Selepas diumumkan di pentas antarabangsa beberapa hari lepas, kini Nothing telah melancarkan Phone (3a) dan Phone (3a) Pro di pasaran Malaysia. Ia merupakan telefon kelas pertengahan terbaharu Nothing dan telefon pertama mereka yang dilengkapi dengan kamera telefoto.
Walaupun diberikan beberapa naik taraf pada bahagian kamera dan binaan yang lebih premium, harga untuk siri Phone (3a) ini masih kekal sama seperti Nothing Phone (2a) dan Phone (2a) Plus sebelum ini.
Harga dan ketersediaan Phone (3a) dan Phone (3a) Pro di Malaysia
Kedua-dua Phone (3a) dan Phone (3a) Pro ditawarkan dalam satu varian dan berikut adalah harga jualannya di Malaysia:
- Nothing Phone (3a) RAM 12GB dan storan 256GB – RM1,699
- Nothing Phone (3a) Pro RAM 12GB dan storan 256GB – RM1,999

Tempahan awal untuk Phone (3a) dan Phone (3a) Pro akan dibuka bermula 8 Mac 2025 di pengedar sah Nothing terpilih. Jualan rasmi Phone (3a) akan bermula pada 22 Mac, manakala Phone (3a) Pro pula bermula pada 7 April. Nothing juga menyatakan Phone (3a) Pro akan dilancarkan secara terhad pada 22 Mac melalui Nothing.tech.


Pembelian dalam tempoh tempahan awal akan disertakan dengan beg Nothing, stiker Nothing, sarung telefon, fon putik CMF Buds, Lanjutan waranti satu tahun dan jaminan perlindungan skrin 1 tahun. Anda boleh dapatkan siri Nothing Phone (3a) melalui Nothing.tech, Lazada, Shopee dan TikTok Shop, atau di pengedar sah Nothing seperti DirectD, TMT,Urban Republic, Vivid Concepts, TAC Mobile, SS Solution dan Nothing Image Store.

Sementara itu, peminat juga berpeluang menjadi yang pertama untuk dapatkan Phone (3a) Pro dengan tawaran eksklusif di kedai Crossover di Sunway Pyramid, pada 15 Mac bermula jam 11 pagi.
Spesifikasi siri Nothing Phone (3a)

Kedua-dua model dalam siri Nothing Phone (3a) ini berkongsi spesifikasi yang hampir sama. Cuma perbezaan boleh dilihat pada bonggol kamera yang digunakan. Phone (3a) menggunakan susunan kamera mendatar yang nampak seperti Phone (2a), manakala Phone (3a) Pro pula mempunyai bulatan kamera besar dengan setiap lensa diletakkan secara asimetri.

Tahap kalis percikan air dan debu Phone (3a) dan Phone (3a) telah dipertingkatkan kepada IP64 berbanding IP54 pada model sebelumnya.
Di bahagian paparan, kedua-dua model dilengkapi dengan paparan yang sama. Ia adalah paparan bersaiz 6.77″ jenis AMOLED dengan resolusi FHD+ dan sokong kadar penyegaran 120Hz. Panel itu juga mempunyai kecerahan puncak 3,000 nits bersama-sama dengan kadar pensampelan sentuh 1,000Hz dan tahap PWM Dimming 2,160Hz.

Atas papan utama, Nothing melengkapkan telefon kelas pertengahan Phone (3a) dan Phone (3a) Pro baru mereka dengan cip Qualcomm Snapdragon 7s Gen 3, tiada lagi MediaTek. Cip itu dipadankan dengan RAM sehingga 12GB dan storan sehingga 256GB, dan macam biasa tiada slot kad mikroSD yang disediakan.

Bagi sistem kamera di belakang, Phone (3a) didatangkan dengan kamera utama 50MP OIS dengan sensor 1/1.57″, kamera ultralebar 8MP dengan sensor 1/4″dan kamera telefoto 50MP dengan sensor 1/2.75″ dengan kemampuan zum optikal 2x dan zum digital sehingga 30x. Selfie pula boleh ditangkap dengan kamera 32MP yang diletakkan dalam lubang di skrin.

Phone (3a) turut menggunakan kamera utama 50MP dan kamera ultralebar 8MP yang sama, tetapi didatangkan dengan kamera telefoto periskop 50MP OIS yang memanfaatkan sensor lebih besar 1/1.95″ dari Sony. Kamera telefoto ini juga berkebolehan untuk zum 3x dan zum jauh sehingga 60x secara digital. Tangkapan selfie boleh dilakukan dengan kamera 50MP.


Salah satu pembaharuan yang dibawa pada siri Phone (3a) ini adalah ia kini dilengkapi butang baru yang dipanggil Essential Key. Butang ini terletak di bawah butang kuasa dan boleh berfungsi untuk menangkap kandungan di skrin apabila ditekan sekali, manakala tekan lama membolehkan anda untuk merakam suara atau idea dengan pantas. Kemudian ia akan menyimpan tangkapan layar atau suara yang diuruskan dengan AI.
Menekan butang dua kali pula akan membawakan anda ke Essential Space, iaitu ruang peribadi anda yang menyimpan dan memaparkan segala kandungan penting yang anda telah tangkap.


Membekalkan tenaga pada kedua-dua peranti adalah bateri 5,000mAh, kapasiti bateri yang sama seperti sebelum ini. Menurut Nothing, jangka hayat bateri boleh mencecah 26 jam utnuk menstrim video di YouTube dan 11 jam untuk main PUBG. Tahap kesihatan bateri juga didakwa boleh kekal lebih 90% walaupun selepas 1,200 kitaran cas. Bateri boleh dicas dengan kuasa 50W USB-C, tetapi tiada pengecasan wayarles.
Nothing Phone (3a) tersedia dalam tiga pilihan warna, iaitu hitam, putih dan biru, manakala versi Pro ditawarkan dalam warna hitam dan kelabu.