Beraya di kampung bersama sanak-saudara memang menyeronokkan. Tetapi perlu menghadap kesesakan jalan raya sehingga berjam lama untuk sampai ke kampung, boleh merosakkan mood, betul tak? Jalan terbaik adalah untuk membuat semakan keadaan trafik sebelum anda memulakan perjalanan.
Tak tahu untuk semak kesesakan trafik macam mana? Sebenarnya ada banyak cara boleh dilakukan untuk mengetahui keadaan lalu lintas sama ada berlaku kesesakan atau tidak. Jom saya kongsikan beberapa cara yang boleh anda pilih untuk cek keadaan trafik.
1. Aplikasi navigasi
Bila sebut aplikasi navigasi jalan, rata-rata dari kita mesti akan terfikir Waze atau Google Maps, kan? Memang betul, kedua-dua aplikasi itu merupakan cara paling mudah untuk anda mengetahui jalan yang bakal ditempuhi itu sesak atau tidak.
Secara amnya, Waze atau Google Maps akan melaporkan sebarang kesesakan jalan raya selepas anda memasukkan destinasi yang ingin dituju. Jika ada kesesakan, biasanya akan dipaparkan laluan alternatif lain yang boleh dipilih. Sebab itu amat disarankan untuk menyemak keadaan lalu lintas walaupun anda sudah tahu jalannya. Ini kerana kedua-dua aplikasi itu akan dikemas kini berdasarkan satelit.
Kedua-dua aplikasi itu juga keistimewaan yang tersendiri. Dengan Waze, anda boleh berbual dan membuat laporan keadaan semasa seperti kemalangan sebagai makluman kepada pengguna Waze lain. Manakala Google Maps pula membolehkan anda melihat keadaan trafik semasa secara keseluruhan. Mudah sahaja caranya:
- Klik ikon Layer pada bahagian tepi peta
- Pilih menu Traffic, tutup tetingkap
Peta akan memaparkan keadaan lalu lintas semasa dan laluan yang mengalami kesesakan akan ditunjukkan dengan warna merah.
Selain Waze dan Google Maps, ada lagi satu aplikasi yang boleh dijadikan anda jadikan pilihan, iaitu PLUS App. Bezanya, ia bukanlah aplikasi navigasi masa nyata seperti Waze atau Google Maps. Namun Pada aplikasi PLUS App ada dua fungsi yang menarik yang dapat membantu anda merancang perjalanan.
Menerusi MYPLUS-TTA, ia akan mencadangkan kepada pengguna lebuh raya PLUS waktu perjalanan yang sesuai berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar.
Manakala untuk fungsi Planner, ia akan memaparkan jalan yang akan anda lalui untuk tiba ke destinasi. Namun yang menariknya, anda turut akan dapat melihat paparan CCTV keadaan lalu lintas semasa, jadi boleh tahu jalan mana yang sesak.
Muat turun aplikasi di telefon pintar anda menerusi:
- Waze: Apple App Store atau Google Play Store
- Google Maps: Apple App Store atau Google Play Store
- MyPlus: Apple App Store atau Google Play Store
2. Laporan trafik media sosial
Selain aplikasi, anda juga boleh menyemak keadaan lalu lintas semasa melalui media sosial seperti:
Senang sahaja caranya. Anda hanya boleh ikuti akaun rasmi tersebut dan akan mendapat kemas kini maklumat keadaan lalu lintas semasa.
3. Paparan CCTV secara langsung
Mahukan laporan kesesakan yang ada gambar secara langsung? Ada dua laman web yang memaparkan keadaan semasa jalan raya yang diperolehi daripada CCTV.
Paparan CCTV dalam laman web ini bukanlah dalam bentuk video, sebaliknya gambar yang akan dikemas kini selang beberapa minit. Siap ada maklumat tarikh dan masa lagi. Jika ada CCTV yang tidak berfungsi, ia akan menunjukkan ‘Camera Down’.
Laman rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)
- Layari ke Laman rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia di pautan berikut: https://www.llm.gov.my/awam/cctv
- Pada Status Trafik Semasa, pilih lebuh raya yang akan anda lalui
- Paparan CCTV semasa akan dipaparkan
Laman web Jalannow
Sama seperti LLM, Jalannow juga akan memaparkan CCTV yang dikumpulkan dari pihak penyelenggara lebuh raya. Berikut cara untuk melihat paparan CCTV di laman web ini:
- Layari laman web Jalannow di pautan berikut: https://www.jalanow.com/
- Di bahagian atas sekali, ada 4 navigasi iaitu KL-Putrajaya, Highways, PNB/PNB 1 dan Johor-Singapore, pilih salah satu
- Jika anda klik Highways, akan dipaparkan senarai nama lebuh raya
- Klik lebuh raya tersebut dan akan terpapar gambaran CCTV keadaan trafik semasa
- Selain senarai CCTV lebuh raya di Malaysia, turut terpapar senarai laporan cuaca, harga petrol semasa, cuti di Malaysia serta talian kecemasan yang boleh dihubungi
4. Aduan berkaitan jalan raya
Laluan yang anda lalui ada kemalangan atau kerosakan jalan raya? Anda boleh membuat aduan di MyJalan KKR.
MyJalan KKR, merupakan aplikasi yang membolehkan pengguna membuat semua jenis aduan, berkaitan jalan raya seperti kerosakan, infrastruktur termasuk jalan raya yang bukan di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR). Contohnya laluan yang anda lalui ada kemalangan, jalan berlubang, lampu rosak dan lain-lain.
Aplikasi MyJalan KKR boleh dimuat turun menerusi Apple Apps Sore atau Google Play Store.
Banyakkan aplikasi dan laman web yang boleh bantu untuk menyemak kesesakan lalu lintas. Diharapkan setiap aplikasi dan laman web yang dikongsikan dapat membantu anda untuk merancang perjalanan balik kampung dengan lebih baik. Paling penting, pandu dengan cermat dan semoga selamat sampai ke destinasi.