[Artikel ini dibawakan oleh PayNet]
Bayangkan pagi anda dimulakan dengan membeli secawan kopi di kafe kegemaran di sebelah pejabat anda. Tanpa perlu membuka dompet, anda hanya keluarkan telefon pintar dan buat pembayaran menggunakan dompet digital. Tidak perlu lagi cari wang tunai atau menunggu baki, transaksi anda sudah selesai dalam sekelip mata. Inilah kelebihan pembayaran tanpa tunai.
Dalam era moden ini, terutamanya bagi generasi muda, sistem tanpa tunai kini bukan sekadar pilihan, tetapi sudah menjadi keperluan. Tetapi kenapa? Mari kita selami dengan lebih mendalam mengapa peralihan ke sistem pembayaran tanpa tunai sangat penting dan bermanfaat buat kita semua.
Pantas, mudah dan tiada gangguan

Bermula dengan proses pembayaran lebih pantas. Kita semua tahu betapa sibuknya kehidupan seharian. Jadi, siapa saja yang mahu beratur dalam barisan panjang dan tunggu wang tunai untuk dikira satu per satu, betul tak? Kalau membeli barang atau berbelanja, dah akan memakan masa banyak.

Tetapi dengan sistem pembayaran tanpa tunai, semuanya berlaku dalam sekelip mata. Anda hanya perlu tap kad atau peranti pada mesin pembayaran, kemudian pembayaran selesai.
Sekarang, pilihan pembayaran tanpa tunai adalah pelbagai. Katakanlah anda tertinggal kad kredit anda di rumah, anda boleh gunakan sahaja telefon pintar untuk membuat pembayaran melalui Apple Pay, Samsung Pay mahupun aplikasi e-dompet seperti Touch ‘n Go eWallet.

Contoh pembayaran lain yang ada di Malaysia adalah DuitNow QR, yang membolehkan rakyat Malaysia untuk membuat pembayaran menggunakan kod QR, lantas menjadikan transaksi lebih lancar dan mudah, selain diterima di seluruh negara.
Bayangkan betapa banyak masa boleh dijimat apabila setiap pembelian menjadi semudah ini. Jadi, ia bukan sahaja memudahkan hidup anda, tetapi juga mempercepat urusan perniagaan.

Sistem pembayaran tanpa tunai juga sejajar dengan agenda digitalisasi negara melalui inisiatif seperti MyDigital yang bertujuan mempercepat transformasi digital di Malaysia.
Keselamatan terjamin

Pastinya satu kebimbangan yang sering muncul setiap kali kita membawa tunai ke hulu ke hilir adalah risiko kehilangan atau kecurian. Pernah tak anda alami situasi di mana dompet atau wang tunai tercicir? Kalau pernah, sistem pembayaran tanpa tunai memastikan kebimbangan seperti ini menjadi perkara lampau.
Wang anda akan tersimpan selamat di dalam akaun bank atau aplikasi digital, jauh daripada risiko kecurian atau kehilangan fizikal. Lebih-lebih lagi telefon pintar kini memiliki teknologi pengesahan biometrik dan kata kunci, sekali gus menawarkan perlindungan lebih baik terhadap wang anda.

Tambahan pula, dengan pembayaran tanpa tunai, anda tidak lagi perlu membawa tunai banyak untuk membuat pembelian dalam jumlah besar. Sekeping kad atau telefon pintar anda hanyalah yang diperlukan untuk buat pembayaran. Biar poket nampak nipis, asalkan wang anda kekal selamat.
Jimat dan menguntungkan perniagaan

Mungkin anda tidak sedar betapa banyak kos yang terlibat dalam pengurusan wang tunai, terutama bagi perniagaan. Untuk menguruskan wang tunai, ia memerlukan penyimpanan selamat, pengangkutan ke bank, dan proses pengiraan setiap hari. Semua ini akan menambah kos perbelanjaan.

Namun, kalau beralih ke pembayaran tanpa tunai, kos-kos ini dapat diminimumkan. Bahkan, perniagaan juga tidak lagi perlu risau tentang keselamatan, penyimpanan dan pengangkutan wang tunai kerana semua transaksi dilakukan secara elektronik. Ini menjadikan proses lebih cepat dan lebih selamat.

Di samping itu, pengurangan kos juga bermakna lebih banyak sumber yang boleh digunakan oleh perniagaan untuk tingkatkan kualiti perkhidmatan mereka kepada pelanggan, termasuk anda!

Dengan semakin ramai orang memilih untuk membayar secara tanpa tunai, perniagaan yang menawarkan kemudahan pembayaran digital pasti akan menarik lebih ramai pelanggan. Mesti anda pernah alami situasi di mana selepas tahu kedai tersebut tidak menerima pembayaran tanpa tunai, anda terus memilih untuk tidak membeli di situ, kan?
Pengurusan kewangan lebih teratur

Satu lagi manfaat terbesar sistem tanpa tunai adalah anda boleh menjejak semula perbelanjaan dengan mudah. Setiap perbelanjaan anda direkodkan secara digital dalam aplikasi. Oleh itu, anda boleh lihat semula sejarah perbelanjaan dan merancang kewangan dengan lagi baik.

Sebagai contoh, kalau anda sedar sebahagian besar gaji bulanan anda habis pada kopi premium, anda boleh tetapkan bajet untuk kawal perbelanjaan. Bukan sahaja sistem tanpa tunai ini memudahkan hidup, tetapi juga dapat membentuk tabiat kewangan lebih sihat.
Oh ya, perniagaan juga dapat menguruskan kewangan dengan lagi teratur kerana transaksi digital memudahkan pengiraan dan pelaporan kewangan.
Perubahan penting bagi yang tiada akaun bank

Dengan sistem pembayaran tanpa tunai, ia turut menyokong inklusi kewangan. Ini kerana, penggunaan dompet digital seperti Touch ‘n Go eWallet atau Boost Wallet membolehkan populasi yang tidak mempunyai akaun bank, terutamanya mereka yang berada di luar bandar untuk turut serta dalam ekonomi digital.
Ini memberikan peluang untuk mereka membuat transaksi, terima pembayaran, dan berinteraksi dalam dunia digital tanpa ada akses terhadap perbankan tradisional.

Namun, tidak dinafikan untuk mencapai peralihan ke era tanpa tunai yang inklusif, adalah penting untuk membina masyarakat yang celik digital. Warga emas dan komuniti luar bandar mungkin memerlukan lebih sokongan untuk memahami dan menggunakan teknologi pembayaran tanpa tunai.
Untuk itu, program latihan dan sokongan digital perlu disediakan agar mereka tak tercicir dalam proses transformasi ini.
Banyak manfaat beralih ke sistem pembayaran tanpa tunai

Mengamalkan kehidupan tanpa tunai adalah langkah seterusnya yang logik dalam kehidupan serba moden. Dengan segala manfaat yang ditawarkan, ia memudahkan urusan harian, menjimatkan masa dan memastikan setiap transaksi lebih selamat. Ia bukan hanya langkah bijak untuk individu, tetapi juga merupakan perubahan yang menyumbang kepada perniagaan.
Jadi, apa tunggu lagi? Jom manfaatkan pembayaran tanpa tunai hari ini.