Samsung dalam acara Galaxy Unpacked yang baru sahaja melabuhkan tirainya telah memperkenalkan flagship terbaru, iaitu siri Galaxy S25. Keluarga Galaxy S25 masih mengekalkan tiga model yang serupa seperti sebelum ini, iaitu Galaxy S25, Galaxy S25 Plus dan Galaxy S25 Ultra.
Macam tahun-tahun sebelumnya, tidak banyak yang berubah daripada segi rekaan, tetapi Samsung ada memberikan sedikit pembaharuan pada estektik Galaxy S25 Ultra, serta membawakan naik taraf fungsi AI, dengan siri Galaxy S25 digelar sebagai “true AI companion”. Jadi, ini adalah maklumat tentang siri Galaxy S25.
Spesifikasi Samsung Galaxy S25 Ultra
Bermula dengan Galaxy S25 Ultra, Samsung mengatakan yang ia adalah telefon paling nipis, ringan dan tahan lasak dalam siri Galaxy. Walaupun estetik luarannya tidak banyak berubah, S25 Ultra kini ada bucu yang lebih bulat untuk cengkaman yang lebih selesa, dengan bingkai yang diperbuat daripada bahan titanium.
Panel paparan yang digunakan adalah masih sama, iaitu Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi QHD+ dan kadar penyegaran 120Hz. Tetapi skrinnya ada bezel 15% lebih nipis menjadikan skrin S25 Ultra lebih besar berukuran 6.9″ berbanding 6.8″ di S24 Ultra. Kaca pelindung juga telah dinaik taraf kepada kaca Corning Gorilla Amor 2, yang menurut Samsung lebih teguh dari kaca.
Atas papan utama, Samsung telah melengkapkan Galaxy S25 Ultra dengan cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy, yang ada kelajuan CPU dan GPU lebih pantas daripada versi biasa. Menurut Samsung, Snapdragon 8 Elite for Galaxy ada peningkatan sebanyak 37% pada CPU, 30% pada GPU dan 40% NPU berbanding generasi sebelumnya.
Bagi memastikan penyejukan yang efisien, Galaxy S25 Ultra juga telah dimuatkan dengan vapor chamber 40% lebih besar berbanding generasi sebelumnya.Semua varian Galaxy S25 Ultra dibekalkan dengan RAM LPDDR5X 12GB dengan tiga pilihan storan dalaman UFS 4.0 iaitu sama ada 256GB, 512GB dan 1TB.
Bergerak ke bahagian pengimejan, tidak ada yang berubah kecuali pada kamera ultralebarnya. Daripada kamera 12MP, Galaxy S25 Ultra kini ada kamera ultralebar 50MP F1.9. Lain-lain kamera masih sama seperti generasi sebelum ini, iaitu kamera utama 200MP OIS F1.7, kamera telefoto 50MP F3.4 berkemampuan zum optikal 5x, kamera telefoto kedua 10MP F2.4 berkemampuan zum optikal 3x dan kamera selfie 12MP F2.2.
Meskipun perkakasan kameranya tidak banyak berubah, sistem pengimejannya kini tampil dengan ProVisual Engine generasi terkini, jadi anda boleh jangkakan hasil Nightography lebih baik. Bukan itu sahaja, untuk video, siri Galaxy S25 juga kini sokong rakaman 10-bit HDR, boleh menganalisis pergerakan objek dalam video untuk hasil lebih tajam, serta tampil dengan Audio Eraser bolehkan anda memadam audio yang tak diingini selepas video dirakam.
Selain itu, terdapat juga keupayaan untuk rakaman dalam format Log, membolehkan anda untuk mewarnakan video dengan lebih profesional.
Kalau ada yang tak berubah langsung, ia adalah pada bahagian bateri. Galaxy S25 Ultra dikekalkan dengan bateri 5,000mAh dan sokong pengecasan 45W melalui USB-C. Dikatakan ia boleh mengecasn telefon ke 65% dalam masa 30 minit. Pengecas wayarles 15W juga masih ada, tetapi kepala pengecas 45W dijual berasingan.
Paling kecewa, S Pen pada Galaxy S25 Ultra kini tidak lagi menyokong Bluetooth, jadi ia tidak boleh digunakan untuk kawalan jarak jauh untuk ambil selfie dan main balik lagu.
