• English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Menu
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Search
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Menu
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Search
Close
Home Berita

Bateri Perodua QV-E dijual berasingan? Ini yang anda perlu tahu tentang pelan sewaan baterinya

  • OLEH Putra Aziz
  • 1:57 pm
  • 03/12/2025
  • Komen
Bateri Perodua QV-E dijual berasingan? Ini yang anda perlu tahu tentang pelan sewaan baterinya
Share on FacebookShare on Twitter

Perodua akhirnya melancarkan model elektrik pertama mereka, Perodua QV-E, menandakan era baharu dalam sejarah 32 tahun syarikatnya. Nama QV-E adalah singkatan kepada “Quest for Visionary Electric Vehicle“. Dengan harga RM80,000, ramai yang terkejut apabila mengetahui harga tersebut tidak termasuk bateri.

Sebaliknya, pembeli perlu melanggan Pelan Sewa Beli Bateri Perodua QV-E (ya, ini nama rasminya) untuk memiliki EV ini. Buat masa ini, anda tidak boleh membeli QV-E bersama bateri secara terus.



Model langganan bateri atau seperti dipanggil Perodua, Battery-as-a-Service (BaaS), sebenarnya sudah diumumkan sejak Mei tahun ini. Walaupun begitu, ramai masih keliru dengan mekanisme ini, jadi di sini kami rungkaikan apa yang anda perlu tahu mengenai pelan bateri QV-E.

Berapa kos pelan bateri Perodua QV-E?

Di bawah pelan sewa beli bateri QV-E yang dikatakan patuh Syariah, pengguna perlu membayar RM275 sebulan selama 9 tahun (108 bulan). Menurut helaian pendedahan produk yang boleh diakses melalui aplikasi P-Circle, bayaran perlu dijelaskan pada atau sebelum hari ke-5 setiap bulan.



Namun, kadar itu belum termasuk SST 8%. Setelah ditambah SST, bayaran bulanannya menjadi RM297 sebulan. Jika dikira untuk tempoh 9 tahun, jumlah keseluruhan adalah RM32,076.

Adakah bayaran bateri perlu dibuat secara berasingan kepada Perodua?

Tidak perlu. Perodua menawarkan kaedah Integrated Payment with Vehicle Financing, di mana bayaran bulanan bateri akan disatukan dengan ansuran bulanan kereta, menjadi satu bayaran sahaja kepada pihak bank.

Perodua dan institusi kewangan akan menguruskan pembahagian bayaran tersebut di belakang tabir. Jika tempoh pembiayaan kereta anda kurang daripada 9 tahun, baki tempoh pelan bateri boleh dibayar terus melalui aplikasi P-Circle atau saluran pembayaran rasmi yang lain.

Ada bayaran pendahuluan?

Ada. Helaian pendedahan produk menyatakan pelanggan perlu membayar 3 bulan bayaran awal, bersamaan RM891 termasuk SST, sebelum menerima kenderaan.

Bayaran pendahuluan ini digunakan untuk menampung 3 bulan terakhir kontrak, atau bagi menjelaskan bayaran tertunggak sekiranya kontrak ditamatkan lebih awal. Ia juga boleh menampung jurang sebelum ansuran pembiayaan kenderaan mula berjalan.

Bila saya boleh tukar bateri secara percuma?

Pada bila-bila masa sepanjang tempoh 9 tahun, Perodua akan menggantikan bateri secara percuma sekiranya State of Health (SoH) jatuh di bawah 70%, dengan syarat tiada tunggakan bayaran.

Adakah saya memiliki bateri selepas 9 tahun?

Jawapan ringkas: Tidak. Bateri QV-E adalah hak milik Perodua selama-lamanya.

Selepas 9 tahun, pengguna ada dua pilihan:

  1. Jika SoH bateri di bawah 70%, anda boleh memilih bateri baharu tetapi perlu melanggan kontrak baharu 9 tahun.
  2. Jika SoH bateri melebihi 70%, anda boleh terus menggunakannya tanpa bayaran bulanan.

Jika mahu menjual QV-E, hanya boleh dilakukan melalui platform Perodua Pre-Owned Vehicles (POV).

Jadi, saya tak boleh jual QV-E di platform lain?

Betul. Ia hanya boleh dijual melalui platform POV demi menjaga nilai semula jualan EV tersebut, sesuatu yang memang mencabar dalam pasaran EV tempatan ketika ini.

Jika saya mahu jual kereta sebelum tempoh 9 tahun tamat?

Boleh sahaja. Pengguna ada kebebasan untuk menjual QV-E mereka walaupun tempoh sewaan bateri 9 tahun belum tamat, asalkan bayaran ansuran kereta kepada bank telah diselesaikan sepenuhnya.

Pembeli baharu melalui POV boleh memilih sama ada mahu meneruskan baki kontrak bateri, atau memulakan kontrak 9 tahun baharu untuk mendapatkan bateri baharu.

Apa jadi kalau saya terlepas bayaran bateri?

Sebagai permulaan, Perodua akan menyahaktifkan fungsi menghidupkan kereta atau operasi bateri sekiranya anda gagal membuat bayaran selama 2 bulan.

