Perodua QV-E kini boleh didapati pada harga serendah RM63,499, tidak termasuk kos sewa bateri. Model sportback elektrik ini pada asalnya dilancarkan pada Disember lalu dengan harga jualan RM80,000.
Pada masa yang sama, Perodua turut mengumumkan bahawa pelanggan kini mempunyai pilihan untuk membeli terus (outright purchase) model QV-E ini sekali dengan bateri. Menerusi pilihan baharu ini, anda boleh memiliki EV tersebut pada harga bermula RM87,499.
Menurut Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan CEO Perodua:
“Perodua bersama vendor tempatan kini berjaya menghasilkan sebahagian besar komponen secara domestik. Ini bermakna kami dapat terus melindungi peluang pekerjaan tempatan di samping mengurangkan kebergantungan kepada teknologi dan rantaian bekalan luar negara.
Perkembangan ini penting bagi membolehkan kami membina inventori alat ganti yang lebih kukuh – terutamanya komponen badan kenderaan – bagi memastikan pelanggan mendapat akses mudah kepada barangan buatan tempatan apabila diperlukan. Hasil daripada peningkatan komponen tempatan (localisation) ini, kami dapat mengoptimumkan lagi operasi syarikat, dan kini kami berkongsi manfaat tersebut bersama para pelanggan setia kami.”
Selain itu, pengeluar kereta nasional ini turut mengurangkan kadar langganan bulanan bagi pakej Sewa Bateri atau Battery as a Service (BaaS) QV-E daripada RM275 kepada RM215 sebulan termasuk cukai. Walau bagaimanapun, tempoh langganan selama 9 tahun dan polisi jaminan kekal tidak berubah.
Kadar sewa baharu ini turut terpakai untuk pemilik sedia ada Perodua QV-E dan akan dikemas kini dalam kitaran pembayaran mereka yang seterusnya. Perodua juga menyatakan bahawa pembeli terawal (early adopters) QV-E akan diberikan “pemulangan wang khas” (special refund) yang akan diperincikan oleh penasihat jualan mereka tidak lama lagi.
Perbandingan Harga Perodua QV-E: Baharu vs Lama

Mari kita lihat secara ringkas: berapakah jumlah kos keseluruhan untuk membeli sebuah Perodua QV-E? Pengiraan ini adalah berdasarkan andaian anda mahu memegang kereta ini selama 9 tahun, bersesuaian dengan tempoh pelan sewa baterinya:
- Harga Lama: RM80,000 + (RM275 x 108 bulan) = RM109,700
- Harga Baharu: RM69,999 + (RM215 x 108 bulan) = RM93,219
Gandingan harga kenderaan dan pelan sewa bateri baharu ini memberikan penjimatan sebanyak RM16,481.

Bukan itu sahaja, Perodua turut menawarkan rebat tambahan sebanyak RM6,500 untuk harga kenderaan. Dengan rebat tersebut, harga QV-E menerusi pelan BaaS kini menjadi:
- RM86,719 (jumlah kos keseluruhan termasuk sewaan bateri selama 9 tahun)
- RM63,499 (harga kenderaan)
Sewa bateri vs beli terus: Mana lagi murah?

Seperti yang dinyatakan tadi, anda kini boleh membeli terus QV-E sekali dengan baterinya. Melalui pilihan ini, harga atas jalan (OTR) Perodua QV-E tanpa insurans adalah RM93,999.
Bagaimanapun, rebat masa terhad RM6,500 yang disebut di atas turut ditawarkan untuk pilihan beli terus ini. Selepas ditolak rebat, harga OTR turun kepada RM87,499.
Apabila anda membandingkan kos keseluruhan antara pelan sewa bateri 9 tahun (termasuk rebat) dengan pilihan beli terus sekali bateri, perbezaannya hanyalah RM780 sahaja.
Perubahan waranti untuk pilihan beli terus

Bagi pelanggan yang memilih untuk membeli terus, polisi jaminan (waranti) bateri untuk QV-E mereka adalah sedikit berbeza berbanding mereka yang mengambil pelan BaaS.
Untuk pilihan beli terus, QV-E didatangkan dengan jaminan selama 8 tahun / 160,000km untuk bateri voltan tingginya. Sungguhpun begitu, Perodua menyatakan syarikat akan membeli semula bateri tersebut daripada pelanggan apabila jangka hayat bateri itu tamat kelak.
Sementara itu di bawah pelan sewa bateri (BaaS), jaminan bateri voltan tinggi hadir dengan perbatuan tanpa had (unlimited mileage). Hal ini kerana di bawah pelan tersebut, Perodua adalah pemilik sah bagi bateri berkenaan – bukannya pelanggan.
Namun begitu, tidak kira kaedah mana yang anda pilih untuk memiliki QV-E ini, jaminan tahap kesihatan bateri (State of Health – SOH) minimum sebanyak 70%, serta waranti am kenderaan selama 6 tahun / 150,000km adalah tetap sama.
[Sumber: SoyaCincau]






