PRISM+ telah memperluas penawaran barisan produk rumah mereka di Malaysia, dengan pengenalan dua produk baharu, iaitu kipas siling PRISM+ Laguna dan peti sejuk PRISM+ PureFresh.
Harga dan ketersediaan PRISM+ Laguna dan PureFresh di Malaysia
Orang ramai yang berminat boleh pratempah kipas siling Laguna dan peti sejuk PureFresh bermula 6 Mac 2025 melalui stor rasmi prismplus.my. Berikut adalah harga serta model yang ditawarkan di Malaysia:

Kipas siling Laguna:
- Standard – RM279
- Smart – RM179
- Lampu LED tambahan – RM40
- Bilah kipas kayu – RM10
Peti sejuk PureFresh:
- FDR580 (580L) – RM1,999
- FDR700 (700L) – RM2,599
- SBS720 (720L) – RM 2,599
Peti sejuk mini PureFresh:
- MB50 (75L) – RM359
- MB90 (110L) – RM459
Kipas siling PRISM+ Laguna

PRISM+ Laguna adalah kipas siling yang boleh disesuaikan dengan bilah kipas dan gaya berbeza, dikatakan PRISM+ adalah yang pertama di Malaysia. Ia boleh didapatkan dalam tiga piliihan warna iaitu putih, hitam dan merah jambu, dengan pilihan bilah berbeza termasuk kayu dan boleh dilengkapi lampu LED tambahan dalam tiga tona sama ada kuning hangat, putih hangat dan putih sejuk.

Tersedia dalam dua model Smart dan Standard, model Smart menawarkan ciri-ciri pintar melalui aplikasi PRISM+ Connect, manakala model standard dilengkapi kawalan menggunakan alat kawalan jauh. Tanpa mengira model, kipas ini didatangkan dengan reka bentuk bilah yang diinsprasikan daripada wingtip (hujung sayap) dan mampu menawarkan prestasi aliran udara kuat sehingga 10,025 CFM untuk memastikan penyejukan yang optimum.

Walaupun mampu menghasilkan aliran udara kuat, kipas ini juga cekap tenaga dengan beroperasi pada tahap kuasa yang rendah daripada biasa iaitu 35-40W, sekali gus menjimatkan kos elektrik yang perlu ditanggung. Ia juga menggunakan sistem Parrel Ball untuk digantung pada siling, yang dikatakan dapat menawarkan tahap keselamatan dan kestabilan lebih tinggi.


Antara ciri pintar yang pengguna peroleh dengan model Smart apabila disambungkan dengan aplikasi PRISM+ Connect termasuk mod angin semula jadi untuk udara nyaman, mod tidur untuk tidur yang nyenyak dan mod terbalik untuk pengedaran udara lebih baik.
Bukan itu sahaja, terdapat juga ciri pintar lain seperti kawalan jauh melalui aplikasi, kawalan suara Google Assistant dan penetapan rutin yang boleh diintegrasi dengan penyaman udara PRISM+ Luna. Dalam masa sama, aplikasi tersebut juga membolehkan anda untuk menjejak tingkah laku dan penggunaan kipas siling dengan mudah.

PRISM+ Laguna turut didatangkan dengan 10 tahun waranti motor dan 2 tahun waranti untuk semua bahagian lain, hanya jika anda memilih pemasangan oleh PRSIM+. Jika tidak, waranti yang ditawarkan adalah lebih pendek, 5 tahun motor dan 1 tahun bahagian lain.
Peti sejuk PRISM+ PureFresh

Bersama-sama dengan PRISM+ Laguna, barisan peti sejuk PureFresh turut diperkenalkan dan ia hadir dalam beberapa model. Ini termasuk peti sejuk empat pintu FDR580 berkapasiti 580L dan FDR700 berkapasiti 700L yang hadir dalam warna kelabu dan hitam, serta peti sejuk dua pintu SBS720 berkapasiti 720L yang turut tersedia dalam warna kelabu dan hitam.




Peti sejuk bersaiz penuh ini menawarkan ruang storan yang mencukupi dengan susun atur kemas, serta dilengkapi teknologi No Frost untuk mengelakkan pembentukan ais. Malah, ia turut menggunakan pemampat inverter dengan sistem penyejukan berbilang zon untuk tingkatkan kecekapan tenaga dan mengekalkan kesegaran makanan, di samping dilengkapi sensor pintar yang boleh melaraskan suhu berdasarkan persekitaran rumah.

Seterusnya, model peti sejuk mini MB50 dan MB90 pula diposisikan sebagai solusi yang lebih kompak dengan harga mampu milik. Ia ditawarkan dalam dua pilihan warna sama ada kelabu dan hitam, dan menampilkan rekaan yang mudah untuk dimuatkan di ruang kecil, pemampat jimat tenaga, tombol untuk kawal suhu dan pintu boleh tukar arah.


Setiap unit peti sejuk PureFresh juga akan didatangkan dengan waranti pemampat 12 tahun untuk kebolehpercayaan jangka panjang dan ketenangan fikiran.