JPJePlate adalah satu inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ). Kerajaan berpendapat sudah tiba masanya satu tindakan drastik diambil dan objektif yang ingin dipenuhi adalah:
- menambah baik tahap keselamatan jalan raya hasil penggunaan bahan retropantulan untuk tahap kebolehnampakkan tinggi terutamanya pada waktu malam.
- mengurangkan risiko kecurian kenderaan melalui nombor plat yang sukar dipalsukan
- membantu penguat kuasa melakukan pengecaman dengan pantas sewaktu operasi dan kecemasan
- menjadikan plat pendaftaran sebagai salah satu komponen dalam Intelligent Transportation System (ITS).
JPJePlate mempunyai tahap kebolehnampakkan yang tinggi, tidak boleh dipalsukan, dan diintegrasikan ke dalam ekosistem Intelligent Transportation System (ITS).
EV berdaftar selepas 9 September 2024 wajib guna JPJePlate
JPJePlate diwajibkan ke atas semua EV yang didaftarkan selepas 9 September 2024. Buat pemilik sedia ada, laman pendaftaran minat untuk menggunakan JPJePlate sudahpun dibuka.
Buat masa ini, JPJePlate hanya akan digunakan oleh EV milik persendirian. EV seperti van ataupun lori kurier tidak termasuk dalam penguatkuasaan ini. Lagi EV yang tidak termasuk adalah motorsikal elektrik.
Walau bagaimanapun, visi jangka panjang JPJePlate adalah ia akan diguna di semua kenderaan bermotor di Malaysia termasuklah yang menggunakan enjin petrol. Makanya, isu nombor plat fancy akan diselesaikan sepenuhnya.
Beza JPJePlate dengan nombor plat biasa
Nombor plat yang digunakan motokar di Malaysia sekarang adalah berdasarkan Jadual Ketiga, kaedah 6, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pendaftaran dan Pelesanan) 1959. Ada dua rekaan yang diterima pakai iaitu, rekaan pertama huruf di atas dan nombor di bawah sementara rekaan kedua. Nombor plat pu
Kemudian cara pemasangan pula mengikut Kaedah 5, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959. Perkara yang perlu dipatuhi apabila ingin mempamerkan plat pendaftaran adalah:
- Pamerkan di hadapan dan id belakang secara menegak
- Plat mestilah mudah dilihat pada siang hari pada jarak 60 kaki untuk motosikal dan 75 kaki untuk lain-lain kenderaan
- Plat mestilah mudah dilihat pada malam hari pada jarak 50 kaki untuk motosikal dan 60 kaki untuk lain-lain kenderaan
Itu spesifikasi plat pendaftaran lama. Buat JPJePlate, ia terdiri daripada beberapa komponen utama.
Ciri sebuah JPJePlate di EV
Satu set JPJePlate mengandungi tiga komponen utama iaitu:
- JPJePlate plat depan
- JPJePlate plat belakang
- Pelekat RFID
Plat JPJePlate ditampal di kenderaan menggunakan skru keselamatan khas. Sehingga diberitahu, pemasangan skru keselamatan khas adalah tidak wajib. Pengguna buat masa ini boleh menggunakan pelekat sedia ada untuk melekatkan JPJePlate pada kereta masing-masing.
Skru keselamatan ini tidak boleh dibuka tanpa merosakkannya apabila telah dipasang. Di atas sekeping JPJePlate, sebanyak 9 ciri boleh anda temui:
- Imej bendera Malaysia
- Cetakan timbul “MAL” (Kod Pendaftaran Kenderaan Antarabangsa”
- Kod warna punca kuasa (hijau untuk EV)
- Cetakan timbul nombor pendaftaran di atas kerajang antipemalsuan
- Calitan holografik
- Kod QR tandatangan digital
- Nombor siri diukir laser
- Cip RFID
- Lubang skru keselamatan
Harga JPJePlate untuk EV
Satu set JPJePlate boleh anda dapatkan pada harga RM98. Ia adalah set yang mengandungi dua plat JPJePlate (depan & belakang) dan pelekat RFID. Harga adalah termasuk kos penghantaran standard ke pusat-pusat pemasangan bertauliah.
Proses penghantaran JPJePlate menggunakan penghantaran biasa mengambil masa 1 hingga 2 hari bekerja untuk penghantaran dalam Semenanjung Malaysia dan 3 hingga 4 hari bekerja untuk penghantaran ke Sabah & Sarawak.
Penghantaran secara on-demand ataupun ekspress juga disediakan untuk pemohon dalam Lembah Klang. Penghantaran yang jaraknya kurang daripada 40km dikenakan bayaran sebanyak RM40. Penghantaran yang jaraknya lebih daripada 40km dikenakan bayaran sebanyak RM60.
