Xiaomi Malaysia secara rasmi memperkenalkan dua model telefon kelas permulaan terbaru, Redmi 17 4G dan Redmi 17 5G. Siri baharu ini menyasarkan pengguna yang mahukan telefon mampu milik dengan hayat bateri yang panjang, skrin besar serta prestasi mencukupi untuk kegunaan harian.
Khusus untuk Redmi 17 5G, ia dilihat sebagai penerus kepada Redmi 15 5G. Pembaharuan paling ketara ialah kapasiti baterinya yang kini meningkat kepada 7,500mAh, berbanding 7,000mAh pada model terdahulu, sekali gus menjadikannya antara telefon Redmi dengan bateri terbesar setakat ini.
Harga dan ketersediaan Redmi A17

Telefon Redmi 17 4G dan 5G kini sedia didapati di Malaysia menerusi laman rasmi Xiaomi Malaysia, serta Xiaomi Official Store di Shopee, Lazada dan TikTok Shop. Berikut adalah harga jualannya di Malaysia:
- Redmi 17 5G (4GB + 128GB) – RM799 (Harga Promo: RM769)
- Redmi 17 5G (4GB + 256GB) – RM899 (Harga Promo: RM869)
- Redmi 17 (4GB + 128GB) – RM699 (Harga Promo: RM669)
Bersempena pelancarannya, Xiaomi turut menawarkan promosi selepas jualan untuk pembelian Redmi 17 dari 8 hingga 31 Ogos 2026. Pelanggan akan menerima:
- Waranti selama 24 bulan
- 1 kali penggantian skrin percuma dalam tempoh 24 bulan
- 1 kali penggantian bateri percuma dalam tempoh 36 bulan
- 1 kali penggantian penutup belakang atau lensa kamera dalam tempoh 24 bulan
Spesifikasi Redmi 17

Walaupun ditawarkan dalam dua model berbeza, Redmi 17 dan Redmi 17 5G berkongsi kebanyakan spesifikasi yang sama. Kedua-duanya menggunakan skrin berukuran 6.9″ jenis LCD dengan resolusi HD+ (1600 x 720) dan kadar segar semula 120Hz. Skrin ini juga dilindungi Corning Gorilla Glass 7i, selain menyokong pensijilan TÜV Rheinland Low Blue Light, Flicker Free dan Circadian Friendly untuk pengalaman penggunaan yang lebih selesa.
Perbezaan utama antara kedua-dua model terletak pada cip pemprosesnya. Redmi 17 5G dikuasakan cip Snapdragon 4 Gen 5 berasaskan proses 4nm bersama storan UFS 2.2, manakala Redmi 17 menggunakan cip MediaTek Helio G91-Ultra dengan storan eMMC 5.1. Kedua-duanya ditawarkan dengan memori sehingga 6GB RAM dan 256GB storan, menyokong RAM maya sehingga 12GB serta kad microSD sehingga 2TB.

Untuk fotografi, kedua-dua telefon menggunakan sistem kamera utama 50MP serta kamera swafoto 8MP. Ia turut menyokong pelbagai mod seperti Night Mode, Portrait, Document Mode dan Dual Video.
Menariknya, ia juga dilengkapi dengan lampu RGB dinamik di bahagian belakang, yang diperkenalkan buat pertama kali dalam siri Redmi. Lampu ini boleh disesuaikan untuk memaparkan kesan pencahayaan apabila menerima panggilan atau notifikasi.

Perkara yang diketengahkan pada siri ini ialah bateri berkapasiti 7,500mAh, dipadankan dengan sokongan pengecasan pantas 45W melalui USB-C. Selain itu, telefon ini juga menyokong pengecasan terbalik berwayar 22.5W, membolehkan ia digunakan untuk mengecas peranti lain menggunakan kabel.

Dari segi ketahanan, siri Redmi 17 ini diikitraf kalis percikan air dan debu IP64. Xiaomi turut melengkapkannya dengan pengimbas cap jari sisi, AI Face Unlock, NFC, bicu audio 3.5mm, Bluetooth, serta menjalankan Xiaomi HyperOS 3 sejurus keluar kotak.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Redmi 17 4G dan Redmi 17 5G.






