TikTok hari ini mengumumkan beberapa ciri dan kemas kini baharu yang direka untuk menjadikan pengalaman pengguna lebih selamat dan sihat secara digital, khususnya untuk remaja, keluarga dan pencipta kandungan di platform ini. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha TikTok untuk terus memperkasakan pengguna sambil mengekalkan keseimbangan antara kreativiti, privasi dan kesejahteraan dalam talian.
Lebih kawalan untuk remaja dan keluarga
Untuk pengguna remaja, TikTok kini menyediakan lebih 50 tetapan dan ciri khusus untuk membantu mereka berkongsi kandungan secara selamat, berinteraksi dengan rakan dan belajar dengan lebih selamat.

Ibu bapa juga kini diberikan lebih banyak alat pemantauan melalui ciri Family Pairing, membolehkan mereka menyesuaikan tetapan akaun anak mengikut keperluan. Antaranya, ibu bapa akan menerima notifikasi automatik apabila remaja memuat naik video, gambar atau story yang boleh dilihat oleh orang lain.
Selain itu, ibu bapa juga diberi lebih banyak akses untuk menyemak tetapan privasi akaun remaja seperti:
- Sama ada kandungan mereka boleh dimuat turun pengguna lain;
- Adakah senarai pengikut boleh dilihat umum;
- Topik yang dipilih remaja menerusi ciri Manage Topics – yang menentukan apa yang mereka lihat di For You Feed.
Ciri-ciri ini turut disokong oleh inisiatif Digital Safety Partnership for Families yang menyediakan alat serta panduan untuk bantu keluarga berbincang secara terbuka tentang pengalaman digital anak mereka.
Well-Being Missions bantu kawal tabiat digital

Selain itu, TikTok juga memperkenalkan Well-being Missions iaitu satu ciri interaktif yang menggalakkan tabiat digital lebih seimbang. Menerusi misi ringkas ini, pengguna akan digalakkan untuk membina rutin sihat, dan sebagai ganjaran, mereka akan menerima lencana (badges) untuk setiap pencapaian.
Inisiatif ini dibangunkan dengan nasihat daripada pakar-pakar kesihatan digital termasuk Global Youth Council dan Digital Wellness Lab di Boston Children’s Hospital. Ia melengkapi ciri sedia ada seperti “Pengurusan Masa Skrin” dan “Jam Tidur”, yang direka untuk membantu pengguna mengurus masa mereka di TikTok dengan lebih baik.
Fungsi baharu bagi pencipta kandungan

Bagi para pencipta kandungan, pelbagai ciri baharu diperkenalkan bagi memastikan anda boleh terus menggunakan TikTok dengan selamat dan lebih teratur. Antaranya:
- Creator Care Mode: Bantu tapis komen berunsur negatif atau mengganggu.
- Mute di TikTok LIVE: Sekat perkataan, frasa atau emoji tertentu secara pukal
- Content Check Lite: Semak kandungan sebelum dimuat naik untuk lihat sama ada ia berpotensi tidak layak untuk For You Page.
- Creator Inbox: Antaramuka baharu untuk memudahkan pencipta mengurus mesej masuk dengan lebih profesional.
- Creator Chat Room: Fungsi sembang untuk berinteraksi secara langsung dengan pengikut terpilih.
Untuk membuka Creator Chat Room, pencipta kandungan perlu mempunyai sekurang-kurangnya 10,000 pengikut dan mengaktifkan sama ada langganan (Subscription) atau LIVE Fan Club. Setiap Chat Room juga dihadkan pada 300 ahli, dan pencipta boleh mencipta sehingga 20 Chat Room. Ciri ini hanya tersedia untuk pengguna berumur 18 tahun ke atas.
Footnotes, boleh tambah konteks pada kandungan

Satu lagi inisiatif baharu TikTok ialah ciri Footnotes, yang kini dalam fasa ujian di Amerika Syarikat. Ciri ini benarkan pengguna menambah konteks atau maklumat tambahan pada video untuk elak salah faham atau maklumat kurang tepat, seperti mana ciri Community Notes di X.
Semua ciri baharu ini dijangka akan dilancarkan kepada orang ramai dalam beberapa minggu dan bulan akan datang.