Sony telah mengumumkan PlayStation 5 Pro (PS5 Pro), kemas kini pertengahan kepada PlayStation 5 yang sudahpun masuki tahun keempat ia dijual di peringkat global. Ada beberapa perubahan yang ia bawakan.
Pertama sekali daripada segi fizikaliti. Di bahagian tengah badannya, akan anda nampak jalur melintang berwarna putih. Itu sahajalah perbezaan daripada segi fizikal antara PS5 dan PS5 Pro. Selebihnya, kemas kini letaknya di bahagian dalam konsol.
PS5 Pro perkenal naik taraf “Big Three”
Mike Cerny, ketua jurutera PlayStation, memberitahu yang Sony memperkenalkan naik taraf bergelar “Big Three” pada PS5 Pro iaitu:
- Larger GPU
- Advanced Ray Tracing
- AI-Driven Upscaling
GPU PS5 Pro kini lebih besar yang bermakna bilangan pemproses turut meningkat sebanyak 67%. Modul memori pula ditukar kepada yang 28% lebih pantas lantas memberikan proses rendering 45% lebih pantas. Antara manfaat yang boleh dirasai gamers adalah kadar bingkai seperti bermain dalam mode Performance walaupun sedang berada dalam mode Fidelity.
Dalam permainan yang sudahpun optimum pada segi kadar bingkai, naik taraf pada grafik pula boleh dilihat.
Sony turut memasukkan komponen baharu untuk menjayakan PlayStation Spectral Super Resolution (PSSR) iaitu ciri upscaling seakan Nvidia DLSS dan AMD FSR.
Sistem Ray-Traysing pada PS5 Pro telah ditambah baik. Kini ia mengira pantulan ataupun pembiasan cahaya sehingga 3 kali ganda lebih pantas.
PS5 Pro dijual pada harga USD699.99 (~RM3,039) dan tempahan awal bermula 26 September 2024. PS5 yang dijual di Malaysia buat masa ini adalah RM2,069 untuk versi Slim Digital manakala RM2,449 untuk Slim Disc.
PS5 Pro naik taraf minimum, naik harga ketara
Sekiranya anda tinjau platform media sosial, ramai yang menzahirkan kekecewaan dengan pengumuman ini. Faktor utama menyumbang kepada kemarahan ini adalah tokokan harga yang melampau. Seperti yang dikatakan tadi, harga jualan PS5 Pro adalah USD699.99 (RM3,033) dan ia USD250 lebih mahal berbanding PS5 yang kini ditawarkan pada harga USD449.99 (RM1,950).
Beza USD250 untuk naik taraf cuma di bahagian GPU adalah sesuatu yang tidak munasabah menurut gamers. Istilah “Big Three” yang digunakan untuk menjustifikasi naik taraf juga dikatakan mengelirukan kerana Advanced Ray Tracing dan Larger GPU adalah perkara yang sama sementara.
Kalau anda bandingkan sewaktu pelancaran PS4 Pro dulu. Perbezaan edisi Pro dengan yang bukan adalah USD100 sahaja dan ketika itu, naik tarafnya agak signifikan iaitu daripada output 1080p kepada 4K.
Bahagian GPU juga dilapor ditambah baik daripada output sekitar 1.4 teraflops kepada 4.198 teraflops. Kemudian, modul RAM 1GB DDR3 dimasukkan bagi membebaskan sebanyak 512MB GDDR5 untuk digunakan aplikasi yang tiada kaitan dengan permainan.
Berbalik kepada PS5, lagi yang mengecewakan, sudahlah harga naik, aksesori vertical stand pula dijual berasingan. Tindakan ini gamers menggelarkannya sebagai meniru Apple yang tak lagi berikan kepala pengecas pada iPhone mereka. Untuk rujukan anda, PlayStation 5 Stand (Slim) dijual adalam pasaran Malaysia pada harga RM149.
Perlu diingatkan juga yang PS5 Pro ini dijual dalam versi digital sahaja iaitu tanpa pemacu cakera Blu Ray. Kalau anda nak main permainan daripada cakera Blu Ray, PlayStation 5 Disc Drive perlu dibeli pada harga RM529.