Anda mungkin tidak akan melihat lagi telefon Nokia pada masa akan datang. Ini kerana, Human Mobile Devices (HMD Global), syarikat yang mengambil alih jenama Nokia dilapor akan menghasilkan jenama telefon sendiri yang dipanggil HMD. Ini memberi bayangan bahawa pengeluaran telefon Nokia akan ditamatkan oleh syarikat tersebut.
Jenama Nokia sememangnya dalam keadaan goyah dalam industri telefon pintar selepas ia dijual kepada Microsoft pada tahun 2014, dan kemudiannya dijual pula kepada HMD Global pada tahun 2016. Bagaimanapun, pada hujung Januari lalu, HMD mengeluarkan kenyataan di laman web mereka menyatakan mereka adalah penghasil telefon Nokia, tetapi lebih banyak perkara akan tiba.
Selain itu, ia diikuti dengan kenyataan yang mereka akan membawakan peranti jenama HMD tersendiri, dan telefon dengan kerjasama perlesenan baharu. Tidaklah pasti kerjasama apa yang dimaksudkan oleh syarikat tersebut. Walau bagaimanapun, berkemungkinan besar ia bukanlah kerjasama bersama Nokia lagi, tetapi dengan syarikat baharu.
Ini adalah kerana, perjanjian perlesenan Nokia akan tamat lagi dua tahun iaitu pada tahun 2026. Disebabkan itu juga, ramai yang beranggapan ini mungkin petanda bahawa jenama Nokia akan dilupakan. Langkah HMD untuk menghasilkan telefon jenama sendiri bukannya perkara baru kerana HMD telah pun dedahkannya sejak September 2023 lagi. Jadi ini mungkin langkah HMD untuk mengembangkan perniagaan mereka tanpa perlu bergantung terhadap jenama Nokia
Tambahan pula, Ketua Pegawai Pemasaran Nokia dan HMD, Lars Silberbauer dalam satu hantaran di LinkedIn turut mengatakan mereka sedang beralih daripada menjadi pemegang lesen kepada syarikat dengan jenama sendiri. Lars juga memaklumkan mereka akan memperkenalkan barisan produk baharu di acara MWC pada hujung bulan ini.
Telefon Nokia akan ditamatkan?
Jadi, adakah telefon Nokia akan ditamatkan? Nampaknya tidak. Berdasarkan laporan The Hindu, HMD Global menolak dakwaan tersebut dan memaklumkan pengguna akan terus melihat telefon Nokia baharu pada masa akan datang. Mereka menekankan akan terus maju dengan strategi jenama baharu di mana ia akan menghasilkan peranti di bawah jenama HMD bersama-sama dengan Nokia.
Lebih-lebih lagi, dalam kenyataan di laman web HMD, mereka juga ada memaklumkan telefon Nokia akan terus dijual dan menerima sokongan penuh, serta pengguna masih boleh membeli produk Nokia melalui laman web HMD. Ini bermakna telefon itu Nokia tidaklah serta-merta ditamatkan pengeluarannya.
Dalam pada itu, syarikat itu juga mendedahkan mereka akan mengemas kini saluran YouTube mereka kepada HMD dari Nokia Mobile sebagai sebahagian daripada langkah strategi terbaru mereka. Selain daripada telefon HMD tersendiri dan juga telefon Nokia, HMD akan memperkenalkan produk dengan kerjasama baharu pada tahun ini.
[Sumber: AndroidPolice]