Hujung Januari lalu, Samsung telah melancarkan siri Galaxy S25 yang terdiri daripada tiga model yang serupa. Model Galaxy S25 masih lagi menjadi model paling kompak dalam barisannya dan mengekalkan sebahagian besar reka bentuk dan spesifikasi yang sama dengan Galaxy S24.
Macam tahun-tahun sebelumnya, Samsung masih memberikan peningkatan yang minima daripada segi perkakasan bagi peranti flagship mereka. Sebaliknya mereka lebih menumpukan pada penambahbaikan perisian dan integrasi AI.

Selain dilengkapi dengan lagi banyak ciri Galaxy AI dan menggunakan operasi terbaru One UI 7, Galaxy S25 juga telah dinaik taraf dengan cip lebih berkuasa Qualcomm Snapdragon 8 Elite, menggantikan cip Exynos yang terdapat pada model sebelumnya.
Dengan perubahan yang sangat minima, adakah model kompak Galaxy S25 ini berbaloi untuk dimiliki? Di sini saya akan berkongsikan ulasan dan pandangan saya mengenai telefon kompak terbaru Samsung.
Spesifikasi Galaxy S24
- SoC Snapdragon 8 Elite
- RAM LPDDR5x 12GB
- Storan UFS 4.0 256GB
- Skrin Dynamic AMOLED 2X 6.2-inci (1-120Hz) 3,200 nits
- Kamera Utama 50MP F1.8 OIS
- Kamera telefoto 10MP F2.4 OIS 3x zum optikal
- Kamera ultralebar 12MP F2.2 120˚
- Kamera hadapan 12MP F2.2 PDAF
- Bateri 4,000mAh
- Pengecas pantas USB-C 25W, wayarles 15W
- Sistem operasi One UI 7 (Android 15)
- Rangkaian: 5G, LTE, Wi-Fi 6E, Bluetooth v 5.3
- Kalis air IP68
Rekaan kompak, kini lebih ringan

Seperti biasa, kita mulakan dengan rekaan. Berbanding model tahun lepas, sebenarnya tak ada perubahan ketara pada rekaan Galaxy S25. Ia masih tampil dengan bingkai sisi rata, panel belakang kaca dan menggunakan susunan tiga modul kamera menegak di belakang.


Cuma apa yang berubah hanyalah bulatan modul kamera di belakang yang kini sedikit besar. Lain-lain perkara masih sama.

Sementara rekaan dan dimensinya tidak berubah, Galaxy S25 nyata terasa lagi ringan dalam tangan berbanding Galaxy S24, Atas kertas, Galaxy S25 memiliki berat 162 gram, manakala Galaxy S24 pula seberat 166 gram, jadi tak hairanlah kalau model tahun ini rasa lebih ringan.

Tetapi walaupun ringan, kualiti binaannya tetap terasa premium dan rekaan kompaknya memudahkan peranti dikendalikan dengan satu tangan. Malah, Galaxy S25 juga terasa lebih kecil dan kompak berbanding iPhone 12 Pro yang saya gunakan, meskipun memiliki dimensi skrin yang lebih besar.
Unit yang kami terima ini hadir dalam warna merah baharu dan sejujurnya saya agak suka dengan warnanya kerana bukan sahaja kelihatan cantik, malah memberikan penampilan unik. Warna merahnya tidaklah terlalu menyerlah seperti Galaxy S20 Ultra terdahulu, sebaliknya lebih lembut dan sedap untuk dipandang.

Mengulas bahagian paparan pula, tak ada perkara yang berubah dari Galaxy S24. Namun ia bukanlah perkara yang tak bagus sebab skrinnya ada kualiti baik, warna cantik dan cukup responsif. Panelnya juga boleh pergi agak cerah menjadikan tiada masalah untuk penggunaan di luar di bawah cahaya matahari.

Cuma, sayang kerana Samsung masih menggunakan kaca Corning Gorilla Victus 2 pada model ini berbanding kaca Gorilla Armor 2 yang lebih tahan calar yang terdapat pada Galaxy S25 Ultra.
Akhirnya Snapdragon!

Perubahan ketara pada Galaxy S25 terdapat pada segi cip yang ia gunakan. Galaxy S25 kini diperkasa cip Snapdragon 8 Elite, tidak seperti sebelum ini yang diperkasa cip Exynos. Bukan setakat itu, kapasiti RAM juga telah dipertingkatkan daripada 8GB ke 12GB.
Untuk menguji prestasi Galaxy S25, saya cuba main Genshin Impact pada tetapan grafik paling tinggi dengan 60FPS. Game boleh dimain dengan lancar tanpa masalah dan langsung tidak tersekat-sekat walaupun bermain dalam tempoh yang panjang.
Sementara prestasi Galaxy S25 cukup laju dan lancar untuk penggunaan harian dan gaming, ia nampaknya sedikit kurang berkuasa berbanding Galaxy S25 Ultra. Ini kerana, hasil ujian penanda aras yang diperoleh Galaxy S25 di Geekbench 6 adalah sedikit lebih rendah untuk teras tunggal dan pelbagai teras. Ini saya kongsikan markah ujian tanda aras yang dicatat Galaxy S25 di Geekbench 6 dan 3D Mark.




