Anda ada bajet RM1,500 untuk telefon pintar? Sebenarnya bajet sebegini pun sudah membolehkan anda untuk dapatkan telefon pintar dengan prestasi berkelas flagship serta fungsi padat. Lagipun, ada juga yang tanya saya, telefon apa yang terbaik bawah RM1,500 dan di sini saya nak beri jawapan.
Lagi menarik, telefon lingkungan harga ini ada juga yang hadir dengan rekaan menarik dengan lampu RGB atau menggunakan kemasan kulit tiruan. Dan lagi penting, ada sokongan 5G. Oleh itu, berikut saya senaraikan telefon terbaik bawah RM1,500 untuk anda dapatkan sekarang.
Selain itu, anda juga boleh semak senarai telefon terbaik kami bawah RM600, bawah RM1,200 dan bawah RM2,000.
1. Infinix GT 20 Pro 5G – RM1,299
Pertama sekali, Infinix GT 20 Pro. Untuk para gamer, telefon ini merupakan pilihan paling menarik dan unik. Ia baru sahaja diperkenal pada awal Mei ini. Rekaannya nampak futuristik macam Infinix GT 10 Pro sebelum ini, tapi yang barunya, ia ditambah dengan lampu LED yang dipanggil Mecha Loop serta boleh integrasi dengan game atau notifikasi.
Sebagai telefon gaming, telefon ini juga ada prestasi pantas dari cip Dimensity 8200 Ultimate 4nm yang digunakan, serta dilengkapi RAM LPDDR4X 8GB dan storan pantas UFS 3.1 256GB. Selain itu, pengecasan pun pantas 45W dan lebih menarik, ia ada fungsi Bypass Charging untuk mendapatkan tenaga terus daripada blok pengecas.
Walaupun tidak memiliki butang bahu, telefon ni ada keupayaan untuk mengubah butang volum kepada butang tambahan. Skrinnya juga tak kurang hebat, gunakan panel AMOLED 144Hz dan ada sistem operasi XOS 14 for GT yang bersih, tapi kekurangannya ia tak ada kamera ultralebar.
Infinix GT 20 Pro boleh didapatkan pada harga RM1,299 di Lazada dan Shopee. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Infinix GT 20 Pro.
2. Redmi Note 13 Pro 5G – RM1,399
Kedua, Redmi Note 13 Pro. Telefon ni sesuai untuk anda yang nakkan kamera bagus sebab ia ada kamera utama 200MP berkeupayaan untuk mengezum lossless 2x atau 4x dan kamera ultralebar. Prestasinya juga bagus, digerakkan oleh cip Snapdragon 7s Gen 2 dengan RAM LPDDR4X 8GB dan storan 512GB, tapi jenis perlahan UFS 2.2.
Kelebihan lain yang telefon ini ada adalah pengecasan pantas 67W melalui USB-C, diiktiraf kalis air dan debu IP54 dan ada IR Blaster untuk jadikan telefon sebagai alat kawalan jauh. Selain itu, ia juga ada paparan cantik Crystel AMOLED rata dengan kecerahan puncak sangat tinggi 1,800 nits. Lagi menarik, telefon ini satu-satunya dalam senarai yang ada sokongan eSIM. Cuma kekurangannya, ia ada banyak iklan sebab menggunakan MIUI 14.
Anda boleh dapatkan Redmi Note 13 Pro pada harga RM1,400 di Lazada dan Shopee. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Redmi Note 13 Pro 5G.
3. iQoo Z9 5G – RM1,399
Ketiga, paling baru dilancarkan, iQoo Z9. Telefon iQoo ini adalah keluaran Vivo yang dikhususkan untuk gaming. Jadi sudah tentu ia ada prestasi tinggi. Ia dipacu oleh cip Snapdragon 7 Gen 3, dan ada RAM 8GB dan storan 256GB. Ia akan menjalankan Funtouch 14 berasaskan Android 14.
Selain itu, kapasiti bateri yang dilengkapkan juga paling besar, 6,000mAh dengan gunakan teknologi bateri grafit ultra nipis dan sokong pengecasan pantas FlashCharge 80W. Selain ada prestasi tinggi, paparan telefon ini juga pantas menyokong 144Hz dan terdapat sistem penyejukan ‘Vapor Chamber’ seluas 6,043mm² untuk menampung prestasi tingginya.
Anda boleh dapatkan iQoo Z9 pada harga RM1,399 di Lazada dan Shopee. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk iQoo Z9.
4. Samsung Galaxy A35 5G – RM1,428
Bagi peminat Samsung, Galaxy A35 merupakan pilihan menarik. Ia sebenarnya dilancarkan pada harga RM1,699, tetapi kini jauh lebih murah bawah RM1,500. Telefon ini ada prestasi baik dipacu oleh cip Exynos 1380, yang bergandingan dengan RAM 8GB dan storan 256GB.
Satu kelebihan buat telefon Samsung, telefon ini diberi beri jaminan kemas kini OS 4 kali dan keselamatan 5 tahun. Ia akan datang siap dengan sistem operasi One UI 6.1 berasaskan Android 14. Di hadapan, ia guna skrin Super AMOLED 6.6-inci 120Hz, tapi kekurangannya ia ada dagu sedikit tebal berbanding telefon lain.
Selain itu, pengecasan yang disokong agak perlahan pada 25W. Namun, kelengkapan kamera yang ia miliki mencukupi kerana ia terdapat kamera utama 50MP dengan kamera utlralebar 8MP. Namun, ia sekurang-kurangnya ia ada fungsi menarik untuk keselamatan yang dipanggil Knox Vault.
Jika berminat anda boleh dapatkan Samsung Galaxy A35 pada harga RM1,428 di Lazada dan Shopee. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Samsung Galaxy A35.
5. Poco X6 Pro 5G – RM1,299
Terakhir dan paling berkuasa dalam senarai adalah Poco X6 Pro. Telefon ini bukan sahaja ada dalam senarai telefon terbaik kami bawah RM2,000, tapi kini ada juga dalam senarai bawah RM1,500 sebab harganya kini sudah jauh lebih murah. Ia ada prestasi paling hebat daripada cip Dimensity 8300 Ultra 4nm serta ada RAM dan storan pantas, LPDDR5X 8GB dan UFS 4.0 256GB.
Untuk menampung prestasi tinggi, ia juga dilengkapi dengan teknologi LiquidCool 2.0 menampilkan Vapor Chamber seluas 5,000mm2 untuk tujuan penyejukan. Rekaanya juga agak unik kerana menggunakan kemasan kulit pada panel belakang.
Melihat pada skrin, ia menggunakan paparan Flow AMOLED 6.67-inci 120Hz dengan kecerahan puncak 1,800 nits. Skrin pula dilindungi dari kaca Corning Gorilla 5. Selain itu, saiz bateri yang dimuatkan 5,000mAh, tapi ia ada pengecasan pantas 67W dan pengecas disertakan sekali dalam kotak.
Sejurus sahaja keluar kotak, ia akan menjalankan sistem operasi HyperOS berasaskan Android 14. Kameranya pula dilengkapkan dengan tiga kamera di belakang iaitu kamera utama 64MP, ultralebar 8MP dan kamera makro 2MP.
Anda boleh dapatkan Poco X6 Pro ini di Lazada dan Shopee pada harga RM1,299. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Poco X6 Pro.