Realme Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan barisan telefon terbaru, iaitu siri Realme GT 7 tidak lama lagi. Ia akan menjadi tambahan terbaru dalam barisan telefon flaghsip GT, selain daripada Realme GT 7 Pro yang dilancarkan pada November tahun lepas.
Menurut Realme, siri Realme GT 7 ini direka untuk pengguna yang mahukan prestasi luar biasa, tidak kira untuk gaming, produktiviti, fotografi atau kegunaan harian, dengan menampilkan cip berprestasi tinggi, hayat bateri panjang dan rekaan yang premium. Ia juga dijanjikan hadir dengan spesifikasi bertaraf flagship pada harga yang boleh diakses ramai.
Untuk rujukan anda, Realme GT 7 Pro dilancarkan pada harga RM3,699 untuk satu-satunya varian dengan RAM 12GB dan storan 512GB.
Setakat ini, tidak banyak maklumat yang didedahkan Realme berkenaan siri Realme G T 7, malah model yang akan dilancarkan juga masih belum diketahui. Tetapi, jika melihat pada generasi sebelumnya, anda boleh jangkakan siri terbaru ini akan hadir dalam dua model, iaitu Realme GT 7 dan Realme GT 7T.
Realme GT 7 & GT 7T muncul di pengkalan data SIRIM

Menguatkan lagi jangkaan ini adalah, kedua-dua model Realme GT 7 dan GT 7T telah pun muncul di pengkalan data SIRIM. Berdasarkan penyenaraian tersebut, kedua-dua peranti baru sahaja didaftarkan pada hujung April, dengan Realme GT 7 mendukung kod RMX5061, manakala Realme GT 7T pula dengan kod RMX5085.
Kod yang sama turut diperlihatkan di pengkalan data BIS untuk pensijilan di India, menunjukkan siri Realme GT 7 turut akan dilancarkan di sana tidak lama lagi.

Walaupun maklumat spesifikasi masih belum tersedia, terdapat spekulasi yang mengatakan Realme GT 7 adalah model Realme Neo 7 yang dijenamakan semula, manakala model GT 7T pula adalah model penjenamaan semula daripada model Neo 7 SE. Kedua-dua Neo 7 dan Neo SE adalah model ekslusif yang dilancarkan untuk pasaran China.
Spesifikasi Realme GT 7 dan GT 7T
Jika spekulasi itu benar, kita boleh jangkakan GT 7 akan dikenakan dengan skrin LTPO AMOLED 6.78″ 1.5K 120Hz dengan kecerahan puncak HDR mencecah 6,000 nits. Ia juga mungkin akan diperkasa cip Dimensity 9300+ dengan RAM 12GB, kamera utama 50MP OIS dan kamera ultralebar 8MP, bateri 7,000mAh serta menyokong pengecasan 100W.

Sementara itu, Realme GT 7T dijangka akan hadir dengan spesifikasi lebih kurang sama, termasuk skrin krin LTPO AMOLED 6.78″ 1.5K 120Hz, kamera utama 50MP OIS dan kamera ultralebar 8MP serta bateri 7,000mAh, tetapi sokongan pengecasan lebih perlahan 80W dan dikuasakan Dimensity 8400 Max.
Sudah tentu maklumat yang diperoleh pada ketika ini adalah daripada sumber tidak rasmi, dengan spesifikasinya hanya akan didedahkan apabila ia dilancarkan nanti. Sementara Realme masih belum mengumumkan tarikh pelancaran siri Realme GT 7, mereka ada menyatakan bahawa pelancarannya akan berlangsung dalam masa terdekat.
Oleh yang demikian, nantikan pengumuman oleh Realme Malaysia untuk maklumat lebih lanjut.
[Sumber: Siaran akhbar Realme / Gizmochina]