Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini telah melaksanakan sistem pelepasan imigresen menggunakan kod QR. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menyediakan pemeriksaan imigresen yang lebih lancar dan efisien bagi para pelancong.
Selain itu, ia juga adalah langkah penyelesaian terhadap isu kesesakan yang sering berlaku kawasan ketibaan dan pelepasan di Terminal 1 dan 2 KLIA.
Sistem kod QR dalam tempoh percubaan bermula Januari 2025
Tempoh percubaannya dijalankan bermula Januari 2025 di Terminal 1 dan 2 KLIA, dengan sebanyak 40 lorong khusus disediakan bagi pengoperasiannya. Dengan penggunaan sistem kod QR ini, masa pelepasan imigresen dikatakan dapat disingkatkan kepada 5 hingga 7 saat, berbanding 15 hingga 25 saat dengan cara konvensional.
Bagaimana sistem kod QR bagi pelepasan imigresen ini berfungsi?
Untuk memanfaatkan sistem ini, penumpang perlu menggunakan aplikasi MyBorderPass bagi membolehkan kod QR dijana. Tetapi sebelum itu, penumpang harus mendaftarkan segala maklumat perjalanan di dalam aplikasi sebelum menggunakan sistem kod QR di lapangan terbang.
Bagi yang tidak tahu, aplikasi MyBorderPass telah pun diperkenal pada bulan Ogos tahun 2024 untuk kegunaan merentas sempadan Johor-Singapura.
Berbalik kepada sistem kod QR, ia akan menyimpan maklumat perjalanan dan identiti penumpang secara digital. Apabila kod QR diimbas di titik pemeriksaan imigresen, pintu automatik akan terbuka dan anda perlu masuk ke lorong dan imbas muka. Selepas disahkan, pintu kedua akan terbuka dan anda boleh keluar.
Dengan sistem ini, iamembolehkan pengutipan data dan pengesahan pantas tanpa memerlukan pasport fizikal dikeluarkan. Ini sekalu gus mempercepatkan proses pelepasan imigresen.
Sistem ini juga sebahagian daripada usaha untuk memodenkan operasi lapangan terbang dengan memanfaatkan teknologi digital. Ia adalah untuk tambah baik pengalaman penumpang serta kurangkan kesesakan di kaunter imigresen terutamanya di waktu puncak atau musim perayaan.
Walau bagaimanapun, kaunter imigresen dan pagar automatik konvensional masih boleh digunakan seperti biasa walaupun sistem kod QR telah diperkenalkan. Ini bermakna anda ada pilihan untuk menggunakan sistem yang lebih anda selesa.
Cara daftar aplikasi MyBordarPass untuk pelepasan imigresen
Untuk daftar aplikasi MyBorderPass, caranya adalah mudah dan apa yang anda perlu hanyalah telefon pintar dan pasport fizikal anda. Berikut adala langkahnya:
- Muat turun aplikasi MyBorderPass (Google Play Store, Apple App Store)
- Jika ini anda pengguna baru, tekan “REGISTER NOW’.
- Kemudian, benarkan aplikasi untuk imbas pasport anda dengan menunjukkan halaman butiran pasport (halaman yang terdapat gambar anda). Pastikan bahagian Zon Boleh Dibaca Mesin (MRZ) di bawah halaman kelihatan jelas dan tidak terhalang.
- Aplikasi akan menangkap butiran pasport anda termasuk nama penuh, nombor IC, jantina, tarikh lahir, nombor pasport dan tarikh luput pasport
- Isi maklumat untuk dihubungi
- Ambil selfie untuk pengesahan muka
- Selesai
Perlu untuk anda tahu juga bahawa aplikasi memerlukan 4 digit PIN sebagai langkah keselamatan apabila anda mahu membuka aplikasi. Kod QR juga akan berubah secara automatik setiap 60 saat.
Jika anda telah memperbaharui pasport, anda boleh kemas kininya di aplikasi. Terdapat bahagian “Update Passport” di aplikasi MyBorderPass dan anda boleh imbas semula butiran pasport baharu.
Adakah sistem kod QR ini selamat?
Sistem kod QR ini direka dengan mengambil kira aspek keselamatan. Penggunaan sistem kod QR ini bertujuan untuk meningkatkan aspek keselamatan dan kecekapan perkhidmatan melalui penggunaan teknologi terkini dan mengurangkan ketirisan.
Kod yang dijana juga akan disulitkan dan hanya mengandungi maklumat perjalanan dan identiti yang relevan untuk tujuan pengesahan. Bukan itu sahaja, teknologi tersebut juga menjanjikan tahap keselematan yang dipertingkatkan kerana dapat kurangkan kesilapan manual dan potensi kebocoran data.
Prosedur keselamatan yang menyeluruh turut dilaksanakan bagi memantau warganegara luar yang menggunakan sistem kod QR. Buat masa ini, kemudahan ini tersedia untuk 63 warganegara lain, termasuk rakyat Malaysia. Untuk warganegara luar, mereka perlu menghantar Kad Ketibaan Digital Malaysia, kecuali untuk warnganegara Singapura.
Anda masih perlu bawa bersama pasport fizikal
Walaupun pasport fizikal tidak diperlukan semasa menggunakan sistem kod QR, penumpang diwajibkan untuk sentiasa membawa pasport sepanjang perjalanan.
Jika anda tertanya adakah hanya Malaysia yang menggunakan sistem kod QR ini, jawapannya adalah tidak. Terdapat beberapa lagi negara lain yang turut mengguna pakai teknologi QR untuk mempercepatkan proses pelepasan imigresen mereka. Ini termasuk negara seperti Singapura, Jepun dan beberapa lagi negara Eropah.
[Sumber: Malay Mail]