Anda juga perlu memastikan bateri kekal berada di dalam kereta. Jika tidak, Perodua boleh mengenakan caj kos pemulihan ke atas anda, termasuk tunda, storan, atau apa-apa kos pengangkutan berkaitan sekiranya mereka terpaksa mendapatkan semula bateri secara berasingan daripada kereta.

Selain itu, terdapat caj penalti sebanyak 1% setahun untuk setiap bayaran lewat atau terlepas. Jika kontrak sewaan ditamatkan, caj penalti ini akan terus dikenakan ke atas jumlah tertunggak sehingga Perodua berjaya mendapatkan semula bateri tersebut.

Situasi lain yang boleh menyebabkan kontrak bateri ditamatkan?

Terdapat beberapa situasi yang boleh menyebabkan kontrak ditamatkan, dan memerlukan Perodua untuk mendapatkan bateri semula daripada QV-E anda, antaranya:

  • Kereta total-loss akibat kemalangan
  • Kecurian
  • Ditarik bank
  • Penjualan kereta atau bateri
  • Pertukaran pemilikan
  • Gagal mematuhi syarat kontrak
  • Isu undang-undang seperti muflis
  • Waris gagal membayar 4 bulan berturut-turut selepas pemilik meninggal dunia

Bolehkan QV-E digunakan untuk e-hailing?

Jawapannya, tidak boleh. Penggunaan untuk e-hailing (Grab, Bolt dan lain-lain) akan melanggar perjanjian sewa bateri dan membatalkan waranti QV-E anda, dan ia ada dinyatakan dalam buku waranti EV ini.

Penggunaan untuk penghantaran (Lalamove, GrabFood) atau kegunaan komersial juga tidak dibenarkan.

Kenapa Perodua memilih model BaaS?

Dalam proses membangunkan QV-E, Perodua menjalankan beberapa kaji selidik untuk memahami masalah utama pemilikan EV. Salah satu kebimbangan terbesar yang muncul ialah kos untuk menggantikan bateri EV.

Walaupun harga bateri dijangka turun dengan ketara pada masa hadapan dan data semasa menunjukkan banyak EV dengan teknologi bateri lama masih berfungsi dengan baik, model Battery-as-a-Service (BaaS) pada QV-E direka supaya isu ini langsung tidak membebankan pemilik. Itu pun dengan syarat pengguna kekal dalam program sewaan bateri tersebut.

Satu lagi perkara yang ingin ditangani Perodua melalui BaaS ialah pelupusan bateri yang betul. Sebab itu, bateri QV-E kekal dimiliki Perodua. Walaupun ekosistemnya masih di peringkat awal, Perodua sudah pun memulakan langkah untuk membangunkan rangkaian kitar semula dan guna semula bateri di Malaysia, menurut Presiden dan CEO Perodua, Zainal Abidin Ahmad, dalam sesi taklimat media pra-pelancaran QV-E.

Pada masa sama, terdapat juga faktor lain yang diambil kira seperti membantu menurunkan harga On-The-Road (OTR) untuk memudahkan pengguna beralih kepada EV. Selain itu, model BaaS ini juga dikatakan bertujuan membantu mengekalkan nilai jual semula kenderaan.

Tags: EVkenderaan elektrikPeroduaPerodua QV-E
Putra Aziz

Putra Aziz

POPULAR

Galaxy A07: Telefon permulaan dengan storan besar & tahan lama, kini Percuma di CelcomDigi

Galaxy A07: Telefon permulaan dengan storan besar & tahan lama, kini Percuma di CelcomDigi

10 November 2025
Bateri Perodua QV-E dijual berasingan? Ini yang anda perlu tahu tentang pelan sewaan baterinya

Bateri Perodua QV-E dijual berasingan? Ini yang anda perlu tahu tentang pelan sewaan baterinya

3 December 2025
Perodua QV-E dilancar: EV sportback 201hp, jarak 445km NEDC, harga RM80k tak termasuk bateri

Perodua QV-E dilancar: EV sportback 201hp, jarak 445km NEDC, harga RM80k tak termasuk bateri

1 December 2025
Shopee SpayLater: Kebaikan, Keburukan & Cara Terbaik Menggunakannya

Shopee SpayLater: Kebaikan, Keburukan & Cara Terbaik Menggunakannya

8 May 2024
Menyambut era tanpa tunai, kemudahan yang bermanfaat buat semua

Menyambut era tanpa tunai, kemudahan yang bermanfaat buat semua

25 March 2025
AEON Bank sambut ulang tahun pertama dengan 8x ganjaran tunai, Kad Debit-i edisi khas, hadiah menarik & Neko Missions

AEON Bank sambut ulang tahun pertama dengan 8x ganjaran tunai, Kad Debit-i edisi khas, hadiah menarik & Neko Missions

28 May 2025

Copyright © 2023 · SoyaCincau.com
Mind Blow Sdn Bhd (1076827-P)

  • URUSAN PENGIKLANAN
  • DISCLAIMER

Copyright © 2023 · SoyaCincau.com – Mind Blow Sdn Bhd (1076827-P)3

  • URUSAN PENGIKLANAN
  • DISCLAIMER