Kumpulan pertama Tesla Model 3 telah dikesan di Tesla Centre Cyberjaya yang juga adalah bilik pameran utama Tesla di Malaysia. Ia selari dengan dakwaan beberapa penempah awal yang menerima pemakluman daripada Tesla berkenaan kesediaan tempahan mereka dalam minggu pertama Disember 2023.
Perkara ini juga mengesahkan laporan kami pada 20 November 2023 lalu tentang kapal bermuatan 1,200 Tesla Model 3 berlepas daripada pelabuhan Nangang di Shanghai pada 19 November 2023.
Kapal kargo membawa 1,200 Tesla Model 3 dijangka tiba di Malaysia minggu ini
Dengan tibanya Tesla Model 3 ini, ia akan menjadi menjadi kenderaan pertama diedar oleh Tesla Malaysia kepada pengguna dalam negara. Sebenarnya, model pertama yang dilancar oleh Tesla Malaysia adalah Tesla Model Y pada bulan Julai dan dibuka tempahan lebih awal, sebelum melancar Tesla Model 3 pada bulan Oktober. Tetapi penghantaran pertama Tesla Model Y dijangka bermula seawal tahun hadapan. Tesla Malaysia juga membenarkan pertukaran tempahan dari Model Y ke Model 3 tanpa kehilangan deposit RM1,000 yang dibuat untuk Model 3.
Harga Tesla Model 3 di Malaysia
Sekiranya anda berminat untuk dapatkan sebuah Model 3, dalam pasaran Malaysia sebanyak dua varian ditawarkan. Berikut adalah senarainya:
- Tesla Model 3 RWD – RM189,000
- Tesla Model 3 Long Range – RM218,000
Harganya sedikit lebih murah berbanding Model Y sewaktu dilancarkan dahulu sebanyak RM10,000. Apabila dicampur dengan beberapa caj-caj tambahan daripada Tesla sendiri, harganya masing-masing menjadi RM190,700 dan juga RM219,700. Malangnya, insurans masih tidak dimasukkan. Jadi jangkakan tambahan sehingga RM5,000 untuk premium insurans juga.
Pada harga sebegitu, Tesla Model 3 Long Range kini adalah EV termurah Malaysia yang ada jarak kembara melebihi 600km, jauh memotong Ioniq 6 RWD yang kami laporkan tempoh hari berharga RM289,888.
Berdasarkan laman rasmi, tetingkap penghantaran dijangka sebelum tamatnya tahun 2023 yang bermakna Model 3 mungkin masuki lebih awal berbanding Model Y yang dikakatan hanya mula diedarkan seawal tahun 2024.
Aerodinamik Model 3 ditambah baik
Melihat pada rupa Model 3 yang baharu, ia kini ada luaran yang lebih minimalis. Contohnya lampu depan yang lebih runcing tidak memakan banyak ruang. Di bahagian belakang, rekaan lampu juga telah diperbaharui iaitu berbentuk sepit ketam.
Menurut pengeluarnya, model baharu ini mempunyai jarak kembara yang lebih jauh. Varian RWD mempunyai jarak sehingga 513km, naik daripada 499km manakala varian Long Range pergi sehingga 629km daripada 614km. Ia salah satunya disumbang oleh rekaan rim yang lebih baik iaitu Photon (18”) dan Nova (19”).
Prestasi motor dilaporkan masih sama. RWD boleh memecut daripada pegun kepada 100km/j dalam masa 8.1s dengan kelajuan maksimum mencecah 201km/j manakala varian Long Range boleh pecut ke kelajuan 100km/j dalam masa 4.4 sahaja.
Apabila perlu dicas, menggunakan pengecas Supercharger DC, Tesla katakan yang mengecas selama 15 minit boleh memberikan kenderaan ini sebanyak 282km jarak kembara.
Rekaan kabin diperbaharukan sepenuhnya
Tesla turut membawakan rekaan dalam yang lebih segar. Contohnya stereng telah direka semula, kini sama seperti Model Y. Butang kawalan lampu isyarat membelok dan pengelap cermin depan telah dipindah ke atas stereng tersebut.
Skrin inforia masih kekal pada saiz 15.4” dan tiada sebarang meter kluster untuk pemandu melihat maklumat pemanduan disediakan. Di bahagian belakang juga disediakan panel paparan, saiznya lebih kecil pada 8” dan diperkasa AMD RDNA 2 GPU yang dikatakan boleh menjalankan permainan PC melalui aplikasi Steam.
Daripada segi ciri pemanduan, Model 3 datang dengan Autopilot yang didalamnya ada ciri-ciri seperti:
- autonomous emergency braking
- adaptive cruise control
- lane centring assist
Anda perlu tambah RM16,000 untuk masukkan Enhanced Autopilot yang ada:
- lane change assist
- navigate on autopilot
- park assist
- summon
- smart summon
Akhir sekali, tambah RM32,000 untuk anda dapat pakej Full Self Driving yang setakat ini masih dalam fasa Beta dan tidak sah digunakan di atas jalan raya Malaysia.