Kerajaan Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan akan mengambil pendekatan yang lebih selamat dalam memantau platform media sosial, dengan memperkenalkan kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial. Objektif utama perlesenan ini adalah untuk menghasilkan persekitaran lebih selamat untuk semua pengguna media sosial di Malaysia.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), penguatkuasaan keperluan perlesenan media sosial ini akan dikuatkuasa bermula 1 Januari 2025. Bermula 1 Ogos sehingga 1 Januari 2025, pihak SKMM akan menghasilkan garis panduan komprehensif dengan memperincikan keperluan dan arahan yang perlu dipantau penyedia perkhidmatan semasa beroperasi di Malaysia.
Platform media sosial berkaitan perlu menyediakan perkara seperti berikut:
- Dasar dan langkah untuk perlindungan data pengguna
- Langkah keselamatan bagi kanak-kanak termasuk jaminan umur untuk menyekat pengguna di bawah umur 13 tahun daripada mengakses platform yang dikendalikan oleh Penyedia Perkhidmatan
- Dasar dan langkah untuk menangani bahaya dalam talian termasuk buli siber, penipuan dalam talian dan manipulasi seksual
- Dasar dan langkah pengawalan kandungan
- Ketelusan dalam pengiklanan dan sekatan iklan yang mempromosikan scam
- Langkah untuk melindungi kanak-kanak di bawah umur daripada kandungan berbahaya dan iklan yang mengelirukan
- Langkah untuk memudahkan prosedur aduan untuk pengguna dan masa tindak balas
- Langkahuntuk mengurus kandungan yang dijana oleh Kecerdasan Buatan (AI) yang berbahaya dan palsu
- Langkah pelaporan mengenai pematuhan Penyedia Perkhidmatan terhadap undang-undang Malaysia dan keperluan kelakuan
Platform media sosial yang memerlukan lesen
Bagaimanapun, lesen ini hanya perlu dimohon oleh penyedia platform media sosial dan tidak melibatkan pengguna. Ia terpakai untuk platform media sosial dan aplikasi permesejan yang sekurang-kurangnya memiliki 8 juta pengguna berdaftar di Malaysia. Maka, ini termasuk platform seperti Facebook, Facebook Messenger, Instagram, TikTok, WhatsApp, Telegram, WeChat, X dan YouTube.
Sekiranya sesebuah platform tersebut beroperasi tanpa lesen selepas 1 Januari 2025, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Jika bersalah, platform media sosial boleh didenda sehingga RM500,00 atau penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya sekali. Platform itu juga boleh dikenakan denda RM1,000 setiap hari jika kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Bagaimanapun, untuk platform media berlesen yang gagal mematuhi syarat perlesenan pula, SKMM juga memaklumkan pihak mereka akan menilai jenis kesalahan, impak dan kekerapan kesalahan dilakukan sebelum memulakan tindakan terhadap sesebuah platform itu. SKMM mungkin akan mengenakan tindakan dengan mengeluarkan amaran, penalti sivil ataupun kompaun.
Untuk kes paling teruk, berkemungkinan SKMM juga akan menyekat akses platform tersebut dan membatalkan perlesenan mereka.
Kenapa SKMM perkenalkan perlesenan media sosial?
Pelaksanan perlesenan ini adalah berikutan dengan peningkatatan kes scam dan penyalahgunaan platform media sosial untuk tujuan yang tidak sepatutnya. Menurut laman FAQ SKMM, trend terkini telah menunjukkan peningkatan terhadap bahaya dalam talian, terutamanya mendedahkan kanak-kanak kepada risiko eksploitasi dan manipulasi seksual.
Sementara itu, perjudian dalam talian melibatkan laporan transaksi mencurigakan (STR) juga meningkat dua kali ganda di antara tahun 2019 dan 2022, menyebabkan nilai berkaitan STR meningkat secara drastik kepada lebih RM26 bilion. Selain itu, buli siber juga adalah satu perkara yang semakin membimbangkan kerana didapati sebanyak 28% kanak-kanak di Malaysia telah menjadi mangsa buli siber, berlandaskan laporan UNICEF pada tahun 2019.
Pada tahun 2024 sahaja, sehingga bulan Julai, SKMM telah menerima sebanyak 9,483 laporan mengenai buli siber. Bukan itu sahaja, kes scam dalam talian juga telah meningkat dua kali ganda daripada 17,668 kes pada tahun 2019 ke 34,495 kes pada tahun 2024. Sebanyak RM1.4 bilion kerugian telah dilaporkan disebabkan scam sehingga Julai 2024.
Oleh itu keperluan perlesenan untuk platform media sosial ini adalah untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan dipercayai untuk semua pengguna. Ini juga dicapai melalui tindakan proaktif oleh penyedia perkhidmatan untuk melindungi pengguna berdasarkan syarat yang ditetapkan dalam keperluan perlesenan.
[Sumber: SoyaCincau]