Realme Malaysia telah mengumumkan bahawa mereka telah membuka tempahan awal untuk Realme 14 5G dan Realme 14 Pro 5G akan datang. Peminat boleh membuat tempahan dari sekarang sehingga 14 April 2025, iaitu sehari sebelum majlis pelancarannya yang akan berlangsung pada 15 April.
Pada tarikh tersebut, majlis pelancaran siri Realme 14 akan diadakan di IOI City Mall pada jam 2 petang. Bagi meraikan pelancarannya, Realme juga menyediakan tawaran menarik kepada mereka yang menempah siri Realme 14 dengan hanya meletakkan deposit RM20.
Sekiranya anda membuat tempahan sebelum 14 April, peranti akan boleh diambil pada hari pelancarannya, 15 April 2025. Bagaimanapun, tempahan tidak boleh dilakukan dalam talian, sebaliknya hanya tersedia di kedai jenama Realme terpilih.
Hadiah tempahan awal sehingga RM1,016

Macam yang dikatakan tadi, anda boleh menempah siri Realme 14 dengan meletakkan deposit hanya RM20. Namun, hadiah yang ditawarkan adalah berbeza untuk Realme 14 dan Realme 14 Pro, dengan Realme menawarkan hadiah bernilai sehingga RM1,016 penempah model Pro, seperti:
- Rebat 100
- Fon putik Realme Buds T01
- Kayu selfie
- Lanjutan waranti satu tahun
- Waranti bateri selama 4 tahun
Sementara itu, penempah Realme 14 akan disertakan dengan hadiah bernilai sehingga RM826 seperti:

- Rebat 100
- Fon putik Realme Buds T01
- Pelindung skrin dan sarung jari
- Lanjutan waranti satu tahun
- Waranti bateri selama 4 tahun
Spesifikasi Realme 14 dan Realme 14 Pro di Malaysia


Rupa paras Realme 14 dan Realme 14 Pro telah pun didedahkan sebelum ini, dengan Realme 14 menampilkan rekaan futuristik diinspirasi daripada Mecha, sementara model Pro mengekalkan rekaan seakan sama seperti Realme 13 Pro. Menjelang pelancarannya, Realme juga telah mendedahkan spesifikasi kedua-dua telefon tersebut.
Realme 14 didatangkan dengan skrin rata jenis AMOLED 6.67″ beresolusi FHD+ dan sokong kadar penyegaran 120Hz, manakala Realme 14 Pro menggunakan paparan AMOLED melengkung lebih besar 6.77″ juga FHD+ dan ada kadar penyegaran 120Hz.

Di dalam, Realme 14 dikuasakan cip Snapdragon 6 Gen 4 yang dikatakan mampu menawarkan prestasi gaming lancar dengan kadar bingkai 120FPS. Model Pro pula dijana cip MediaTek Dimensity 7300 Energy. Di Malaysia, kedua-dua telefon ini juga disediakan dengan kombinasi RAM 12GB dan storan dalaman 256GB.

Untuk kamera, Realme 14 dan Realme 14 Pro didatangkan dengan kamera utama 50MP f/1.8 yang menyokong OIS dan kamera selfie 16MP. Realme 14 Pro khususnya menggunakan sensor Sony IMX882 pada kamera utamanya. Bateri yang dilengkapkan pada kedua-dua model adalah berkapasiti 6,000mAh dan ia menyokong pengecasan 45W USB-C.

Realme 14 dan Realme 14 Pro juga diiktiraf kalis air dan debu IP69 dan akan menjalankan sistem operasi Realme UI 6.0 berasaskan Android 15 sejurus keluar kotak.