Berikutan pembukaan tempahan awal baru-baru ini, Huawei kini secara rasmi melancarkan siri Pura 90s di Malaysia yang terdiri daripada dua model, iaitu Pura 90s Pro dan Pura 90s Pro Max. Barisan flagship terbaharu ini menampilkan kamera telefoto sehingga 200MP, bateri 6,000mAh serta pelbagai ciri fotografi berasaskan AI.
Untuk makluman anda, siri Pura 90s ini merupakan versi global kepada siri Huawei Pura 90 yang diperkenalkan di China awal tahun ini.
Apa yang lebih menarik, siri Pura 90s juga akhirnya menyokong rangkaian 5G, bermakna kembalinya sokongan 5G pada peranti Huawei untuk pasaran global dan Malaysia. Kali terakhir sokongan 5G yang ada adalah pada siri flahgship Huawei P40.
Harga dan ketersediaan Huawei Pura 90s di Malaysia

Bagi yang berminat, siri Huawei Pura 90s sudah mula dijual di pasaran tempatan bermula hari ini. Berikut adalah senarai harga jualan rasmi:
- Huawei Pura 90s Pro (12GB + 256GB): RM3,699
- Huawei Pura 90s Pro (12GB + 512GB): RM3,999 (promo RM3,699)
- Huawei Pura 90s Pro Max (12GB + 512GB): RM4,899 (promo RM4,499)
Pelanggan yang membuat tempahan awal bakal menikmati hadiah percuma bernilai sehingga RM3,076. Ganjaran ini merangkumi baucar bernilai sehingga RM400, hadiah misteri berharga RM999, serta pakej perkhidmatan Huawei Pura 90s series Premium Service bernilai RM1,677.
Pakej premium ini termasuk perlindungan kerosakan tidak sengaja selama satu tahun, penggantian bateri percuma tanpa had selama satu tahun, waranti APAC & MEA satu tahun, penggantian pelindung skrin percuma empat kali dalam tempoh dua tahun, serta khidmat pelanggan VIP eksklusif.
Berminat untuk beli? Anda boleh dapatkan siri Huawei Pura 90s menerusi stor rasmi mereka di:
Huawei pura 90s Pro – Laman web Huawei, Lazada, Shopee dan TikTok
Huawei pura 90s Pro Max – Laman web Huawei, Lazada, Shopee dan TikTok
Spesifikasi Huawei Pura 90s Pro Max

Huawei Pura 90s Pro Max merupakan model paling premium dalam siri ini. Tarikan utamanya ialah kamera telefoto 200MP Ultra Large Sensor dengan bukaan f/2.6 yang menggunakan sensor RYYB bersaiz 1/1.28″. Kamera ini menyokong zum optikal 4x, penstabilan imej optikal (OIS) dan zum digital sehingga 100x.
Ia turut dilengkapi kamera utama 50MP Ultra Lighting HDR dengan bukaan berubah antara f/1.4 hingga f/4.0, kamera ultralebar 40MP, serta kamera swafoto 13MP.

Huawei turut membawakan teknologi True-to-Colour Camera generasi kedua yang dikatakan mampu menghasilkan warna yang lebih tepat dalam pelbagai keadaan pencahayaan.
Di bahagian hadapan pula, telefon ini menggunakan skrin LTPO OLED 6.9″ dengan resolusi 2,848 × 1,276 piksel serta kadar segar semula adaptif 1Hz hingga 120Hz.

Untuk prestasi, Pura 90s Pro Max ini dikuasakan cip Kirin 9030S, dipadankan dengan RAM 12GB dan storan 512GB.
Bateri berkapasiti 6,000mAh menyokong pengecasan pantas 100W Huawei SuperCharge secara berwayar, 80W secara wayarles, serta pengecasan berbalik tanpa wayar.
Dari segi ketahanan, Pura 90s Pro Max menggunakan kaca Kunlun Glass antisilau dan tahan calar, serta hadir dengan penarafan IP68 dan IP69 untuk ketahanan terhadap air dan habuk.

Telefon ini ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Orange Ocean, Blaze Purple, Blush Gold dan Graphite Black.
Spesifikasi Huawei Pura 90s Pro

Huawei Pura 90s Pro berkongsi kebanyakan spesifikasi yang sama seperti model Pro Max, tetapi menggunakan kamera telefoto 50MP Ultra Lighting Macro Telephoto dengan OIS sebagai ganti kamera telefoto 200MP.
Turut melengkapkan sistem kameranya ialah kamera utama 50MP Ultra Lighting dengan bukaan berubah f/1.4 hingga f/4.0, kamera ultralebar 12.5MP dan kamera swafoto 13MP.

Skrinnya sedikit lebih kecil, menggunakan panel LTPO OLED 6.6″ dengan resolusi 2,760 × 1,256 piksel serta kadar segar semula adaptif 1Hz hingga 120Hz. Telefon ini turut dijana cip Kirin 9030S bersama RAM 12GB, dengan pilihan storan 256GB atau 512GB.
Ia turut dibekalkan bateri 6,000mAh, namun menyokong pengecasan berwayar sehingga 66W Huawei SuperCharge, pengecasan wayarles 50W, serta pengecasan terbalik tanpa wayar.

Seperti model Pro Max, Pura 90s Pro juga diiktiraf kalis air IP68 dan IP69.
Pilihan warna yang ditawarkan ialah Guava Soda, Orange Soda, Mulberry Black dan Coconut White.
EMUI 16 bawa pelbagai ciri fotografi berasaskan AI
Siri Huawei Pura 90s menjalankan sistem operasi EMUI 16 yang dibina berasaskan Android 16.
Huawei turut memperkenalkan beberapa ciri fotografi baharu berasaskan AI untuk memudahkan proses mengambil dan menyunting gambar.
Antaranya ialah AI Composition, yang mencadangkan komposisi gambar sebelum butang pengatup ditekan, AI De-Glare untuk menghilangkan pantulan ketika merakam melalui kaca, AI Move bagi mengubah kedudukan subjek selepas gambar diambil, AI Remove untuk memadam objek yang tidak diingini, serta AI Best Expression yang menggabungkan beberapa gambar bagi menghasilkan ekspresi wajah terbaik dalam foto berkumpulan.
Selain itu, teknologi True-to-Colour Camera generasi kedua turut dipertingkat bagi menghasilkan warna yang lebih semula jadi dalam pelbagai keadaan pencahayaan.
Telefon ini juga dilengkapi Celia AI Assistant yang menyokong arahan suara, manakala ekosistem Huawei AppGallery terus menyediakan akses yang selamat kepada pelbagai aplikasi popular yang digunakan di Malaysia.






