Selepas dibuka untuk pratempahan minggu lepas, OnePlus 15 kini rasmi dilancarkan di Malaysia. Ia menjadi pengganti kepada OnePlus 13 yang diperkenalkan awal tahun ini, dan ya tiada model OnePlus 14 kerana tiada model OnePlus 14 kerana syarikat itu terus melangkau ke nombor 15 untuk generasi flagship terbaharu mereka.
Selain tampil dengan rekaan baharu yang kelihatan seiras siri Find X9, model ini juga hadir dengan peningkatan besar dari segi spesifikasi.
Harga OnePlus 15 di Malaysia

Nampaknya harga OnePlus 15 masih kekal sama seperti sebelumnya, ditawarkan pada RM4,399 untuk satu-satunya varian RAM 16GB dan storan 512GB. Pembeli juga akan menerima hadiah percuma bernilai RM368, iaitu fon putik Oppo Enco BUds 3 dan sarung magnetik Aramid Fiber, selagi stok masih ada.
Sekiranya berminat, OnePlus 15 boleh dibeli menerusi stor dalam talian Oppo, atau gedung rasmi OnePlus di Lazada, Shopee dan TikTok.
Spesifikasi OnePlus 15

Rupa OnePlus 15 baharu ini memang mirip dengan siri Find X9, tetapi mereka tidaklah berkongsi spesifikasi yang sama. Dari segi skrin, OnePlus 15 dilengkapi dengan skrin AMOLED BOE X3 bersaiz 6.78″ yang menyokong resolusi 1.5K (1272 x 2772) dengan kecerahan puncak 1,800 nits dan boleh pergi serendah 1 nits. Kadar penyegaran skrinnya sepantas 165Hz, manakala bezelnya ultra nipis 1.15mm.



Kaca Corning Gorilla Victus 2 melapisi skrinnya sebagai perlindungan. Menariknya, untuk keperluan gaming, OnePlus 15 turut dilengkapi sensor giroskop bertaraf UAV dengan ketepatan ±4000 DPS, memberikan pengesanan pergerakan dan kawalan lebih tepat semasa gaming.
OnePlus 15 boleh didapati dalam tiga warna hitam, emas dan ungu. Badan peranti juga diiktiraf kalis air dan debu IP66, IP68, IP69 dan IP69K, bermakna ia boleh direndam sedalam 2 meter selama 20 minit, dan tahan tembakan air bersuhu tinggi sehingga 80 darjah.

Atas papan utama, OnePlus 15 dikuasakan SoC Snapdragon 8 Elite Gen 5, dipadankan dengan RAM LPDDR5X 16GB dan storan UFS 4.1 512B. Ia juga hadir dengan sistem penyejukan 360 Cryo-Velocity, menampilkan bahan dikatakan bergred aeroangkasa termasuk penebat aerogel dan kepingan grafit untuk menyalurkan haba dengan lebih berkesan.
Menyalurkan tenaga pada OnePlus 15 adalah bateri berkapasiti 7,300mAh jenis Silicon Nanostack, yang dikatakan OnePlus mampu untuk mengekalkan kesihatan bateri lebih 80% selepas 4 tahun penggunaan. Ia boleh dicas pada kuasa 120W secara berwayar dan 50W tanpa wayar, yang menurut OnePlus boleh mengisi penuh telefon dalam masa hanya 39 minit.

Di bahagian pengimejan, OnePlus 15 menampilkan tiga kamera belakang, tetapi tanpa penjenamaan Hasselblad seperti generasi sebelumnya. Ia terdiri daripada kamera utama 50MP f/1.8 dengan OIS, telefoto periskop 50MP f/2.8 OIS menyokong zum optikal 3.5x dan zum 7x dengan kualiti lossless, serta lensa ultralebar 50MP f/2.0.
Manakala di bahagian depan terdapat kamera swafoto 32MP. OnePlus turut mendakwa ia peranti Android pertama menyokong rakaman 4K 120fps Dolby Vison, selain turut berkeupayaan merakam dalam format LOG.

Selain itu, ia turut menyokong WiFi 7, Bluetooth 6, NFC dan . Sistem operasi yang digunakan sejurus keluar kotak adalah OxygenOS 16, yang turut menampilkan ciri AI
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk OnePlus 15.