Pun begitu, ia masih satu peningkatan berbanding Galaxy S24 terdahulu yang mencatatkan markah 2,070 di Geekbench 6.



Semasa menjalankan tugas berat seperti bermain game dan menjalankan ujian penanda aras, telefon akan terasa sedikit suam pada panel belakang, tetapi tidak menjejaskan prestasi telefon secara keseluruhan.
Antara muka baharu, Galaxy AI lebih berkuasa


Peningkatan dan perubahan lain Galaxy S25 terdapat pada perisian. Menjalankan sistem operasi One UI 7 terkini, Galaxy S25 memiliki pelbagai ciri baharu bersama-sama dengan antara muka baru dengan visual lebih menarik dan mesra pengguna.

Sebagai contoh, ia kini ada Now Bar yang boleh memaparkan info seperti pemasa, navigasi peta dan rakaman suara dalam ruang berbentuk di skrin kunci. Maka, boleh dikatakan Now Bar ini adalah ciri Dynamic Island versi Samsung.


Terdapat juga fungsi Now Brief yang boleh menyediakan maklumat rutin harian anda. Walaupun ia adalah tambahan ciri yang baik, saya berasa tiada keperluan untuk menggunakannya. Kerana pada kebanyakan masa, ia hanya memaparkan butiran mengenai cuaca dan kalendar, sesuatu yang saya boleh lihat sendiri melalui widget di halaman utama.

Fungsi seperti terjemahan ketika panggilan, rumusan teks, ubah audio kepada teks dan Generative Edit masih ada pada Galaxy S25. Tetapi, satu perkara yang ditambah baik Samsung adalah ciri untuk padam objek, yang kini menawarkan hasil yang lebih baik.


Bahkan, hasil yang dijana Galaxy AI juga kelihatan lebih baik dan semula jadi berbanding Apple Intelligence. Anda boleh lihat video TikTok kami mengenai perbezaan antara Galaxy AI dan Apple Intelligence.
Lagi perkara baru adalah, Galaxy S25 didatangkan dengan fungsi AI select membolehkan anda peroleh maklumat atau kandungan yang ada pada skrin. Misalnya anda boleh jana imej AI berdasarkan objek pada video di YouTube atau menghasilkan GIF dengan mudah.


Ciri AI Audio Eraser terbaru juga agak menarik. Ia membenarkan anda untuk memadam audio tertentu daripada video, dan hasil agak mengejutkan kerana ia boleh membezakan lagu dan memadamnya daripada latar dengan sempurna.

Pembantu maya Bixby juga masih ada, tetapi ia kini telah beralih kepada Google Gemini secara default, yang boleh diseru dengan menekan butang kuasa lama.
Kamera sama seperti tahun lepas

Selain daripada modul kamera yang kelihatan lagi besar, sistem kamera Galaxy S25 masih kekal sama seperti sebelum ini, iaitu tetapan yang sama telah diperkenal sejak Galaxy S23. Mungkin Samsung mengambil pendekatan “jika masih bagus, buat apa tukar?”

Oleh yang demikian, prestasi kamera Galaxy S25 secara keseluruhannya adalah baik, tetapi tiada apa yang mengejutkan tentangnya. Gambar yang ditangkap menggunakan kamera utama buahkan imej cantik, tajam dan tahap HDR yang bagus. Malah, hasil gambar malam juga agak memuaskan.

Kualiti gambar untuk zum jauh 20x pun agak baik dengan butirannya masih jelas kelihatan. Kamera ultralebar dan kamera depan juga berikan hasil cukup memuaskan.
Cuma satu perubahan yang dapat diperlihatkan adalah warna yang dihasilkan kini nampak lagi terang dan lebih saturated berbanding kamera Galaxy S24. Tambahan pula, saya dapati model kali ini mampu menangkap imej dengan lebih pantas dan lancar tanpa sebarang “shutter lag”.
Untuk lebih jelas, ini saya sertakan sampel gambar yang ditangkap menggunakan Galaxy S25.

















Seperti model tahun lepas, istem kameranya juga masih boleh merakam pada resolusi sehingga 8K dengan 30 FPS. Tetapi kini, ia menyokong rakaman berformat Log dan warna boleh diperbetulkan dengan mudah dengan pergi ke “Details” dan tekan “Correct colour”.

