Samsung telah memperkenalkan barisan telefon kelas pertengahan terbaharu dalam siri Galaxy A untuk tahun 2025, iaitu Galaxy A56, A36 dan A26. Seperti siri Galaxy S25, Samsung membawakan pengalaman AI terkini pada siri Galaxy A terbaru yang dikuasakan oleh sistem operasi terkini mereka One UI 7.
Lebih menarik, Samsung juga telah meningkatkan sokongan kemas kini perisian untuk Galaxy A56, A36 dan A26 dengan 6 tahun kemas kini OS dan keselamatan.
Spesifikasi Galaxy A56, Galaxy A36 dan Galaxy A26

Sementara siri Galaxy A terbaru ini masih memberikan fokus pada AI sama seperti pelancaran siri Galaxy S25, Samsung tidak menggunakan istilah “Galaxy AI” untuk siri ini, sebaliknya menggantikannya dengan “Awesome Intelligence”.
Menurut pengumuman Samsung, “Awesome Intelligence adalah AI mudah alih yang pertama dan komprehensif yang eksklusif tersedia pada Galaxy A56 5G, Galaxy A36 5G dan Galaxy A26 5G dan membawa kepada pengguna alat AI yang berkuasa, menyeronokkan dan mudah digunakan.”

Antara ciri baru pada Awesome Intelligence termasuk Circle to Search, Object Eraser dan Filter. Walau bagaimanapun, kelihatan beberapa ciri yang dikuasakan AI hanya tersedia untuk model tertinggi Galaxy A56, seperti Best Face dan Nightography.
Merentasi model, ketiga-tiganya dilengkapi dengan skrin Super AMOLED 6.7″ dengan resolusi FHD+ dan menyokong kadar penyegaran 120Hz. Dua model teratas, Galaxy A56 dan Galaxy A36 menampilkan kamera hadapan yang ditempatkan dalam lubang di skrin, manakala Galaxy A26 menggunakan takuk.



Untuk ketahanan lebih baik, ketiga-tiga model juga mendapat kaca Corning Gorilla Glass Victus+ pada bahagian skrin dan panel belakang. Ia juga diiktiraf kalis percikan air dan debu IP67. Perbezaan terbesar antara tiga peranti adalah pada segi cip yang digunakan.
Galaxy A56 dikuasakan cip Exynos 1580, manakala Galaxy A36 5G menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 6 Gen 3. Model kelas permulaan pula diperkasa cip sedikit tua, iaitu Exynos 1380.
Di bahagian pengimejan, ketiga-tiga peranti ini dilengkapi tiga kamera di belakang, dengan salah satunya adalah kamera utama 50MP. Galaxy A56 turut memiliki kamera ultralebar 12MP dan kamera makro 5MP, sementara Galaxy A36 turut menampilkan tetapan kamera sama tetapi dengan kamera ultralebar 8MP.

Manakala, Galaxy A26 menggunakan kamera ultralebar 8MP dan kamera makro 2MP. Untuk selfie, Galaxy A56 dan A36 didatangkan dengan kamera depan 12MP, sementara Galaxy A26 terima kamera 13MP. Membekalkan tenaga pada ketiga-tiga peranti adalah bateri berkapasiti 5,000mAh, tetapi dengan pengecasan berbeza.
Sokongan pengecasan 45W diberikan pada Galaxy A56 dan Galaxy A36. Namun, sokongan pengecasan untuk Galaxy A26 tidak pula dinyatakan, tetapi berkemungkinan ia adalah pengecasan 25W yang sama seperti sebelumnya. Perlu juga diingatkan kepala pengecas tidak disertakan dalam kotak.

Untuk pertama kalinya di siri Galaxy A, Samsung menjanjikan kemas kini OS 6 kali dan kemas kini keselamatan 6 tahun. Ini merupakan peningkatan ketara berbanding siri Galaxy A tahun lepas, yang hanya diberikan kemas kini OS 4 kalu dan 5 tahun keselamatan. Sejurus keluar kotak, siri Galaxy A terbaru akan menjalankan sistem operasi One UI 7 berasaskan Android 15.
Pilihan warna yang tersedia untuk Galaxy A56 adalah kelabu, hitam, hijau dan pink, manakala Galaxy A36 boleh didapatkan dalam warna ungu, hitam, putih dan hijau. Galaxy A26 pula didatangkan dalam warna hitam, putih, hijau dan pink.
Samsung Malaysia menawarkan diskaun RM100 untuk siri Galaxy A terbaru



Setakat ini, maklumat mengenai harga untuk Galaxy A56, A36 dan A26 di Malaysia masih lagi belum didedahkan. Tetapi, Samsung Malaysia menawarkan baucar berharga RM10 yang akan memberikan anda diskaun RM100 untuk pembelian peranti siri Galaxy A terbaru ini nanti.
Siri Samsung Galaxy A untuk tahun 2025 dijangka akan dilancar di Malaysia pada 18 Mac 2025. Mereka yang mendapatkan eBaucar boleh menebusnya di antara 18 Mac hingga 31 Mac 2025.
[Sumber: Samsung]