Microsoft telah mengumumkan dua laptop Surface baharu untuk pasaran Malaysia, iaitu Surface Laptop 8 dan Surface Pro 12 yang kedua-duanya dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon X2.
Microsoft mendakwa ini adalah barisan Surface “paling laju dan paling pintar” yang pernah mereka hasilkan, dengan peningkatan ketara dari segi prestasi grafik, hayat bateri dan keupayaan AI.
Jualan rasmi akan bermula pada 23 Julai 2026, tapi tempahan sudah boleh dibuka sekarang menerusi pengedar sah termasuk All IT Hypermarket, Harvey Norman, PC Image, Senheng, SNS Network dan Thunder Match Technology.
Harga jualan dan promosi tempahan awal
Surface Pro 12 tersedia dalam satu saiz, manakala Laptop 8 pula ditawarkan dalam dua saiz. Berikut adalah harga jualannya di Malaysia:

Surface Pro 12 (13 inci)
- Snapdragon X2 Plus, RAM 16GB, SSD 256GB (Platinum) — RM6,999
- Snapdragon X2 Plus, RAM 16GB, SSD 512GB (Black & Platinum) — RM7,399
- Snapdragon X2 Elite, RAM 16GB, SSD 512GB (Black & Platinum) — RM7,899
- Snapdragon X2 Elite, RAM 16GB, SSD 1TB (Black) — RM9,199
- Snapdragon X2 Elite, RAM 32GB, SSD 1TB (Platinum) — RM11,799

Surface Laptop 8 (13.8 inci)
- Snapdragon X2 Plus, RAM 16GB, SSD 512GB (Black, Platinum & Jade) — RM7,399
- Snapdragon X2 Elite, RAM 16GB, SSD 512GB (Black, Platinum & Jade) — RM7,499
- Snapdragon X2 Elite, RAM 16GB, SSD 1TB (Black) — RM8,799
- Snapdragon X2 Elite, RAM 32GB, SSD 1TB (Black) — RM11,399
Surface Laptop 8 (15 inci)
- Snapdragon X2 Plus, RAM 16GB, SSD 512GB (Platinum) — RM7,799
- Snapdragon X2 Elite, RAM 16GB, SSD 512GB (Black) — RM7,899
- Snapdragon X2 Elite, RAM 16GB, SSD 1TB (Black) — RM9,499
- Snapdragon X2 Elite, RAM 32GB, SSD 1TB (Black) — RM12,199
Perlu diambil perhatian, warna Jade untuk Surface Laptop 8 13.8 inci hanya tersedia secara eksklusif di Harvey Norman Malaysia sahaja.
Menariknya, mereka yang membeli dari 8-22 Julai 2026 akan turut menerima hadiah tempahan awal. Ganjaran yang diberikan adalah berbeza mengikut pengedar sah, dan ini adalah senarainya:
- All IT Hypermarket — hadiah bernilai RM1,500: monitor mudah alih Acer PM161Q, kad TnG edisi terhad, fon kepala JBL Live 780NC, Amazingthing Premium Travel Kit dan Surface x Montigo Ace Gift Set
- Harvey Norman — hadiah bernilai sehingga RM1,439: Samsung Smart Monitor 32 inci dan Microsoft 365 Personal
- Senheng — hadiah bernilai sehingga RM1,121: fon kepala Sony, Medisana Mini Massage Gun, Targus Commuter Backpack dan Montigo Ace
- PC Image — hadiah bernilai RM1,500: Acer Nitro Monitor 23.8 inci, Microsoft 365 Personal, Surface Arc Mouse, Surface x Montigo Ace Gift Set, gelang kunci pickleball eksklusif dan pelindung laptop 15 inci
- TMT — hadiah bernilai RM1,500: monitor 27 inci, Insta360 Snap Selfie Screen, JBL Clip 5, pencetak Canon Pixma E410, dakwat Canon CL-57 dan Surface x Montigo Ace Gift Set
- SNS (Gloo) — hadiah bernilai RM939: waranti lanjutan Shield Card 1 tahun, Microsoft 365 Personal, Surface x Montigo Ace Gift Set, beg lengan Microsoft, baucar Grab dan baucar Secret Recipe
Semua hadiah tertakluk kepada stok masih ada.
Spesifikasi Microsoft Surface Pro 12