Hayat bateri cukup panjang
Walaupun ia adalah sebuah telefon kompak, hayat bateri Galaxy S25 cukup bagus. Saya dapat gunakannya hingga ke akhir hari tanpa masalah dan mendapat masa screen on time sehingga 7 jam untuk penggunaan seperti melayari media sosial, tengok YouTube dan bermain game. Main Mobile Legends dalam masa dua jam pun hanya memakan bateri sekitar 17%.

Untuk sebuah telefon kompak, pada saya ia sudah cukup bagus. Tahap efisiensi sebegiini mungkin disumbangkan oleh penggunaan cip Snapdragon 8 Elite yang lebih cekap tenaga dan sistem operasi One UI 7 baharu.


Walau bagaimanapun, kekurangannya masa pengecasan yang sangat perlahan, mengambil masa sekitar 1 jam 20 minit untuk dicas penuh menggunakan pengecasan berwayar. Jadi, nak tak nak, memang kena cas sebelum tidur untuk mulakan hari dengan bateri penuh.
Pengecasan wayarles pun masih ada pada kuasa 15W, tetapi kini menyokong piawaian Qi 2 bermakna ia boleh digunakan dengan pengecasan wayarles magnetik. Oh ya, macam biasa kepala pengecas tidak disertakan dalam kotak, perlu beli berasingan.
Masih IP68, bukan IP69 seperti telefon flagship lain
Pada masa yang sama, tahap perlindungan yang disokong Galaxy S25 kekal pada paras sama, iaitu kalis air IP68 dan bukannya IP69. Kalis air IP69 kini bukan sahaja semakin banyak digunakan pada telefon flagship, malah telefon kelas pertengahan. Sekiranya Samsung menawarkan perlindungan IP69 pada flagship mereka, pasti ia memberikan nilai tambahan lebih ketara pada Galaxy S25.
Baik beli ke tak beli?

Secara keseluruhannya, Galaxy S25 bukanlah satu pembaharuan besar berbanding generasi sebelumnya. Tetapi itu bukanlah untuk mengatakan Galaxy S25 adalah telefon yang tidak bagus. Ia masih sebuah peranti flagship yang cukup mantap dalam pelbagai aspek dan dapat memenuhi keperluan harian pengguna dengan cemerlang.
Perkara baik pada model tahun lepas masih dikekalkan seperti skrin berkualiti tinggi, hayat baterinya tahan lama, kamera cukup baik dan prestasi yang sangat lancar. Malah, rekaan kompaknya juga merupakan kelebihan besar bagi anda yang mahukan peranti kecil, mudah disimpan dalam poket dan dikendalikan satu tangan.

Sudah pasti, perisian juga menjadi salah satu kelebihan utama Galaxy S25. Ia menawarkan antara pengalaman Android terbaik dan dilengkapi dengan fungsi Galaxy AI yang lebih berkuasa.
Tambahan pula, Samsung juga telah menurunkan harga Galaxy S25. Ia dijual bermula RM3,999 untuk RAM 12GB dan storan 256GB, iaitu RM200 lebih murah berbanding Galaxy 24 yang dilancar pada harga RM4,099 untuk RAM lebih kecil 8GB dan storan sama 256GB. Jadi, tidak dinafikan bahawa Galaxy S25 adalah telefon lebih bagus.

Namun, jika dibandingkan Galaxy S25 dengan Xiaomi 15, flagship kompak dari Xiaomi kelihatan lebih menarik dan berbaloi. Ini kerana, Xiaomi 15 ada sistem kamera ditala Leica, sokong pengecasan jauh lagi pantas 90W USB-C dan 50W wayarles, bateri lebih besar dan storan dua kali ganda 512GB untuk harga lebih murah, RM3,699. Kepala pengecas pun dapat dalam kotak.
Terdapat juga Pixel 9 yang berharga bermula RM3,999, sama seperti Galaxy S25. Tetapi, Pixel 9 ada storan lebih kecil 128GB, cip lagi kurang berkuasa, pengecasan perlahan 27W dan tiada kamera telefoto, walaupun sistem kamera Pixel terkenal mampu hasilkan imej baik.
Kalau anda adalah pengguna Galaxy S24 atau Galaxy S23 sedia ada, saya rasakan tiada banyak sebab untuk anda dapatkan Galaxy S25 tahun ini. Tetapi, Kalau anda pengguna peranti lama dan mahu beralih ke telefon kompak, anda pasti tidak akan kecewa dengan Xiaomi 15, melainkan anda mementingkan perisian dan ciri AI yang lagi berkuasa, dan dalam hal ini saya mencadangkan anda dapatkan Galaxy S25.
Pendapat anda pula bagaimana? Adakah anda akan dapatkan Galaxy S25 ataupun sebaliknya? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen ya.