MCash telah mengumumkan penyertaan langsung dalam Payments Network Malaysia (PayNet), sekali gus membolehkan pengguna membuat pembayaran melalui DuitNow QR serta pemindahan wang menggunakan DuitNow Transfer.
Langkah ini menandakan peralihan besar bagi MCash, daripada eWallet yang beroperasi dalam ekosistem tersendiri kepada sebahagian daripada rangkaian pembayaran digital nasional yang lebih luas.
Dengan sokongan DuitNow QR, pengguna MCash kini boleh membuat pembayaran menggunakan kod QR standard Malaysia di mana-mana peniaga yang menyokong DuitNow. Ini merangkumi lebih 2.5 juta peniaga di seluruh negara, termasuk peniaga kecil, penjaja jalanan, sehinggalah rantaian runcit besar.
Selain pembayaran, pengguna juga kini boleh menghantar wang secara segera melalui DuitNow Transfer menggunakan nombor telefon atau nombor akaun bank penerima.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MCash, Tee Kean Kang, “DuitNow QR kini menjadi salah satu komponen utama dalam landskap pembayaran digital Malaysia. Seiring dengan perkembangan ekonomi digital, interoperabiliti bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Dengan menjadi peserta langsung PayNet, kami memperkukuh keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan pembayaran dan pemindahan dana masa nyata yang selamat di seluruh negara.”
“Lebih penting lagi, langkah ini meletakkan MCash sebagai pemain yang terhubung sepenuhnya dalam rangka kerja pembayaran nasional Malaysia, sekali gus meningkatkan kepercayaan, kemudahan dan keterangkuman kewangan”, tambah beliau.
Selain memberi manfaat kepada pengguna, penyertaan MCash dalam PayNet ini turut menyokong agenda transformasi digital Malaysia secara lebih luas. Ini termasuk persediaan untuk inisiatif Visit Malaysia 2026, di mana infrastruktur pembayaran yang saling beroperasi antara satu sama lain menjadi penting bagi memastikan pengalaman pembayaran yang lancar untuk pelancong tempatan mahupun antarabangsa.
Tambah pula, pencapaian ini dikatakan mengukuhkan lagi misi jangka panjang syarikat untuk membangunkan perkhidmatan kewangan digital yang mudah diakses dan inklusif, sekali gus menghubungkan pengguna dengan ekosistem kewangan Malaysia yang terus berkembang.
Pengguna sedia ada boleh mula menggunakan kedua-dua ciri ini dengan memuat turun semula atau mengemaskini aplikasi MCash ke versi terkini. MCash merupakan jenama eWallet di bawah MRuncit Commerce Sdn Bhd dan dilesenkan sebagai E-Money oleh Bank Negara Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi MCash.






