Dalam acara Galaxy Unpacked yang baru sahaja berlangsung, Samsung telah meperkenalkan siri flagship mereka yang seterusnya, Galaxy S24. Seperti yang dijangka, Samsung membawakan tiga model yang serupa seperti siri Galaxy S23 iaitu Galaxy S24, Galaxy S24+ dan Galaxy S24 Ultra.
Walaupun kelihatan tiada banyak perubahan pada bahagian luaran Galaxy S24 dan Galaxy S24+, terdapat banyak peningkatan dari segi perisian yang diberikan oleh Samsung pada siri terbaru ini. Ini kerana Samsung memfokuskan pada keupayaan AI untuk semua telefon siri Galaxy S24, di samping memberikan kemas kini OS panjang dan sudah tentu penggunaan SoC baharu.
Spesifikasi Galaxy S24+
Melihat daripada hadapan, untuk Galaxy S24+, Samsung masih mengekalkan penggunaan paparan yang hampir sama dengan Galaxy S23+. Ia adalah paparan Dynamic AMOLED 2X tetapi dengan skrin berukuran lebih besar pada 6.7-inci pada resolusi lebih tinggi QHD+ (3120 x 1440), satu naik taraf dari resolusi FHD+ daripada sebelum ini. Bagi ketiga-tiga model Galaxy S24, kecekapan prestasi peranti dipertingkatkan dengan kadar penyegaran 1-120 Hz.
Kecerahan puncak juga telah ditambah baik mencapai sehingga 2,600 nits menggunakan teknologi Vision Booster dan ia masih menyokong piawaian HDR 10+. Di atas skrin, terdapat satu lubang kecil menempatkan kamera hadapan. Komponen skrin ini dilapisi oleh kaca Corning Gorilla Victus 2. Pengimbas cap jari ultrasonik juga masih terdapat di dalam skrin.
Atas papan utama, Galaxy S24+ diperkasa cip Exynos 2400 dan bukannya Snapdragon 8 Gen 3 seperti yang terdapat pada model Ultra. Bersama cip itu, ia digabungkan RAM 12GB dua konfigurasi storan sama ada 256GB atau 512GB.
Dari segi sistem pengimejan, tiada perubahan yang dikenakan pada Galaxy S24+ berbanding model sebelumnya. Ia menggunakan tiga kamera di belakang iaitu kamera utama 50MP F.18 dengan sokongan OIS, kamera ultra lebar 12MP F.2 dan juga kamera telefoto 12MP F.28 bersama OIS. Kamera telefoto ini juga berupaya untuk mengezum optikal 3x.
Manakala untuk selfie, ia boleh ditangkap menerusi kamera hadapan 12MP yang turut ada sokongan autofokus.
Walaupun tiada banyak perubahan pada modul kamera yang digunakan, sistem kameranya kini telah dinaik taraf dengan keupayaan AI. Ia didatangkan dengan ciri penyuntingan Galaxy AI mebolehkan pengguna memadam objek, menyusun dan memperbaik semula gambar. Malahan, latar belakang imej uga boleh diisi dengan generatif AI dan objek dalam gambar boleh dialih tanpa kelihatan kekok.
Selain daripada sistem kamera, Galaxy AI juga meningkatkan keupayaan AI untuk berkomunikasi. Ia boleh menterjemah secara nyata ketika panggilan dengan fungsi Live Translate, terus dari aplikasi telefon. Ia juga dapat membantu pengguna melengkapkan ayat ketika bermesej, menghasilkan ringkasan nota dan mengubah percakapan kepada teks. Dengan kerjasama Google, Samsung juga telah menambah ciri Circle to Search untuk membuat carian cepat dan mudah.
Di samping itu, untuk tenaga, ia dimuatkan dengan kapasiti lebih besar pada 4,900mAh, 200mAh tambahan dari sebelum ini. Tetapi sokongan pengecasan masih kekal sama pada kelajuan 45W melalui USB-C dan 15W secara wayarles.
Ciri kalis air dan debu IP68 juga masih ada. Untuk iterasi kali ini, Samsung memberikan kemaskini OS dan keselamatan panjang menyamai telefon Google Pixel, iaitu selama 7 tahun. Sejurus keluar kotak, ia menjalankan sistem operasi One UI 6 berasaskan Android 14.