Surface Pro 12 meneruskan reka bentuk 2-dalam-1, yang mana ia boleh berubah daripada sebuah tablet menjadi laptop kompak apabila dipadankan bersama papan kekunci Surface Pro Flex Keyboard dan pen Surface Slim Pen (kedua-duanya dijual berasingan).
Ia tersedia dengan pilihan cip Snapdragon X2 Plus (10-teras) atau Snapdragon X2 Elite (12-teras), dengan Microsoft mendakwa prestasi grafik sehingga 53% lebih laju berbanding generasi sebelumnya.
Dari segi skrin, varian X2 Plus hadir dengan skrin peka sentuhan menggunakan panel LCD, manakala varian X2 Elite yang lebih tinggi dilengkapi skrin OLED. Kedua-duanya menolak resolusi 2880×1920 (nisbah 3:2), kadar segar semula 120Hz, kecerahan maksimum 600 nits dan kecerahan puncak 900 nits.

Untuk panggilan video, Surface Pro 12 hadir dengan kamera hadapan 1440p Quad HD ultralebar dengan Natural Framing automatik yang sentiasa pastikan pengguna berada di tengah-tengah bingkai semasa mesyuarat.
Papan kekunci Surface Pro Keyboard ini dilengkapi dengan pad sentuh haptik, dan Surface Slim Pen yang menawarkan 4,096 tahap tekanan. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa kedua-dua aksesori ini dijual secara berasingan.
Microsoft Surface Laptop 8

Sementara itu, Surface Laptop 8 pula tersedia dalam dua saiz 13.8″ dan 15“, dan ia disasar kepada golongan profesional, pencipta kandungan dan pengguna yang memerlukan lebih prestasi untuk tugasan multitask dan AI.
Seperti Surface Pro 12, ia turut dikuasakan Snapdragon X2 dan menghasilkan prestasi grafik sehingga 58% lebih laju berbanding generasi sebelumnya. Dari segi hayat bateri, model 13.8″ tahan sehingga 20 jam manakala model 15″ bertahan sehingga 19 jam.

Kedua-dua model menggunakan skrin PixelSense Flow LCD. Model 15 inci hadir dengan ketumpatan piksel yang lebih tinggi, meningkat dari 201 PPI kepada 262 PPI. jadi teks dan imej nampak lebih tajam. Microsoft turut mendakwa kamera pada Surface Laptop 8 adalah kamera laptop dengan ranking tertinggi berdasarkan DXOMARK, dilengkapi pad sentuh haptik besar dengan maklum balas boleh diubah suai.
Untuk pilihan warna, model 13.8 inci hadir dalam Black dan Platinum, dengan warna Jade eksklusif di Harvey Norman. Model 15 inci pula hadir dalam Platinum atau Black bergantung kepada konfigurasi yang dipilih. Perlu diambil perhatian, model 13 inci yang ada dalam barisan global Microsoft tidak ditawarkan di Malaysia.
Copilot+ PC dengan pemprosesan AI pada peranti
Sebagai Copilot+ PC, kedua-dua peranti ini dilengkapi NPU khusus daripada Snapdragon X2 untuk memproses tugasan AI terus pada peranti tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada awan. Microsoft menyatakan ini membolehkan aliran kerja AI hibrid, tugasan diproses secara tempatan, dan akan diskalakan ke awan apabila lebih kuasa pengkomputeran diperlukan.
Kedua-dua peranti juga hadir dengan Affinity creative suite yang sudah dipinkan pada Start menu, menyediakan akses segera kepada alat reka bentuk, penyuntingan foto dan penerbitan yang telah dioptimumkan khusus untuk perkakasan Surface.






