Kita sudah banyak kali mendengar kisah iPhone yang hilang atau dicuri, dapat dikesan semula. Tetapi pernah tak anda dengar cerita kereta yang dicuri dapat dikesan semula dengan bantuan produk Apple? Perkara ini telah terjadi di Malaysia dan dialami sendiri oleh Zach Khai Shin. Beliau berkongsikan pengalamannya mendapatkan semula kereta yang dicuri menggunakan Apple AirTag.
Kereta hilang dalam jagaan Valet
Dalam perkongsian di Facebook, Zach Khai Shin bercerita tentang lawatan sekejap ke Suria KLCC. Untuk mengelakkan mengambil masa yang lama untuk mencari parkir, dia memutuskan untuk menghantar keretanya jenis Honda HRV ke parkir Valet Suria KLCC, pada jam 12.48 tengah hari.
Kemudian sekitar jam 1.20 petang, dia mahu mengambil semula keretanya. Tetapi selepas 15 minit menunggu ketibaan keretanya, barulah dia dimaklumkan tentang kehilangan kereta tersebut.
Dengan segera, dia meminta petugas Valet untuk menghubungi pengurus supaya boleh membuat semakan CCTV. Di samping itu, Zach menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan polis. Tidak sampai 10 minit, dua pegawai polis tiba ke lokasi.
Polis membawa Zach ke balai polis untuk membuat laporan, tetapi tidak lama kemudian dia mendapat notis kedudukan Apple AirTag yang terdapat di dalam kereta. Lokasi AirTag itu akhirnya berhenti di suatu tempat dan Zach mendapatkan bantuan rakannya untuk ke lokasi tersebut.
Setibanya di lokasi, rakan Zach bertanya pengawal keselamatan tentang kenderaan yang hilang dan ia disahkan ada di parkir. Rakan Zach segera menghubungi 999 dan pegawai polis tiba tidak sampai 10 minit kemudian. Selepas memeriksa CCTV, polis mendapati pencuri masih ada di sekitar dan dapat menangkapnya.
Suria KLCC membantu menerusi rakaman CCTV?
Pada malam kejadian, Suria KLCC telah mengeluarkan kenyataan rasmi mereka berhubung kejadian ini. Dalam kenyataan tersebut, Suria KLCC memaklumkan mereka segera melancarkan siasatan bersama pihak berkuasa selepas mendapat laporan. Semakan CCTV menunjukkan ada individu tidak dikenali memasuki kereta tersebut dan memandunya walaupun kunci kereta masih dalam simpanan kaunter Valet. Menggunakan CCTV dan sistem GPS kereta, pencuri tersebut berjaya ditangkap.
Ternyata, kenyataan ini jauh berbeza dengan cerita Zach. Tambah Zach, dia masih tidak melihat rakaman CCTV dari Suria KLCC dan mengatakan, keretanya diletak di jalan raya di luar bangunan. Tiada keselamatan langsung.
Teknologi membantu siapa?
Keupayaan Apple AirTag menjejak lokasi memainkan peranan paling penting dalam hal ini. Ia sebenarnya menggunakan teknologi Apple Find My Network yang disulitkan (encrypted) untuk berhubung sesama produk Apple termasuk iPad dan MacBook. Sekaligus menjadikan ia boleh dijejak walau di mana juga dalam dunia, selagi ada produk Apple yang berhubung ke internet berhampirannya. Bateri Apple AirTag dikatakan mampu bertahan lebih setahun.
CCTV juga telah banyak membantu masa kini, apatah lagi ia terdapat di kebanyakan bangunan dan juga kenderaan. Antaranya dalam kes Faisal Halim dicederakan. Tetapi jika tiada kerjasama pemilik CCTV, ia menjadikannya tidak membantu.
Adakah anda akan mendapatkan Apple AirTag selepas ini? Jika anda pengguna Samsung, anda boleh mendapatkan Galaxy SmartTag 2 yang memiliki fungsi serupa, tetapi hanya boleh digunakan bersama peranti Samsung Galaxy.
[Sumber: TRP]
Bacaan Berkaitan
- Apple Watch hilang dalam laut, pengguna ini jejak & dapatkannnya semula guna Find My
- AirPods hilang dalam pesawat, wanita ini berjaya temuinya semula di rumah pekerja lapangan terbang
- Pencuri peranti Apple di Subang berjaya ditangkap dalam sejam dengan aplikasi Find My
- Temubual dengan mangsa scam iklan di Facebook, bagaimana wang simpanan hilang akibat aplikasi palsu