Selepas melancarkan Camon 40 Pro 4G pada bulan Mac, kini Tecno telah memperkenalkan pula model 5G telefon tersebut, iaitu Camon 40 Pro 5G di Malaysia. Siri Camon 40 pertama kali diperkenalkan di acara Mobile World Congress (MWC) 2025 Barcelona, dan ia terdiri daripada empat model iaitu Camon 40, Camon 40 Pro 4G, Camon 40 Pro 5G dan Camon 40 Premier.
Bagaimanapun, hanya dua model Camon 40 Pro sahaja yang membuat kemunculannya ke pasaran Malaysia.
Harga dan ketersediaan Tecno Camon 40 Pro 5G di Malaysia

Camon 40 Pro 5G ditawarkan dalam dua varian dan berikut adalah harga jualannya di Malaysia:
- Camon 40 Pro 5G (RAM 8GB dan storan 256GB) – RM1,099
- Camon 40 Pro 5G (RAM 12GB dan storan 256GB) – RM1,199
Buat masa ini, Tecno Camon 40 Pro 5G hanya boleh didapati secara luar talian melalui pengedar rasmi Tecno di Malaysia. Untuk pembelian dalam talian, ia akan tersedia bermula 25 April melalui stor rasmi Tecno di Lazada, Shopee dan TikTok Shop.
Terdapat tiga pilihan warna yang ditawarkan untuk Camon 40 Pro 5G, iaitu hitam, hijau dan putih.
Spesifikasi Camon 40 Pro 5G

Tecno Camon 40 Pro 5G berkongsi rekaan dan spesifikasi hampir sama dengan model 4G-nya, kecuali untuk cip dan skrin. Camon 40 Pro 5G menggunakan skrin AMOLED melengkung berukuran 6.78-inci yang mempunyai resolusi FHD+ sama seperti Camon 40 Pro 4G, tetapi dengan kadar penyegaran lebih pantas 144Hz. Model 4G hanya menyokong 120Hz.
Atas papan utama, Camon 40 Pro 5G dikuasakan cip MediaTek Dimensity 7300 yang dipadankan dengan RAM sehingga 12GB dan storan 256GB. Sebagai perbandingan, Camon 40 Pro 4G menggunakan cip MediaTek Helio G100 Ultimate.


Untuk bahagian kamera, Camon 40 Pro 5G menggunakan tetapan kamera yang sama dengan Camon 40 Pro 4G. Ia adalah kamera utama 50MP f/1.9 dengan OIS menggunakan sensor Sony LYT-700C dan kamera ultralebar 8MP. Tangkapan selfie boleh dilakukan dengan kamera depan 50MP f/2.5 yang diletakkan di dalam lubang di atas skrin.
Telefon ini dibekalkan dengan bateri 5,200mAh, yang dikatakan Tecno boleh menawarkan masa main video sehingga 11.3 jam. Jika bateri habis, telefon boleh dicas dari 0 ke 50% dalam masa 23 minit, menggunakan kuasa 45W melalui USB-C. Tecno turut mendakwa baterinya boleh bertahan lebih 1,800 kitaran pengecasan dan kesihatan bateri boleh kekal atas 80% selepas 5 tahun penggunaan.

Telefon ini juga tampil dengan butan One-Tap berwarna oren di bahagian kiri telefon, yang boleh digunakan untuk melancarkan kamera dengan menekannya dua kali, atau mengaktifkan pembantu Ella AI dengan menekan lama. Butang ini turut boleh disesuaikan kepada fungsi lain termasuk mod senyap, rakam skrin, dan hidupkan lampu flash.



Daripada segi perlindungan, telefon ini mempunyai penarafan kalis air dan debu IP68/69, dan menerima pensijilan SGS Gold Label bagi ketahanan terhadap jatuh. Telefon ini juga menyokong NFC, 5G, Bluetooth 5.0, WiFi 5 dan akan menjalankan Android 15 yang diselaputi dengan HiOS 15, yang menampilkan ciri fotografi AI termasuk AI Eraser 2.0, AI Image Extender dan FlashSnap.