Selepas pengenalan siri Oppo Reno 11 tahun lalu, Oppo kini telah mengumumkan sekuel terbaru, iaitu Reno 12 di China. Ia merupakan siri telefon kelas pertengahan dan merangkumi dua model yang serupa seperti sebelumnya, iaitu Reno 12 dan Reno 12 Pro. Kedua-dua telefon memiliki spesifikasi yang hampir sama, tapi perbezaan terbesarnya terletak pada cip yang digunakan.
Spesifikasi Oppo Reno 12 dan Reno 12 Po
Melihat pada luaran, Reno 12 dan Reno 12 Pro berkongsi rekaan yang serupa. Ia menggunakan paparan AMOLED 6.7-inci dengan resolusi FHD+ serta kadar penyegaran 120Hz. Panel paparannya juga ada kadar sentuh 240Hz dan tahap PWM Dimming setinggi 2160Hz. Apa yang berbeza adalah, skrin Reno 12 ada kecerahan puncak 1,200 nits, manakala model Pro pula lebih tinggi pada 1,600 nits.
Seperti yang dikatakan awal tadi, perkara yang membezakan kedua-dua telefon adalah pada cip yang digunakan. Reno 12 diperkasa cip terbaru daripada MediaTek iaitu Dimensity 8250, sementara Reno 12 Pro didatangkan dengan cip lebih berkuasa, iaitu Dimensity 9200+. Cip-cip ini dipadankan dengan RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 3.1 sehingga 512GB.
Untuk tenaga, Reno 12 dan Reno 12 Pro dimuatkan dengan bateri berkapasiti 5,000mAh bersama sokongan pengecasan pantas 80W berwayar. Namun, tiada pengecasan wayarles disediakan.
Bahagian kamera pula terdiri daripada tiga kamera untuk kedua-dua model. Ia adalah kamera utama 50MP OIS, kamera ultralebar 8MP dan kamera telefoto 50MP yang mampu mengezum optikal 2x. Tapi perbezaannya adalah, Reno 12 menggunakan sensor kamera utama Sony LYT-00, manakala mode Pro gunakan sensor Sony IMX890. Untuk selfie, lubang di skrin menempatkan kamera 50MP dengan autofokus.
Selain itu, Reno 12 dan Reno 12 Pro juga diiktiraf kalis percikan air dan debu IP65, serta menyokong sambungan seperti Bluetooth 5.4, WiFi 6 dan 5G. Lagi ciri lain yang ada termasuk pemancar infra merah, speaker stereo, pengimbas cap jari dalam skrin dan datang lengkap bersama ColorOS 14 berasaskan Android 14.
Harga siri Oppo Reno 12 di China
Oppo Reno 12 dan Reno 12 Pro diperkenal dalam beberapa varian di China. Berikut adalah harga rasmi berserta varian yang ditawarkan:
- Oppo Reno 12 (RAM 12GB + storan 256GB) – CNY2,699 (~RM1,751)
- Oppo Reno 12 (RAM 12GB + storan 512GB) – CNY2,999 (~RM1,945)
- Oppo Reno 12 (RAM 16GB + storan 256GB) – CNY2,999 (~RM1,945)
- Oppo Reno 12 (RAM 16GB + storan 512GB) – CNY3,199 (~RM2,075)
- Oppo Reno 12 Pro (RAM 12GB + storan 256GB) – CNY3,399 (~RM2,205)
- Oppo Reno 12 Pro (RAM 12GB + storan 512GB) – CNY3,699 (~RM2,399)
- Oppo Reno 12 Pro (RAM 16GB + storan 512GB) – CNY3,999 (~RM2,594)
Oppo Reno 11 di Malaysia didatangkan dengan cip MediaTek 7050, manakala Reno 11 Pro pula menggunakan cip Dimensity 8200. Kedua-duanya dilancarkan hanya dalam satu varian di malaysia dengan Reno 11 memiliki RAM 12GB dan storan 256GB pada harga RM1,899, dan Reno 11 Pro pula berharga RM2,499 untuk RAM 12GB dan storan 512GB.
Jika siri Reno 12 dilancarkan di Malaysia kelak, pasti harganya akan diletakkan pada paras yang serupa kerana harga pelancaran siri Reno 11 di China adalah lebih kurang serupa dengan siri Reno 12 yang baru dilancarkan.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Reno 12 dan Reno 12 Pro.
[Sumber: GizmoChina]