Servis penggantian juga ditawarkan sekiranya terdapat kerosakan berlaku pada mana-mana komponen JPJePlate. Kos gantian JPJePlate untuk setiap komponen adalah seperti berikut (harga termasuk kos penghantaran):
- Plat depan – RM70
- Plat belakang – RM30
- Pelekat RFID – RM35
Dokumen yang diperlukan sewaktu tempah JPJePlate
Dalam fasa pertama implementasi JPJePlate, hanya OEM dan pengedar kereta boleh memohon JPJePlate bagi pihak pembeli kenderaan yang mendaftarkan EV bermula 9 September 2024. Fasa kedua pula akan dimulakan pada 9 November 2024 dan dibuka untuk EV yang berdaftar sebelum 9 September 2024.
Permohonan boleh dilakukan di https://jpjeplate.jpj.gov.my.
Setiap permohonan perlu mengepilkan:
- Surat Keputusan Berjaya Bidaan daripada sistem JPJeBid.
- Sijil Pendaftaran Sementara e-Daftar
- Resit bayaran tempahan nombor pendaftaran yang dibayar melalui Portal mySIKAP awam atau kaunter JPJ.
JPJePlate dilindungi jaminan sehingga 10 tahun
JPJePlate mematuhi piawaian ISO 7591 dan DIN 74069. Setiap set JPJePlate dilindungi jaminan seperti berikut:
- Jaminan daripada karat 10 tahun
- Jaminan daripada kehilangan data RFID 10 tahun
- Jaminan daripada kerosakan RFID 7 tahun
- Jaminan daripada terkopek / pudar 5 tahun
JPJePlate boleh dipindah milik
JPJePlate boleh dipindah milik dan prosedur penukaran adalah mengikut SOP standard pertukaran hak milik motokar yang digariskan JPJ. Anda boleh rujuk Panduan Tukar Hakmilik Secara Sukarela untuk maklumat lanjut.
Panduan Tukar Hakmilik Secara Sukarela
Pertukaran hak milik EV secara sukarela boleh dilakukan melalui pengesahan biometrik. Kedua-dua pihak iaitu penjual (pemilik semasa) dan pembeli (pemilik baharu) perlu hadir di JPJ untuk lakukan pengesahan biometrik. Untuk kes EV bukan milik individu persendirian, seorang wakil boleh dilantik untuk mewakili tuan punya kenderaan.
Berikut adalah dokuman yang diperlukan untuk proses tukar hakmilik EV secara sukarela:
- Pemilikan individu: Dokuman pengenalan (MyKad, MyTentera, MyPR, ataupun paspot)
- Pemilikan syarikat: Salinan Borang 49, Borang 9, atau Borang 13 yang disahkan oleh setiausaha syarikat ataupun Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan surat kebenaran untuk menjual.
- Borang JPJK3 yang dilengkapkan oleh pemilik baharu
Akhir sekali, fi untuk tukar hak milik kenderaan untuk EV adalah sebanyak RM100.
Peniaga dan Pemilik Kedai Aksesori Kereta boleh tawar servis pasang JPJePlate
Handal Ceria Sdn. Bhd. adalah syarikat tunggal yang dilantik JPJ untuk membekal dan mengendalikan pesanan JPJePlate bagi fasa rintis. Dalam masa akan datang, lebih ramai pembekal akan dipertimbangkan untuk sediakan perkhidmatan yang sama.
Pembekal ini akan menghantar pesanan-pesanan JPJePlate ke pusat-pusat pemasangan bertauliah. Setakat artikel ini ditulis, sebanyak 396 pusat pemasangan bertauliah telah disenaraikan dalam pengkalan data JPJePlate. Buat pengedar kereta dan kedai aksesori kenderaan, mereka boleh menyertai JPJePlate sebagai rakan niaga untuk menyediakan servis pemasangan JPJePlate.
Pendaftaran minat boleh dilakukan di laman rasmi JPJePlate.
Pasang JPJePlate dan terima kredit mengecas EV daripada ChargEV
Yinson GreenTech sedang menawarkan kredit mengecas EV percuma kepada golongan awal yang menggunakan JPJePlate pada EV mereka. Kredit RM20 akan diedar kepada 3,000 pengguna JPJePlate setiap bulan untuk 12 bulan sebagai insentif kerana mengguna pakai teknologi baharu ini.
3,000 pengguna untuk 12 bulan bermakna 36,000 pemilik EV boleh memanfaatkan tawaran ini. Ia turut bermakna Yinson GreenTech membelanjakan hampir RM720,000 untuk menjayakannya.
Buat yang berminat untuk mendapatkannya, mereka perlu memasang aplikasi Lugo dan cari tawarkan berkenaan dalam aplikasi itu sendiri. Kredit percuma ini akan mula boleh ditebus 22 Oktober 2024 ini.