Selain melancarkan barisan iPhone 17 dan iPhone Air, Apple dalam majlis pelancaran “Awe Dropping” turut memperkenalkan jam pintar terbaharu mereka, iaitu Apple Watch Series 11, Watch Ultra 3, serta kemas kini untuk model SE 2, iaitu SE 3 yang menjadi pengganti kepada model yang diperkenal tahun 2022.
Sementara perubahan rekaan adalah minima merentasi kesemua model, ia kini didatangkan dengan peningkatan pada ciri kesihatan, hayat bateri lebih panjang, dan menyokong rangiakan 5G dan satelit.
Apple Watch Series 11 dan Watch Ultra 3

Sepert tahun lepas, Apple Watch Series 11 hadir dalam dua saiz, 42mm dan 46mm. Model aluminium tersedia dalam pilihan warna hitam, emas, perak, dan warna baharu kelabu, serta menggunakan kaca Ion-X dikatakan 2x lebih tahan calar pada skrinnya. Manakala untuk model titanium pilihan yang ditawarkan termasuk kelabu, emas, dan hitam, dan masih dilapisi dengan kaca sapphire crystal.

Apple Watch Ultra 3 pula mengekalkan satu saiz sahaja, ditawarkan dalam kemasan kelabu keemasan dan hitam. Skrinnya terima peningkatan besar, bezel kini 24% lebih nipis, menjadikan ia skrin Apple Watch paling besar setakat ini. Panel OLED LTPO 3 dengan sudut pandangan luas ini menyokong Always-On Display, yang kini turut memaparkan pergerakan jarum saat seperti jam analog.
Ultra 3 turut memperkenalkan muka jam baharu bernama Waypoint, yang menyediakan kompas, akses mudah ke alat satelit, serta togol pantas untuk Night Mode. Kedua-dua jam masih digerakkan cip S10 yang diperkenalkan pada Apple Watch Series 10 tahun lalu.
Kini boleh kesan hipertensi (tekanan darah tinggi)

Salah satu ciri kesihatan utama yang diketengahkan pada Apple Watch Series 11 dan Watch Ultra 3 tahun ini ialah notifikasi hipertensi atau tekanan darah tinggi. Dengan menggunakan sensor optik kadar degupan jantung, jam ini boleh menganalisis bagaimana salur darah bertindak balas pada setiap degupan jantung.
Data ini dikumpul secara pasif selama 30 hari, sebelum algoritma, yang dilatih daripada kajian melibatkan lebih 100,000 peserta, mengenalpasti tanda-tanda konsisten tekanan darah tinggi.

Apple turut menjalankan kajian klinikal bersama lebih 2,000 peserta untuk mengesahkan ketepatan fungsi ini. Sekiranya pengguna menerima notifikasi, mereka akan digalakkan untuk merekod bacaan tekanan darah menggunakan cuff selama 7 hari dan berkongsi dengan doktor, selari dengan garis panduan American Heart Association.
Fungsi notifikasi hipertensi ini sedang menunggu kelulusan regulatori, dan dijangka dilancarkan di lebih 150 rantau termasuk AS dan EU. Ia akan tersedia pada Apple Watch Series 9 dan ke atas, serta Ultra 2 dan ke atas melalui watchOS 26.
Selain hipertensi, Apple juga memperkenalkan Sleep Score pada Apple Watch. Fungsi ini menilai kualiti tidur pengguna berdasarkan beberapa faktor, termasuk tempoh tidur, konsistensi waktu tidur, kekerapan terjaga, serta masa yang dihabiskan dalam setiap peringkat tidur.
Selain hipertensi, Apple juga memperkenalkan Sleep Score pada Apple Watch. Fungsi ini menilai kualiti tidur pengguna berdasarkan beberapa faktor — termasuk tempoh tidur, konsistensi waktu tidur, kekerapan terjaga, serta masa yang dihabiskan dalam setiap peringkat tidur.
Semua model ada 5G, Ultra 3 ada komunikasi satelit

Semua model baharu, termasuk Apple Watch SE 3, kini menyokong sambungan 5G untuk versi selular.

