RedMagic pertama kali menyertai pasaran tablet pada Oktober tahun lalu, dengan pengenalan tablet RedMagic Nova. Kini, RedMagic hadir dengan sebuah lagi tablet gaming baharu, iaitu RedMagic Astra.
Menariknya, tablet ini bukan sahaja hadir dengan prestasi lebih berkuasa, tetapi dengan rekaan lebih kompak dan skrin OLED lebih pantas. Malah, RedMagic juga menawarkan diskaun dalam tempoh jualan pertamanya.
Harga dan ketersediaan
Walaupun sudah diumum, jualan pertama RedMagic Astra hanya akan bermula pada jam 8 malam 14 Julai, hingga 31 Julai 2025. Pembeli dalam tempoh itu turut boleh menikmati diskaun sebanyak RM400. Terdapat tiga varian yang ditawarkan dan berikut adalah harga jualan rasmi dan ketika promosinya:
- RedMagic Astra (12GB dan storan 256GB) –
RM3,399(RM2,999) - RedMagic Astra (16GB dan storan 512GB) –
RM4,199(RM3,799) - RedMagic Astra (24GB dan storan 1TB) –
RM5,199(RM4,799)

Selain daripada diskaun, RedMagic turut menawarkan pelbagai hadiah percuma kepada pembeli, ini termasuk:
- Kepala pengecas RedMagic 80W bernilai RM199
- Pelindung skrin bernilai RM199
- Alat kawalan RedMagic Cyber Gamepad bernilai RM499
Berminat dengan tablet RedMagic Astra? Anda boleh dapatkannya melalui Lazada, Shopee, TikTok dan laman web RedMagic.
Spesifikasi RedMagic Astra

Tablet RedMagic Astra mengekalkan estetik gaming yang serupa dengan model Nova sebelum ini. Namun, ia hadir dengan rekaan lebih kompak bersaiz 9.06″ berbanding 10.9″, serta menggunakan paparan lebih baik jenis OLED dengan resolusi 2.4K (2400 × 1504) bernisbah 16:10. Ia juga ada kadar penyegaran pantas 165Hz, kecerahan puncak 1,600 nits dan bezel ultra nipis 4.9mm.

Tablet ini dikuasakan cip Qualcomm terhebat pada masa kini, Snapdragon 8 Elite. Cip itu digandingkan dengan RAM pantas LPDDR5T sehingga 24GB dan storan UFS 4.1 sehingga 1TB. Prestasinya turut dibantu dengan cip kedua, RedCore R3 Pro yang mengendalikan tugasan seperti rendering, sistem penyejukan dan pengoptimuman bateri, bagi memastikan Snapdragon 8 Elite dapat beroperasi pada tahap terbaik.

Selain itu, tablet ini juga menyokong OTG dan sambungan video ke paparan luaran 4K serta pemindahan data laju melalui USB 3.2 Gen 2.
Untuk pastikan tablet kekal sejuk walaupun ketika sesi gaming berat, RedMagic menggunakan sistem penyejukan ICE-X dengan 13 lapisan, termasuk Liquid Metal 2.0 yang berupaya melesapkan haba 200 W/m·K, dua Vapor Chamber di atas dan bawah cip, serta kipas penyejuk RGB yang mampu berpusing pada kelajuan 20,000RPM.

Dengan badan yang lebih kompak, kapasiti bateri yang dimuatkan pada Astra juga sedikit lebih kecil 8,200mAh berbanding 10,100mAh di Nova. Pun begitu RedMagic mengatakan Astra mampu menawarkan masa tontonan video sehingga 33 jam, serta 6.67 jam masa gaming untuk game Call of Duty Mobile.

Sekiranya perlu dicas, tablet turut menyokong pengecasan 80W, yang dikatakan hanya memerlukan 64 minit untuk dicas penuh. Berkenaan pengimejan, tablet datang dengan kamera belakang 13MP dan kamera depan 13MP.
Sistem bunyi tablet dikeluarkan oleh speaker stereo dengan teknologi DTS:X Ultra. Ia turut tampil dengan motor linear dwi-paksi-x yang memberikan maklumat malas haptik responsif, pengimbas cap jari ada di butang kuasa, serta butang Magic Key untuk akses pantas ke GameSpace atau boleh disesuaikan untuk keperluan produktiviti.


Dalam masa sama, penggunaan tablet boleh dipadankan dengan aksesori RedMagic yang lain seperti pen stylus dan alat kawalan Gamepad. Sejurus keluar kotak, RedMagic Astra akan menjalankan RedMagic OS berasaskan 10.5 berasaskan Android 15 dan menyokong Google Gemini AI.
Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh layari laman produk RedMagic Astra.