Selepas OnePlus 12 dilancarkan di China, OnePlus telah menetapkan pelancaran global siri OnePlus 12 pada 23 Januari 2024. Majlis pelancaran yang dinamakan ‘Smooth Beyond Belief’ ini akan berlangsung di New Delhi, India pada pukul 10 malam waktu Malaysia.
Sekiranya berminat, anda boleh menonton acara ini secara langsung melalui laman web atau YouTube OnePlus India.
Menariknya, kali ini OnePlus akan melancarkan dua varian bagi pasaran global iaitu OnePlus 12 dan OnePlus 12R. Sebelum ini OnePlus 12R hanya terhad untuk pasaran China dan India sahaja.
Spesifikasi penuh OnePlus 12 telah pun diketahui kerana ia dilancarkan di China pada Disember 2023 lalu. Namun, maklumat berkaitan OnePlus 12R masih tandus setakat ini, tetapi dipercayai ia adalah model OnePlus Ace 3 yang diperkenal di China.
Spesifikasi OnePlus 12R
Jika benar OnePlus 12R adalah model sama dengan OnePlus Ace 3, ini bermakna ia akan dikuasakan cip Snapdragon 8 Gen 2 bersama gandingan RAM LDDR5X sehingga 16GB dan storan USF 4.0 seluas 1TB.
Untuk paparan, ia tampil dengan skrin AMOLED 6.7-inci pada resolusi 2,772 x 1,240 piksel dengan kadar penyegaran adaptif 1-120Hz. Kecerahan panel ini boleh mencapai sehingga 4,500 nits dan semua komponen skrin dilindungi kaca Corning Gorilla Victus 2.
Sistem pengimejannya menggunakan tiga kamera di belakang iaitu kamera utama 50MP OIS memanfaatkan sensor Sony IMX890, kamera ultra lebar 8MP dan juga kamera makro 2MP. Untuk selfie, terdapat lubang kamera di skrin yang menggunakan sensor 16MP.
Tenaga telefon ini disalur oleh bateri berkapasiti 5,500mAh dan ia menyokong pengecasan SuperVOOC 100W. Ia akan menjalankan sistem operasi ColorOS14 berasaskan Android 14 sejurus keluar kotak.
Sebagai perbandingan, OnePlus Ace 3 dilancarkan di China dengan harga seperti berikut:
- RAM 12GB + storan 256GB – RMB2,599 (~RM1,725)
- RAM 16GB + storan 512GB – RMB2,999 (~RM1,991)
- RAM 16GB + storan 1TB – RMB3,499 (~RM2,323)
Spesifikasi OnePlus 12
Berdasarkan spesifikasi China, OnePlus 12 ditunjangi Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3. Cip ini dipadankan bersama-sama RAM LPDDR5X sehingga 24GB dan storan dalaman UFS4.0 sehingga 1TB.
Di bahagian paparan, OnePlus 12 dilengkapi panel AMOLED sebesar 6.82” dengan resolusi 1,440p. Panel itu mempunyai kadar segar semula dinamik antara 1 hingga 120Hz dengan kecerahan boleh mencapai 4,500nits.
Untuk mengambil gambar, OnePlus 12 ada kamera utama 50MP yang katanya menggunakan sensor Sony baharu iaitu Lytia 808. Kemudian ia juga ada kamera ultralebar 48MP dan satu kamera telefoto 3 kali zum optikal 64MP.
Membekalkan tenaga kepada komponen elektronik OnePlus 12 adalah sistem bateri berkapasiti 5,400mAh dalam konfigurasi dwisel. Bateri ini dicas menggunakan pengecas 100W ataupun boleh dicas secara wayarles dan ia menyokong sehingga 50W.
Harga pelancarannya di China adalah seperti berikut:
- RAM 12GB + Storan 256GB – RMB4,299 (~RM2,826)
- RAM 24GB + 1GB – RMB5,799 (~RM3,812)