Nothing Malaysia telah mengumumkan ketibaan telefon Nothing Phone (2a) Plus ke pasaran tempatan. Telefon ini telah pun dilancarkan di peringkat antarabangsa hujung Julai dan merupakan versi naik taraf Phone (2a) yang dilancar pada Mac lepas. Untuk model “Plus” ini, ia membawakan tiga peningkatan utama daripada segi prestasi, kamera dan rekaan.
Harga dan ketersediaan Nothing Phone (2a) Plus di Malaysia
Sejurus pengumumannya, Nothing Phone (2a) Plus boleh didapatkan oleh mereka yang berminat bermula hari ini, 5 September 2024. Hanya ada satu varian yang ditawarkan dan harga jualannya adalah seperti berikut:
- Nothing Phone (2a) Plus (RAM 12GB dan storan 256GB) – RM1,999
Untuk membuat pembelian, Phone (2a) Plus akan dijual melalui stor rasmi Nothing di Lazada dan Shopee, serta tersedia juga di pengedar sah seperti DirectD, TMT, Urban Republic, Vivid Concepts dan SS Solutions. CelcomDigi turut akan menawarkannya bermula Oktober nanti.
Berbanding Phone (2a), model Plus terbaru ini mengalami peningkatan harga sebanyak RM300 walaupun ditawarkan dengan konfigurasi RAM dan storan yang sama.
Spesifikasi Nothing Phone (2a) Plus
Spesifikasi Nothing Phone (2a) Plus telah pun diketahui sejak pelancaran globalnya. Ia dikuasakan Mediatek Dimensity 7350 Pro 4nm, cip yang direka khas untuk Nothing, dengan prestasi CPU 10% lebih baik dan prestasi GPU 30% lebih berkuasa berbanding Dimensity 7200 Pro di Phone (2a). Bergandingan dengan cip itu adalah RAM 12GB dan storan seluas 256GB.
Berkenaan skrin, model Plus ini menggunakan skrin AMOLED 6.7-inci yang sama dengan Phone (2a). Paparan itu turut ada resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran 120Hz, di samping menyokong kecerahan puncak pada 1,300 nits.
Naik taraf lain adalah pada bahagian pengimejannya di hadapan. Phone (2a) Plus kini mempunyai kamera selfie 50MP F1.88 yang mampu lakukan rakaman video 4K30. Lagi dua kamera di belakang masih kekal sama dengan Phone (2a), iaitu kamera utama 50MP OIS F1.88 dan kamera ultralebar juga 50MP F2.2.
Kapasiti bateri masih kekal dengan 5,000mAh dan Nothing menyatakan, tahap kesihatan bateri boleh kekal melebihi 90% walau selepas 1,000 kitaran mengecas. Namun, sokongan pengecasan Phone (2a) telah dipertingkat kepada 50W berbanding hanya 45W di Phone (2a). Nothing dakwa ia mampu mengecas dari 0 ke 50% dalam masa 21 minit dan mencapai 100% dalam masa 56 minit sahaja.
Sistem operasi yang dijalankan telefon ini adalah Nothing OS 2.6 berasaskan Android 14. Nothing turut menjanjikan kemas kini OS selama tiga tahun dan keselamatan empat tahun. Ia ditawarkan dalam dua warna iaitu warna kelabu dan hitam metalik.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Nothing Phone (2a) Plus.