Untuk Galaxy S24 dan Galaxy S24+ ia ditawarkan dalam warna diinspirasi daripada elemen mineral bumi. Ia adalah hitam, kelabu, ungu dan kuning. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Galaxy S24+.
Spesifikasi Penuh Galaxy S24+
- SoC Exynos 2400
- RAM LPDDR5x 12GB
- Storan UFS 4.0 128GB/256GB/512GB
- Skrin Dynamic AMOLED 2X 6.7-inci (1-120Hz) 2,600 nits
- Kamera Belakang:
- Utama 50MP F1.8 OIS
- Telefoto 10MP F2.4 OIS 3x zum optikal
- Ultralebar 12MP F2.2 120˚
- Kamera hadapan: 12MP F2.2 PDAF
- Bateri 4,900mAh
- Pengecas pantas USB-C 45W, wayarles 15W
- Sistem operasi One UI 6 (Android 14)
- Rangkaian: 5G, LTE, Wi-Fi 6E, Bluetooth v 5.3
- Kalis air IP68
Spesifikasi Galaxy S24
Secara keseluruhan, Galaxy S24 ada spesifikasi yang hampir sama dengan model Galaxy S24+ tetapi dalam pakej yang lebih kecil. Paparannya menggunakan skrin 6.2-inci jenis Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi hanya FHD+. Ia menggunakan panel jenis LTPO dan menyokong kadar penyegaran 1-120Hz untuk jimat tenaga, bersama kecerahan puncak pada 2,600 nits.
Untuk keselamatan, semua komponen skrin dilindungi kaca Corning Gorilla Victus 2. Terdapat juga pengimbas cap jari ultrasonik di dalam skrin, dan di atas ada satu lubang kamera hadapan yang menggunakan sensor 12MP F.2.
Berkenaan sistem kamera di belakang, ianya sama sahaja dengan Galaxy S24+. Terdapat tiga buah kamera iaitu kamera utama 50MP F.18 lengkap dengan OIS, diikuti kamera ultra lebar 12MP F.2 dan kamera telefoto 12MP F.28 dengan keupayaan mengezum optikal 3x.
Seperti Galaxy S24+, sistem kamera Galaxy S24 juga menerapkan penggunaan ciri Galaxy AI bagi membenarkan penggunaan fungsi AI bagi mengedit atau memadam objek dalam gambar. Kebolehan AI berkomunikasi juga tersedia untuk Galaxy S24 seperti ciri Live Translate, Note Assist, Chat Assist dan juga Transcript Assist, di samping fungsi Circle to Search.
Keupayaan AI ini disumbang oleh penggunaan cip Exynos 2400 pada telefon ini. Cip itu dipadankan bersama RAM 8GB dan storan bersaiz dalam pilihan 256GB atau 512GB.
Kapasiti baterinya lebih kecil berbanding model Plus pada 4,000mAh tetapi merupakan satu peningkatan daripada 3,900mAh pada model sebelum ini. Untuk mengecas, ia menyokong pengecasan lebih perlahan pada 25W atau 15W menggunakan pengecasan wayarles Qi.
Galaxy S24 ini datang lengkap bersama One UI 6 berasaskan Android 14, dan Samsung memberikan sokongan kemas kini panjang selama 7 tahun. Ini tempoh sama yang ditawarkan oleh Google pada telefon Pixel. Untuk tahap kekalisan air, ia menyokong IP68.
Ia tersedia dalam pilihan warna diinspirasi dari elemen mineral bumi sama seperti Galaxy S24+ iaitu hitam, kelabu, ungu dan kuning. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Galaxy S24.
Spesifikasi Penuh Galaxy S24
- SoC Exynos 2400
- RAM LPDDR5x 8GB
- Storan UFS 4.0 256GB/512GB
- Skrin Dynamic AMOLED 2X 6.2-inci (1-120Hz) 2,600 nits
- Kamera Belakang:
- Utama 50MP F1.8 OIS
- Telefoto 10MP F2.4 OIS 3x zum optikal
- Ultralebar 12MP F2.2 120˚
- Kamera hadapan: 12MP F2.2 PDAF
- Bateri 4,000mAh
- Pengecas pantas USB-C 25W, wayarles 15W
- Sistem operasi One UI 6 (Android 14)
- Rangkaian: 5G, LTE, Wi-Fi 6E, Bluetooth v 5.3
- Kalis air IP68