diperbuat daripada besi. Bagaimanapun, ia juga diiktiraf kalis air dan debu IP68.
Hayat bateri di jam ini sangat panjang, sehingga 14-hari penggunaan jimat tenaga, atau 8-hari penggunaan biasa. Ia boleh dicas menggunakan pengecas magnetik yang disertakan, atau menggunakan mana-mana pengecas wayarles Qi.
Selain fungsi kesihatan biasa seperti sensor degupan jantung, SpO2 dan pemantau waktu tidur, Huawei Watch Ultimate Design juga dilengkapi sensor ECG dan PPG untuk mengesan denyutan nadi yang tidak sekata.
Terdapat juga mikrofon dan speaker terbina di dalam jam, membolehkan ia digunakan untuk menjawab panggilan. Selain itu, ia boleh dipasang dengan pelbagai apliaksi untuk menambah fungsi pintar padanya.
Jam pintar Huawei Watch Ultimate Design serasi digunakan bersama peranti Android dan iOS, dengan sambungan menerusi aplikasi Huawei Health. Untuk maklumat lanjut tentang jam mewah ini, layari laman produk Huawei Watch Ultimate Design.