Xiaomi telah melancarkan telefon Poco terbaharu, iaitu Poco X7 dan Poco X7 Pro di pasaran Malaysia. Ia merupakan telefon jenama Poco yang pertama hadir dengan tahap kekalisan air IP68. Menurut Poco, siri Poco X7 lepas untuk dibawa selam 1.5 meter dalam air sehingga 30 minit.
Harga Poco X7 dan Poco X7 Pro di Malaysia
Poco X7 dilancarkan pada harga bermula RM1,199, tetapi terdapat promosi pembelian awal membolehkan anda nikmati diskaun RM200 untuk pembelian dari sekarang hingga 25 Januari 2025. Terdapat dua varian Poco X7 yang ditawarkan dan berikut adalah harganya di Malaysia:
- Poco X7 (RAM 8GB dan storan 256GB) – RM1,199 (pembeli awal: RM999)
- Poco X7 (RAM 12GB dan storan 512GB) – RM1,399 (pembeli awal: RM1,199)
Poco X7 tersedia untuk dibeli sekarang dengan harga promosi di stor rasmi Poco di Lazada.
Sementara itu, Poco X7 pula dijual bermula RM1,499 dan anda turut boleh dapatkannya pada harga lebih murah bermula RM1,299 semasa promosi pembelian awal yang berjalan dari sekarang sehingga 25 Januari 2025. Poco X7 Pro ditawarkan dalam tiga varian dan berikut adalah harganya di Malaysia:
- Poco X7 Pro (RAM 8GB dan storan 256GB) – RM1,499 (pembeli awal: RM1,299)
- Poco X7 Pro (RAM 12GB dan storan 256GB) – RM1,599 (pembeli awal: RM1,399)
- Poco X7 Pro (RAM 12GB dan storan 512GB) – RM1,699 (pembeli awal: RM1,499)
Poco X7 Pro boleh didapatkan di stor rasmi Poco di Shopee.
Spesifikasi Poco X7 Pro
Poco X7 didatangkan dengan paparan rata jenis Crystal AMOLED 6.67″ beresolusi 2712 x 1220 dengan kadar penyegaran 120Hz dan kecerahan puncak 3,200 nits. Ia juga direka khusus untuk gaming, menampilkan kadar pensampelan sentuh setinggi 2,560Hz apabila mod Game Turbo diaktifkan. Melapisi kaca skrinnya adalah kaca Corning Gorilla Glass 7i.
Atas papan utama, ia dikuasakan cip MediaTek 8400 Ultra dengan kombinasi RAM LPDDR5X sehingga 12GB dan storan UFS 4.0 sehingga 512GB.
Untuk kamera, Poco X7 Pro menggunakan tetapan dua kamera di belakang. Ia adalah kamera utama 50MP OIS F1.5 menggunakan sensor Sony IMX882, serta kamera ultralebar 8MP F2.2. Sistem kameranya juga sokong rakaman 4K dengan OIS dan EIS. Di hadapan, terdapat kamera selfie 20MP dengan lampu “Soft-light ring”.
Tenaga telefon disalurkan oleh bateri 6,000mAh, kapasiti paling besar yang pernah dimuatkan di telefon Poco siri X. Jika bateri habis, ia boleh dicas pantas pada kuasa 90W HyperCharge, hanya ambil masa 42 minit untuk cas dari 0-100%. Kepala pengecas 90W diberikan dalam kotak.
Sistem audio telefon ini menggunakan speaker stereo dan ia turut diiktiraf kalis air dan debu IP68.
Spesifikasi Poco X7
Poco X7 berkongsi sedikit sebanyak spesifikasi sama dengan X7 Pro, tetapi menggunakan paparan melengkung 3D, pertama dalam siri telefon Poco. Paparan tersebut adalah Crystal AMOLED 6.67″ dengan resolusi 2712 x 1220 dan kadar penyegaran 120Hz. Kadar kecerahan puncak skrin adalah setinggi 3,000 dan ia dilindungi dengan kaca lebih baik, Corning Gorilla Glass Victus 2.
Di dalam, ia diperkasa dengan cip MediaTek Dimensity 7300 Ultra yang dipadankan dengan RAM LPDDR4X sehingga 12GB dan storan lebih perlahan UFS 2.2 512GB.
Beralih di bahagian kamera, walaupun Poco X7 adalah model lebih murah, ia menggunakan tetapan tiga kamera berbanding hanya dua. Kamera tersebut adalah kamera utama 50MP OIS F1.5 yang turut menggunakan sensor Sony IMX882, kamera ultralebar 8MP F2.2 dan kamera makro 2MP f2.4.
Kamera selfie 20MP turut dipakai di Poco X7, dengan ia ada dengan lampu “Soft-light ring” yang sama.
Kapasiti bateri yang dilengkapkan pada Poco X7 sedikit lebih kecik, 5,110mAh dengan sokongan pengecasan 45W. Pengecasn 45W turut diberikan dalam kotak dan boleh mengecas penuh telefon dalam masa 52 minit.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Poco X7 dan Poco X7 Pro.