Nothing baru sahaja memperkenalkan fon putik terbaharu, Nothing Ear (3a). Menariknya, fon putik ini dilengkapi dengan storan dalaman terbina bersaiz 32MB untuk ciri baharu dikenali sebagai Audio Snapshot. Ciri ini membolehkan pengguna menyimpan sebahagian audio yang sedang didengar terus melalui fon putik, tanpa perlu menyentuh telefon.
Selain fungsi rakaman baharu, Ear (3a) turut menerima peningkatan pada perkakasan audio, sistem penyaring hingar aktif (ANC) yang lebih baik serta bekas pengecas dengan rekaan baharu.
Harga dan ketersediaan Nothing Ear (3a)

Diumumkan di peringkat global, harga jualan rasmi Ear (3a) di pasaran UK adalah pada GBP 99 (~RM539). Sebagai perbandingan, ianya lebih murah berbanding Nothing Ear (3) dijual pada harga GBP149 dan kini ditawarkan secara rasmi di Malaysia pada harga RM759.
Buat masa ini, Nothing masih belum mengumumkan harga dan tarikh jualan Ear (3a) untuk pasaran Malaysia. Maklumat tersebut akan diumumkan kemudian.
Nothing Ear (3a) ditawarkan dalam pilihan warna Hitam, Putih, Kuning, dan warna baharu iaitu Merah Jambu (Pink).
Audio Snapshot seperti mengambil screenshot untuk bunyi

Ciri utama diketengahkan pada Ear (3a) adalah Audio Snapshot. Berbeza dengan rakaman manual biasa di mana anda perlu menekan butang rakam terlebih dahulu, pengguna Ear (3a) hanya perlu memicit kedua-dua belah fon putik untuk simpan audio, apa yang dipanggil Nothing sebagai “audio screenshot”.. Ear (3a) akan simpan audio sebelum dan selepas isyarat tersebut, jadi pengguna tidak akan terlepas bahagian penting yang ingin diingat.
Menurut Nothing, Audio Snapshot berguna untuk rakam perkara penting dari kuliah dalam talian, podcast, video atau nota suara daripada rakan tanpa perlu capai telefon.
Semua yang disimpan akan diselaraskan secara automatik ke aplikasi Nothing X. Dari situ, pengguna boleh memainkan semula, menyunting, berkongsi atau menghasilkan transkripsi teks daripada rakaman tersebut. Malah, bahagian tertentu daripada transkripsi juga boleh diubah menjadi kad petikan (quote card) yang sedia untuk dikongsi, memudahkan pengguna untuk rujuk semula atau kongsikan perkara penting

Selain itu, Ear (3a) turut memperkenalkan ciri Call Recording. Dengan satu gerakan ringkas, pengguna boleh merakam panggilan telefon atau mesyuarat terus menerusi fon putik untuk tempoh sehingga sekitar dua jam. Rakaman tersebut akan diselaraskan secara automatik ke aplikasi Nothing X untuk dimainkan semula, disunting atau ditranskripsi. Peserta dalam panggilan juga akan dimaklumkan setiap kali rakaman sedang aktif.
Walau bagaimanapun,Ear (3a) bukanlah fon putik pertama yang dilengkapi storan terbina. Pada 2016, Samsung Gear IconX pernah hadir dengan storan 4GB untuk simpan dan mainkan muzik tanpa telefon. Namun, Nothing menggunakan storan terbina dalam untuk tujuan yang berbeza iaitu untuk tangkap momen audio seperti kuliah, podcast dan nota suara.
Pemandu lebih besar, ANC lebih kuat

Di bahagian audio, Nothing Ear (3a) dilengkapi pemacu dinamik baharu bersaiz 12mm dengan diafragma PMI yang diinspirasikan daripada teknologi aeroangkasa. Menurut Nothing, pemacu yang lebih besar ini mampu menghasilkan frekuensi bass sehingga 5dB lebih kuat berbanding generasi sebelumnya, sambil mengekalkan perincian yang jelas pada frekuensi tinggi.
Ear (3a) turut menerima pensijilan Hi-Res Audio Wireless dan menyokong codec LDAC untuk penstriman audio sehingga 24-bit/96kHz. Pengguna boleh mengubah suai profil bunyi menggunakan equalizer 8 jalur menerusi aplikasi Nothing X. Turut disediakan ialah Static Spatial Audio yang memperluaskan ruang bunyi stereo untuk memberikan pengalaman mendengar yang lebih imersif.

Untuk menyingkir bunyi luar, Ear (3a) lengkap dengan penyaring hingar aktif (ANC) wideband sehingga 45dB. Nothing menyatakan penambahbaikan pada mesh akustik dan algoritma ANC memberikan peningkatan pembatalan hingar keseluruhan sebanyak 17.1% berbanding generasi sebelumnya, di samping ia turut memiliki Transparency Mode untuk pengguna mendengar bunyi persekitaran apabila diperlukan.
Untuk panggilan suara, setiap fon putik dilengkapi tiga mikrofon yang berfungsi bersama sistem pengurangan hingar berasaskan AI. Sistem ini direka untuk memastikan suara pengguna kekal jelas ketika membuat panggilan dalam persekitaran bising.
Rekaan bekas baharu dan bateri sehingga 42 jam

Ear (3a) masih mengekalkan reka bentuk lutsinar Nothing, tapi kali ini hadir dengan bekas pengecas bereka bentuk baharu. Bekasnya kini lebih bulat dan dikatakan diinspirasikan daripada pek pil. Nothing juga memperkenalkan saiz ear tip XS baharu untuk pengguna yang mempunyai telinga yang lebih kecil. Bekas pengecas juga kini dilengkapi lampu LED 1×3 yang memaparkan maklumat seperti tahap bateri, status pengecasan dan proses penyambungan peranti.
Fon putik ini menyokong sambungan Bluetooth 6.0 dengan ciri Dual Connection (boleh disambung pada dua peranti serentak). Ciri-ciri lain yang turut disertakan adalah Google Fast Pair, Microsoft Swift Pair, kawalan picit boleh diubah suai, pengesanan dalam telinga, serta Low Lag Mode untuk respons audio permainan video yang lebih pantas. Kedua-dua fon putik dan bekas pengecas turut diiktiraf kalis percikan air dan debu IP54.

Dari segi bateri, Ear (3a) mampu bertahan sehingga 10 jam dengan sekali pengecasan, atau sehingga 42 jam secara keseluruhan bersama bekas pengecas apabila ANC dimatikan. Dengan ANC diaktifkan, fon putik boleh digunakan sehingga 6 jam, atau sehingga 25 jam bersama bekas pengecas. Cas pantas 5 minit pula memberikan lebih kurang satu jam masa mendengar.
Aplikasi Nothing X turut menyediakan penyesuaian EQ, perkongsian profil, kemas kini perisian, Find My Earbuds dan Ear Tip Fit Test.. Apabila dipadankan dengan telefon pintar Nothing, Ear (3a) turut menyediakan akses kepada ChatGPT dan Essential News untuk penggunaan secara bebas tangan.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Nothing Ear (3a).