Menariknya, Ultra 3 hadir dengan fungsi eksklusif iaitu komunikasi satelit dua hala. Ini membolehkan pengguna:
- Hantar mesej kepada rakan, keluarga, atau kecemasan.
- Kongsi lokasi secara automatik setiap 15 minit melalui Find My.
- Hantar SMS terus melalui satelit.
Kalau jam mengesan anda terjatuh atau kemalangan sewaktu tiada rangkaian, ia boleh hantar status dan lokasi automatik kepada pasukan penyelamat.
WatchOS 26 dan ciri baharu

Kedua-dua model baharu ini didatangkan dengan watchOS 26, yang hadir dengan Workout Buddy dikuasakan Apple Intelligence. Fungsi ini menganalisis sejarah senaman dan data langsung seperti kadar degupan jantung, kelajuan, jarak serta Activity Rings. Ia kemudian memberikan bimbingan latihan dengan suara peribadi melalui fon putik wayarles, selagi iPhone dengan Apple Intelligence ada berdekatan.
Apple Watch Series 11 turut menerima dua muka jam eksklusif, iaitu Flow dengan nombor gaya Liquid Glass dan Exactograph, iaitu interpretasi moden jam regulator, memisahkan jam, minit, dan saat untuk lebih ketepatan
Selain itu, Apple juga memperkenalkan gestur flick pergelangan tangan. Dengan hanya satu gerakan pantas, pengguna boleh tutup notifikasi, senyapkan alarm, atau hentikan pemasa dengan lebih mudah.
Apple Watch SE 3

Apple Watch SE 3 kini hadir dengan kaca Ion-X lebih tahan lasak, yang Apple dakwa 4 kali ganda lebih kuat menahan retak berbanding model sebelum ini. Buat pertama kali juga, jam ini menyokong Always-On Display (AOD), sambil mengekalkan dua pilihan saiz — 40mm dan 44mm — sama seperti generasi terdahulu.

Di dalamnya, SE 3 dikuasakan cip S10, pemproses jam pintar terkini Apple, lengkap dengan Siri dan versi selular dengan sokongan 5G.
Dari segi kesihatan, Apple Watch SE 3 menerima beberapa fungsi baharu termasuk pengesan suhu badan, anggaran ovulasi retrospektif, notifikasi apnea tidur, serta metrik baharu Sleep Score. Ciri keselamatan sedia ada seperti Fall Detection, Crash Detection dan Emergency SOS turut dikekalkan.

Bateri pula boleh bertahan sehingga 18 jam, dengan pengecasan kini 2 kali lebih pantas, dari kosong hingga 80% dalam hanya 45 minit. Seperti model lain, SE 3 menjalankan watchOS 26 dengan rekaan antaramuka Liquid Glass dan beberapa muka jam baharu. Dan kalau nak dengar lagu, anda kini boleh main muzik terus dari pembesar suara terbina di Apple Watch SE 3.
Harga Apple Watch Series 11, Ultra 3 dan SE 3 di Malaysia
Tidak seperti barisan iPhone baharu, maklumat tentang ketersediaan jam pintar ini masih belum diumumkan untuk pasaran Malaysia. Sebagai rujukan anda, berikut adalah harga jualan rasminya di Malaysia:

Apple Watch Series 11
- Titanium 46mm (GPS + Selular) – dari RM3,549
- Aluminium 42mm (GPS) – dari RM1,799
- Aluminium 42mm (GPS + Selular) – dari RM2,299
- Aluminium 46mm (GPS) – dari 1,949
- Aluminium 46mm (GPS + Selular) – dari RM2,449
- Titanium 42mm (GPS + Selular) – dari RM3,299

Apple Watch Ultra 3
- Alpine Loop – RM3,699
- Trail Loop – RM3,699
- Ocean Band – RM3,699
- Titanium Milanese Loop – RM4,199

Apple Watch SE 3
- 40mm (GPS) – dari RM1,049
- 40mm (GPS + Selular) – dari RM1,299
- 44mm (GPS) – dari RM1,199
- 44mm (GPS + Selular) – RM1,449
Untuk ketahui lebih lanjut tentang spesifikasi, anda boleh layari laman produk Apple Watch Series 11, Watch Ultra 3 dan Watch SE 3.