Spesifikasi Samsung Galaxy S25 dan S25 Plus
Beralih kepada Galaxy S25 dan Galaxy S25 Plus, kedua-duanya berkongsi spesifikasi hampir sama dan ada naik taraf perkakasan yang minimum berbanding Galaxy S24 dan Galaxy S24. Di bahagian depan, Galaxy S25 masih menggunakan skrin Dynamic AMOLED 2X bersaiz 6.2-inci beresolusi FHD+, manakala Galaxy S25 Ultra terima skrin Dynamic AMOLED 2X berukuran 6.7-inci beresolusi QHD+.
Komponen skrin juga dilindungi kaca Corning Gorilla Glass Victus 2. Yang bagusnya, seperti Galaxy S25 Ultra, kedua-dua varian Galaxy S25 dan S25 Plus turut akan diperkasa cip Snapdragon 8 Elite, bermakna tiada lagi cip Exynos digunakan pada flagship Samsung kali ini. Cip itu dipadankan dengan RAM LPDDR5X 12GB dan storan dalaman UFS 4.0 sama ada 256GB atau 512GB.
Untuk kamera, Galaxy S25 dan Galaxy S25 Plus menggunakan perkakasan kamera yang sama. Ia adalah kamera utama 50MP F1.8, kamera telefoto 10MP F2.4, kamera ultralebar 12MP 2.2, dan kamera hadapan 12MP F2.2 yang diletakkan dalam lubang di atas skrin. Sistem pengimejannya juga hadir dengan ProVisual Engine generasi terkini, keupayaan merakam 10-bit HDR, ada Audio Eraser serta sokongan rakaman berformat Log.
Lagi perkara yang tiada perubahan adalah bahagian baterinya. Galaxy S25 kekal menggunakan bateri 4,000mAh, manakala Galaxy S25 Plus memiliki bateri 4,900mAh, masih tidak digenapkan pada 5,000mAh. Sokongan pengecasan pantas 45W melalui USB-C terdapat di Galaxy S25 Plus, sementara model S25 ada sokongan pengecasan 25W USB-C. Kedua-duanya turut boleh dicas secara wayarles pada kuasa 15W.
Ciri Galaxy AI yang dipertingkatkan
Kesemua model dalam siri Galaxy S25 akan menjalankan sistem operasi One UI 7 berasaskan Android 15, dengan Galaxy AI adalah perkara yang diketengahkan. Menurut Samsung, One UI 7 menyediakan pengalaman AI lebih seakan manusia, integrasi lebih baik serta penglaman AI yang lebih diperibadikan.
Siri Galaxy S25 ni kini tampil dengan Now Brief, dengan ianya boleh berikan notifikasi penting pada waktu tertentu seperti cuaca, ringkasan tidur, serta cadangan rutin pemanduan atau kecergasan. Jadi anda akan dapat lihat now Brief pada waktu pagi, tengah hari atau petang. Ia berfungsi macam widget dan boleh diakses melalui lock screen dan skrin utama.
Kemudian, terdapat juga fungsi AI Select yang ditambah baik dengan keupayaan untuk anda menghasilkan GIF terus daripada video. Circle to Search juga kini menyokong untuk pencarian lagu yang sedang dimainkan di telefon. Samsung juga dah tambah baik fungsi Generative Edit bagi pengeditan gambar, serta terdapat fungsi AI Best Face yang bolehkan anda untuk edit dan buka mata yang tertutup dalam gambar.
Berkenaan integrasi AI pula, Samsung telah tambah baiknya supaya AI boleh berfungsi dengan lebih banyak aplikasi. Sebagai contoh, anda kini boleh gunakan Gemini untuk mencari restoran, kemudian kongsikannya kepada aplikasi pihak ketiga. Anda juga boleh mengambil gambar dengan Gemini, seterusnya mencari resipi dan simpan hasil carian terus ke dalam Notes.
Samsung juga menjanjikan kemas kini OS sebanyak 7 kali dan kemas kini keselamatan 7 tahun pada siri Galaxy S25.
Harga siri Samsung Galaxy S25 di Malaysia
Berbanding siri Galaxy S24 tahun lepas, harga pelancaran kali ini bagi Galaxy S25 dan Galaxy S25 Ultra adalah lebih rendah. Berikut adalah harga jualan bagi siri Galaxy S25 di Malaysia:
- Galaxy S25 256GB – RM3,999
- Galaxy S25 512GB – RM4,599
- Galaxy S25+ 256GB – RM4,999
- Galaxy S25+ 512GB – RM5,599
- Galaxy S25 Ultra 256GB – RM5,999
- Galaxy S25 Ultra 512GB – RM6,599
- Galaxy S25 Ultra 1TB – RM6,599