Vivo baru sahaja mengumumkan sistem operasi terbaharu mereka, OriginOS 6 di peringkat global buat pertama kali. Ini juga menandakan antaramuka ini tidak lagi eksklusif di China sejak diperkenalkan pada 2020. Berasaskan Android 16, OriginOS 6 akan menggantikan Funtouch OS pada peranti Vivo dan iQoo antarabangsa, termasuk di Malaysia.
Prestasi lebih lancar, rekaan diinspirasikan alam semula jadi

Di acara pelancarannya, Vivo menekankan bagaimana OriginOS 6 direka untuk kelihatan dan terasa lebih lancar. Vivo turut menjanjikan antaramuka ini dijamin kekal lancar dan responsif walaupun selepas 5 tahun penggunaan berat, dan telah menerima pengesahan SGS untuk prestasi berpanjangan.

Dari segi rekaan, OriginOS 6 menampilkan visual baru, yang mengingatkan kepada iOS 26. Sistem operasi baharu ini dikatakan Vivo diinspirasikan oleh alam semula jadi, dan ia lengkap dengan beberapa fungsi baharu yang menarik. Antaranya, terdapat ciri Lock Screen Grid yang membolehkan pengguna menyusun dan menukar saiz widget skrin kunci dengan bebas serta menyesuaikan fon.
Malah, anda boleh menetapkan live photo sebagai wallpaper atau mencondongkan telefon untuk menukar wallpaper dengan animasi dinamik menggunakan ciri Flip Cards.
Origin Island dilengkapi dengan AI

OriginOS 6 turut menyaksikan pengenalan ciri baharu yang dipanggil Origin Island, iaitu pepulau notifikasi di atas skrin yang biasa kita jumpa pada telefon pintar dan iPhone sekarang dengan fungsi Camera Island. Namun, Vivo kini mengambil pendekatan berbeza dengan mengintegrasikan AI untuk jadikan interaksi lebih pintar dan intuitif.
Sebagai contoh, fungsi Drag & Go membolehkan anda untuk seret foto dari galeri, dan Origin Island secara pintar akan memaparkan aplikasi berkaitan seperti Instagram, Snapchat, dan Notes, membolehkan anda berkongsi kandungan dengan mudah. Nak salin butiran mesyuarat untuk buat event kalendar atau seret foto ke aplikasi suntingan pilihan anda? Drag & Go membolehkan semua itu tanpa perlu bertukar-tukar aplikasi.

Dalam masa sama, Vivo turut menekankan usaha untuk memperkukuh keselamatan dan privasi data pengguna dalam OriginOS 6.
Sambungan lancar dengan PC Windoes & Mac
Untuk pengalaman merentas ekosistem lebih lancar, Vivo turut memperkenalkan Vivo Office Kit yang membolehkan peranti OriginOS 6 berhubung dengan komputer Mac dan Windows. Dengan aplikasi ini, pengguna boleh lakukan perkara seperti pencerminan skrin, pindah fail dan banyak lagi.
Bila OriginOS 6 tiba di Malaysia?

OriginOS 6 akan mula dilancarkan di Malaysia melalui siri Vivo X300 yang dijangka tiba pada November 2025, dan akan dikeluarkan secara berperingkat pada peranti Vivo dan iQoo lain. Jadual anggaran pelancaran adalah seperti berikut:
Awal November 2025
- Vivo X Fold 5, X200, X200 Pro, X200 FE, V60, iQoo 13
Pertengahan November 2025
- Vivo X Fold 3 Pro, X100 Pro, X100, iQoo 12
Pertengahan Disember 2025
- Vivo V60e, siri V50, T4 Ultra, T4 Pro, iQoo Neo 10/10R/9 Pro
Separuh pertama 2026
- Vivo X90, V60 Lite, V50 Lite, V40, siri V30, T4 5G, T4R 5G T4x 5G, siri T3, Y200/Y100/Y58/Y39/Y31 Pro 5G, iQoo 11, siri Z10, siri Z9