Dalam pentas pelancaran Galaxy Unpacked 2024 yang sama dengan telefon pintar lipat Galaxy Z Fold 6 dan Galaxy Z Flip 6, Samsung turut mengumumkan kedatangan jam pintar terhebat mereka, Galaxy Watch 7 dan Galaxy Watch Ultra. Jam pintar ini menggunakan sistem operasi WearOS oleh Google, sama seperti jam Samsung sebelum ini. Ini membolehkan pelbagai perkhidmatan Google dan aplikasi dipasang ke dalam jam, menerusi Google PlayStore.
Antara perubahan ketara yang ditampilkan pada jam ini adalah tali jam beralun dan badan berbentuk petak di Watch Ultra. Ini sebenarnya sangat serupa dengan jam pintar Apple Watch Ultra. Selain itu, Samsung menerapkan kuasa Galaxy AI ke dalam jam pintar ini.
Spesifikasi Samsung Galaxy Watch Ultra
Untuk pemantauan kecergasan dan kesihatan lebih maju, Samsung memperkenal jam pintar Galaxy Watch Ultra. Ia mengekalkan rekaan bulatan Galaxy Watch, dengan perlindungan dipertingkat serta paparan yang lebih jelas.
Hanya satu saiz disediakan untuk Galaxy Watch Ultra iaitu 47mm. Ia datang dengan skrin Super AMOLED berukuran 1.5-inci dan dilapisi kaca nilam tahan lasak. Skrin ini ada kecerahan setinggi 3,000 nits tetapi turut ada mod malam, sangat malap dan mesra mata di waktu gelap. Jam ini turut dilengkapi cip terbaru Exynos W1000 3nm yang sangat berkuasa, bersama RAM 2GB serta storan dalaman 32GB.
Galaxy Watch Ultra mempunyai ketahanan ekstrem, dengan bingkai diperbuat daripada Titanium Gred 4. Ini membolehkannya kalis air sehingga 10ATM. Jam ini juga mampu beroperasi pada altitud yang lebih luas, dari sedalam 500 meter di bawah dasar laut sehingga 9,000 meter dari atas tanah.
Sistem operasi WearOS 5 oleh Google digunakan pada jam ini, dengan antaramuka One UI 6. Ia menyokong pengecasan pantas wayarles berasaskan teknologi WPC, yang diguna pakai kebanyakan pengecasan wayarles masakini. Bagi menjejak lokasi dengan lebih tepat, Samsung kini memasang sistem GPS dwi-frekuensi, pertama kali ada di siri Galaxy Watch.
Selain menjejak aktiviti kecergasan biasa, pengguna Galaxy Watch Ultra boleh menjejak berbilang kecergasan seperti triathlon menerusi fungsi baru ‘Multi-Sports tile’.
Untuk capaian pantas, Samsung menambah butang ‘Quick Button‘ untuk memulakan aktiviti kecergasan lebih cepat. Ia juga boleh diubahsuai untuk kawalan lain yang lebih diperlukan. Terdapat juga fungsi ‘Emergency Siren‘ untuk menarik perhatian sekeliling jika ada masalah keselamatan.
Untuk hayat bateri, Galaxy Watch Ultra menawarkan masa penggunaan terpanjang dalam keluarga Galaxy Watch. Ia boleh hidup sehingga 100 jam dalam mod jimat tenaga dan 48 jam untuk kecergasan dalam mod jimat tenaga.
Samsung menyediakan tiga warna badan untuk Galaxy Watch Ultra iaitu titanium putih, titanium perak dan titanium kelabu. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Galaxy Watch Ultra.
Spesifikasi Samsung Galaxy Watch 7
Samsung mahu pengguna memahami diri mereka dengan menyeluruh menerusi Galaxy Watch 7. Ia juga boleh menjadi pendorong dan motivasi untuk pengguna mencipta hari-hari yang lebih sihat dengan pelbagai cara kecergasan.
Terdapat dua saiz untuk Galaxy Watch 7, 40mm (1.3-inci) dan 44mm (1.5-inci). Skrinnya jenis Super AMOLED dan dilapisi kaca nilam yang kalis calar. Samsung mengenakan cip terbaru Exynos W1000 3nm yang sangat berkuasa, bersama RAM 2GB serta storan dalaman 32GB.
Sistem operasi WearOS 5 oleh Google digunakan pada jam ini, dengan antaramuka One UI 6. Ia menyokong pengecasan pantas wayarles berasaskan teknologi WPC, yang diguna pakai kebanyakan pengecasan wayarles masakini. Bagi menjejak lokasi dengan lebih tepat, Samsung kini memasang sistem GPS dwi-frekuensi, pertama kali ada di siri Galaxy Watch.
Sensor BioActive di dalam jam Galaxy Watch dinaiktaraf, menjadikan pengesanan lebih jitu. Ini termasuk pemantau degupan jantung, tahap tekanan darah dan ECG. Sensor baru ini juga buat pertama kalinya membolehkan pengguna mengesan tahap AGEs (advanced glycation end products), tahap penuaan biologi dan metabolik badan terus di pergelangan tangan.
Untuk kesihatan, Galaxy Watch 7 menyokong pemantauan lebih 100 aktiviti kecergasan dan dibantu dengan ‘Workout Routine‘ yang menggabungkan beberapa aktiviti menjadi kebiasaan harian pengguna. Selain itu, fungsi ‘Race‘ dapat membandingkan prestasi semasa dan sebelum pengguna masa nyata, satu lagi sebagai cara memotivasikan diri. Untuk memahami kecergasan diri, Samsung menyediakan ciri ‘Body Snapshot‘, sejenis laporan menyeluruh tentang badan pengguna.
Fungsi pintar yang terdapat pada Galaxy Watch 7 adalah seperti membalas mesej dengan kepintaran ‘Suggested Replies‘, yang mencadangkan balasan berdasarkan gaya berborak sebelum ini. Pengguna juga ada kawalan tambahan ‘Double Pinch Gestures‘, mengetap ibu jari dan jari telunjuk dua kali jika tidak dapat menyentuh jam dengan tangan. Galaxy Watch juga dilengkapi Samsung Wallet untuk pembayaran dan menyimpan pengenalan diri digital di dalam jam.
Terdapat tiga warna disediakan untuk Galaxy Watch 7 tetapi berbeza mengikut saiz. Warna hijau dan krim tersedia untuk saiz 40mm manakala warna hijau dan perak boleh didapati di saiz 44mm. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Galaxy Watch 7.
Bacaan Berkaitan
- Galaxy Z Flip 6 & Z Fold 6: Ini enam ciri Galaxy AI baharu yang perlu anda cuba
- Galaxy Unpacked 2024: Ini gambar telefon, fon putik, dan jam tangan yang akan dilancar Samsung
- Samsung Galaxy Buds 3 & Buds 3 Pro: Dikuasakan Galaxy AI dan prestasi bateri lebih baik
- Galaxy Buds 3 dan Buds 3 Pro: Harga dan promosi tempahan awal di Malaysia