Hanya lebih kurang 3 bulan selepas siri Xiaomi 17 dilancarkan di Malaysia, Xiaomi Malaysia bakal memperkenalkan barisan telefon pintar terbaharu, siri Xiaomi 17T tidak lama lagi. Siri ini dikatakan menjadi pilihan flagship yang lebih mampu milik, namun masih hadir dengan kamera yang dibangunkan bersama Leica.
Masa pelancaran Xiaomi 17T ini agak berbeza berbanding sebelum ini, memandangkan siri T biasanya dilancarkan pada separuh kedua tahun. Sebagai rujukan, Xiaomi 15T, Xiaomi 14T, dan Xiaomi 13T sebelum ini semuanya dilancarkan pada bulan September.
Pelancaran Xiaomi 17T Malaysia pada 28 Mei 2026

Seperti yang didedahkan oleh Xiaomi Malaysia, pelancaran siri Xiaomi 17T akan berlangsung pada Khamis, 28 Mei 2026. Anda boleh menyaksikan acara pelancaran ini secara langsung pada pukul 8:00 malam melalui laman web rasmi Xiaomi. Jualan juga dijangka bermula sejurus selepas pelancaran tersebut.
Menariknya, berdasarkan laman pelancaran Xioami 17T, pembeli turut akan menerima beberapa tawaran tambahan seperti tablet Redmi Pad 2 9.7, fon putik baharu Redmi Buds 8, 4 bulan Spotify Premium
- 3 bulan YouTube Premium
- 3 bulan Google AI Pro
Selain itu, Xiaomi turut menawarkan jaminan kualiti selama 24 bulan serta satu penggantian skrin percuma dalam tempoh enam bulan pertama.
Apa yang boleh dijangka pada Siri Xiaomi 17T

Xiaomi Malaysia telah mendedahkan reka bentuk Xiaomi 17T melalui saluran media sosial mereka. Dari segi penampilan, ia kelihatan sangat mirip dengan siri Xiaomi 15T, terutamanya pada bahagian bonggol kamera berbentuk segi empat bulat dengan bucu bulat.
Berbeza dengan siri sebelum ini yang mengekalkan saiz skrin yang sama antara model standard dan Pro, siri Xiaomi 17T kali ini akan hadir dalam dua saiz berbeza dan ini pastinya memberi lebih fleksibiliti kepada pengguna yang mahukan telefon lebih kompak atau paparan lebih besar.
Dari segi pengimejan, Xiaomi 17T masih mengekalkan kamera yang dibangunkan bersama Leica, dengan tumpuan utama pada kamera telefoto optik 5x. Untuk yang nak zum lebih jauh, ada juga zum kualiti optik 10x serta zum Ultra AI sehingga 120x. Berdasarkan spesifikasi yang bocor, kedua-dua model dijangka hadir dengan kamera utama 50MP, kamera telefoto 50MP, kamera ultralebar 12MP dan kamera selfie 32MP.


Berdasarkan maklumat awal, Xiaomi 17T akan hadir dengan skrin sekitar 6.59″ dengan kadar segar semula 120Hz, manakala versi Pro pula menggunakan skrin lebih besar 6.83″ dengan kadar segar semula sehingga 144Hz.
Untuk prestasi, model standard dijangka menggunakan cip MediaTek Dimensity 8500 Ultra, sementara model Pro pula akan dilengkapi cip lebih berkuasa Dimensity 9500. Selain itu, anda boleh jangkakan kedua-duan Xiaomi 17T dan17T Pro dinaik taraf dengan kapasiti lebih besar, dengan masing-masing menggunakan bateri 6,500mAh dan 7,000mAh.
Model standard juga akan menyokong pengecasan 67W, manakala model pro pula menyokong pengecasal lebih pantas 100W secara berwayar dan 50W secara tanpa wayar.
Namun setakat ini, Xiaomi masih belum mendedahkan harga rasmi untuk siri 17T. Sebagai rujukan, Xiaomi 15T sebelum ini dilancarkan pada harga bermula RM1,899, manakala model Pro bermula RM2,699. Maklumat lanjut termasuk harga dan spesifikasi penuh dijangka akan diumumkan semasa acara pelancaran rasmi nanti.
Xiaomi 17T bakal dilancar di Bangunan Sultan Abdul Samad

Menurut kenyataan terbaru Xiaomi Malaysia, pelancaran siri Xiaomi 17T akan berlangsung di Bangunan Sultan Abdul Samad bersempena KL Festival 2026. Selain pelancaran produk, Xiaomi turut akan mengadakan pameran fotografi hasil kolaborasi bersama Leica di Federal Hall 1, serta mempamerkan konsep rumah pintar berasaskan teknologi Xiaomi di Federal Hall 2. Pameran ini terbuka kepada orang ramai dari 30 Mei hingga 1 Jun 2026.
Orang ramai juga boleh mencuba sendiri Xiaomi 17T di reruai khas yang disediakan di kawasan River of Life, bersebelahan kafe Makan Buzz, termasuk sesi photowalk bersama jurugambar tempatan Yuji Haikal.






