Xiaomi secara rasmi telah melancarkan siri Xiaomi 17 di China, hadir dengan tiga model, Xiaomi 17, Xiaomi 17 Pro dan Xiaomi 17 Pro Max. Siri ini menjadi yang pertama di dunia menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, selain menerima peningkatan besar seperti kapasiti bateri lebih besar, paparan lebih cerah dan sistem kamera dipertingkat.
Selain itu, perubahan terbesar tentunya pada model Pro yang kini tampil dengan skrin kedua di bahagian belakang.
Spesifikasi Xiaomi 17

Kita mulakan dengan model asas Xiaomi 17. Ia menampilkan skrin kompak 6.3-inci lebih kecil dengan rekaan yang lebih ergonomik dan ringan, hanya 191g dengan ketebalan 8.06mm. Bezelnya sangat nipis 1.18mm hasil teknologi LIPO, dan ia menggunakan panel paparan AMOLED dengan resolusi 1220 x 2656 , kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak mencecah 3500 nits.

Lapisan atas skrin dilindungi kaca Xiaomi Dragon Crystal Glass dan telefon juga menerima penarafan kalis air dan debu IP68.
Untuk prestasi, Xiaomi 17 dilengkapi dengan cip Qualcomm terkini, Snapdragon 8 Elite Gen 5 3nm yang dipadankan dengan RAM sehingga 16GB dan storan sehingga 512GB.

Di bahagian kamera, Xiaomi masih menampilkan sistem pengimejan Leica Summilux, membawakan sensor utama 50MP Light Fusion 950 dengan OIS, ultralebar 50MP serta lensa telefoto terapung 50MP 60mm f/2.0 yang mampu menawarkan fokus sedekat 10cm. Selain itu, terdapat juga mod baharu Master Portrait Mode yang memberikan hasil potret lebih natural. Untuk selfie, kamera depannya juga menggunakan sensor 50MP.

Dari segi bateri, Xiaomi 17 dimuatkan dengan bateri 7,000mAh, dikatakan kapasiti terbesar bagi telefon besaiz 6.3″. Ini adalah naik taraf besar berbanding 5,400mAh di Xiaomi 15. Bateri Xiaomi 17 ini menggunakan teknologi Xiaomi Surge Battery berketumpatan 894Wh/L, dan ia menyokong pengecasan pantas 100W berwayar, 50W tanpa wayar, serta protokol universal 100W PPS.

Ia tersedia dalam empat pilihan warna iaitu hitam, putih, merah jambu dan biru.
Spesifikasi Xiaomi 17 Pro dan Pro Max

Model Pro dan Pro Max hadir dengan tubuh lebih nipis (8mm) dan empat pilihan warna – Hitam, Putih, Ungu dan Hijau. Kedua-duanya membawakan satu ciri yang Xiaomi panggil Dynamic Back Display, iaitu skrin kedua di bahagian belakang. Xiaomi 17 Pro ada skrin belakang 2.7-inci, manakala Pro Max lebih besar 2.9-inci.



Skrin belakang ini bukan sekadar hiasan, ia boleh paparkan notifikasi masa nyata seperti status penerbangan, penghantaran makanan, atau malah pin jadual dan QR code terus di skrin belakang. Ia juga boleh digunakan untuk previu selfie menggunakan kamera utama, serta bertukar jadi “Handheld Console Mode” dengan aksesori khas yang menjadikannya seakan konsol permainan retro apabila skrin utama ditutup.

Untuk paparan utama, Xiaomi 17 Pro dilengkapi dengan skrin AMOLED bersaiz 6.3-inci, manakala versi Pro Max pula lebih besar berukuran 6.9-inci. Kedua-dua skrin ini juga memiliki resolusi 2K, kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak mencecah 3,500 nits. Menurut Xiaomi, model Pro Max juga menggunakan panel berkeknologi “independent pixel array” yang lebih tajam dan jimat tenaga berbanding panel biasa, serta dilindungi kaca Xiaomi Shield Glass 3.0.
Selain diperkasa cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 3nm, model Pro dan Pro Max tersedia dengan RAM sehingga 16GB dan kapasiti storan lebih besar sehingga 1TB.

Seperti model asas, siri Pro turut dilengkapi sistem kamera Leica Summilux dengan gabungan tiga kamera belakang 50MP dan kamera depan 50MP. Kamera utamanya menggunakan sensor Light Fusion 950 bersaiz 1/1.28 inci dengan apertur f1/.7, serta salutan anti-silau. Ia disokong teknologi LOFIC High Dynamic yang memberikan julat dinamik sehingga 16.5EV.
Untuk telefoto, Xiaomi 17 Pro menawarkan lensa apungan songsang (inverted floating telephoto) dengan keupayaan makro 20cm dan apertur f/3.0, manakala 17 Pro Max dilengkapi telefoto periskop dengan sensor besar 1/2 inci, apertur f/2.6 dan sokongan tangakapan HDR menerusi perkakasannya. Xiaomi mendakwa reka bentuk baharu ini meningkatkan pengambilan cahaya sehingga 30%. Kedua-dua kamera telefoto ini juga memiliki OIS dan menawarkan zum optikal 5x.

Bagi bahagian bateri, Xiaomi 17 Pro dibekalkan tangki berkapasiti 6,300mAh, manakala Pro Max pula berkapasiti 7,500mAh. Sama seperti model asas, ia menyokong pengecasan 100W berwayar, 50W tanpa wayar, serta protokol 100W PPS.

Menariknya, model Pro dan Pro Max turut menyokong teknologi UWB (Ultra Wideband), membolehkan ia digunakan untuk mengakses kereta tanpa kunci. Kedua-duanya ditawarkan dalam empat pilihan warna sama, hijau, ungu, putih dan hitam.
Harga Xiaomi 17, 17 Pro dan 17 Pro Max di China

Harga rasmi untuk pasaran China adalah seperti berikut:
- Xiaomi 17:
- 12GB + 256GB – RMB 4499 (~RM2,657)
- 12GB + 512GB – RMB 4799 (~RM2,835)
- 16GB + 512GB – RMB 4999 (~RM2,953)
- Xiaomi 17 Pro:
- 12GB + 256GB – RMB 4999 (~RM2,953)
- 12GB + 512GB – RMB 5299 (~RM3,130)
- 16GB + 512GB – RMB 5599 (~RM3,307)
- 16GB + 1TB – RMB 5999 (~RM3,544)
- Xiaomi 17 Pro Max:
- 12GB + 512GB – RMB 5999 (~RM3,544)
- 16GB + 512GB – RMB 6299 (~RM3,721)
- 16GB + 1TB – RMB 6999 (~RM4,134)
Buat masa ini, Xiaomi masih belum berkongsi tarikh pelancaran global atau tempatan untuk siri Xiaomi 17. Namun melihat rekod mereka sebelum ini, besar kemungkinan ia akan diperkenal di pasaran global di acara MWC 2026 pada Mac tahun hadapan, dan tiba ke pasaran Malaysia tidak lama kemudian.