Di Malaysia, penawaran telefon mampu milik semakin meriah kerana terdapat beberapa pengeluar yang telah lancarkan telefon terbaru mereka dengan harga bawah RM600 sahaja. Spesifikasi yang diberikan masih mantap dengan penggunaan cip cukup berkuasa. Malah, ada yang memiliki pengecasan pantas dan sokongan NFC.
Oleh itu, jika anda ada bajet sebegini untuk sebuah telefon pintar, di sini saya senaraikan 5 telefon terbaik bawah RM600 di Malaysia.
1. Poco M6 (6GB+128GB) – RM539
Poco M6 ini baru sahaja diperkenalkan pada pertengahan Jun. Sebenarnya, harganya sewaktu pelancarannya lebih daripada RM600, tapi kini boleh didapati jauh lebih murah, sekitar RM500 sahaja. Ia cukup berkuasa gunakan cip Helio G91-Ultra, ada skrin LCD paling besar 6.79-inci beresolusi FHD+ bersama kadar penyegaran 90Hz dan sokong pengecasan pantas 33W.
Cumanya, ia ada RAM kecil 6GB dengan storan eMMC 5.1 hanya 128GB. Tapi, kelebihan terbesar telefon ini adalah ia ada kamera utama 108MP yang sokong zum lossless 3x. Ia juga ada pengimbas cap jari di sisi, pemancar inframerah, sokongan NFC dan didatangkan dengan HyperOS berasaskan Android 14. Rekaan pun menarik tak ada takuk, sebaliknya gunakan lubang untuk tempatkan kamera depan.
Anda boleh dapatkan Poco M6 di Lazada dan Shopee.
2. Realme C63 (8GB+128GB) – RM599
Realme C63 ini juga masih baru, diperkenalkan pada awal Jun. Ia paling unik sebab gunakan kemasan kulit pada panel belakang dan hadir dengan ‘Dynamic Button’ macam iPhone 15 Pro untuk suaikan fungsi butang kuasa kepada fungsi lain. Tapi, daripada segi prestasi, ia agak kurang berkuasa kerana gunakan cip Unisoc T612 dan ada storan kecil hanya 128GB. Tapi RAM-nya besar 8GB.
Skrin pula biasa, guna panel paparan LCD 90Hz dengan resolusi HD. Tapi, ia ada ciri ‘Mini Capsule’ paparkan maklumat di dahi skrin dan sokong kawalan tanpa sentuh dengan hanya melambai di depan kamera hadapan untuk jawab panggilan atau menatal media sosial. Paling hebat, ia ada sokongan pengecasan terpantas dalam senarai pada 45W, kalis percikan air IP54, NFC, speaker mono kuat 200%, dan sokong Android 14 menggunakan antaramuka Realme UI.
Anda boleh dapatkan Realme C63 di Lazada dan Shopee.
3. Redmi 13C (6GB+128GB) – RM499
Redmi 13C ini model yang lama sikit, dilancarkan pada November tahun lepas. Tapi, ia merupakan telefon paling murah dalam senarai. Jangan tersilap dengan model 5G-nya pula. Model 4G Redmi 13C ini diperkasa cip MediaTek Helio G85, cukup berkuasa untuk kegunaan harian. Tapi storannya kecil 128GB dan RAM 6GB. Skrinnya jenis LCD 90Hz, tapi dengan resolusi hanya HD 720p.
Kapasiti bateri yang dimuatkan adalah 5,000mAh dengan sokongan pengecasan agak perlahan 18W. Namun, telefon ini dilengkapkan dengan pengimbas cap jari di sisi, lensa makro 2MP, serta diiktiraf kalis percikan air dan debu IP52. Ia juga menggunakan HyperOS terkini berasaskan Android 14 dan ada sokongan NFC.
Anda boleh dapatkan Redmi 13C di Lazada dan Shopee.
4. Nubia V60 (8GB+256GB) – RM588
Nubia V60 antara telefon terbaru yang dilancarkan ZTE pada tahun ini. Menariknya, ia ada rekaan mirip iPhone 15 Pro Max dan hadir dengan fungsi Live Island untuk paparkan notifikasi terus di dahi skrin. Seperkara menarik pada kamera hadapannya adalah, ia ada resolusi tinggi 32MP, sesuai untuk penggemar atau kaki selfie.
Bagaimanapun, prestasi Nubia V60 sedikit rendah kerana dikuasakan cip Unisoc T616. Tapi untuk harga murah, ia ada RAM besar 8GB dan storan 256GB, serta didatangkan dengan jaminan selama 18 bulan jika dibeli dari stor rasmi Nubia RedMagic.
Selain kamera selfie besar, ia juga ada kamera makro 2MP, pengimbas cap jari di sisi, sokongan NFC dan skrin LCD dengan resolusi tinggi FHD+. Tapi kadar penyegaran yang di sokong hanya 60Hz dan kekurangannya lagi, pengecasannya agak perlahan iaitu 22.5W.
Anda boleh dapatkan Nubia V60 di Lazada dan Shopee.
5. Honor X6b (6GB+256GB) – RM599
Yang terakhir, telefon paling baru tiba adalah Honor X6b. Ia ada prestasi cukup baik dikuasakan Mediatek Helio G85 dengan storan besar 256GB. Seperti telefon lain, skrinnya gunakan panel paparan LCD dengan resolusi HD dan kadar penyegaran 90Hz, di samping ada ciri Magic Capsule yang dapat besarkan takuk di atas skrin untuk paparkan notifikasi dengan lebih jelas. Lagi menarik, skrinnya juga dilengkapkan dengan fungsi ‘Always on Display’.
Bukan itu sahaja, kapasiti bateri yang ia ada pun paling besar pada 5,200mAh dan sokong pengecasan turbo 35W, mampu cas dari 0% ke 20% dalam masa 10 minit sahaja. Ia juga didatangkan dengan sistem operasi MagicOS 8.0 berasaskan Android 14, tapi kelemahan terbesarnya adalah ia tiada sokongan NFC.
Anda boleh dapatkan Honor X6b di Lazada dan Shopee.