PRISM+ nampaknya ingin terus memperluas penawaran perkakas dapur mereka di Malaysia. Selepas melancarkan siri peti sejuk PureFresh TMF beberapa bulan lalu, kini mereka melancarkan siri PureFresh yang lebih besar bersama barisan penyejuk beku (chest freezer) baharu di bawah siri FreezeMaster.
Menurut PRISM+, barisan produk baharu ini direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup yang berbeza, daripada kediaman bersaiz kompak hinggalah keluarga yang memerlukan ruang simpanan makanan lebih besar.
Antara model yang diperkenalkan ialah PureFresh FDR 520, peti sejuk empat pintu dengan ciri antibakteria, PureFresh TMF 170 yang kompak, serta dua model chest freezer iaitu FreezeMaster 260 dan FreezeMaster 390. Kesemua produk ini ditawarkan pada harga promosi bermula daripada RM599.
Harga dan ketersediaan

Berikut adalah harga jualannya di Malaysia:
- PureFresh TMF 170 – RM999 (promosi RM599)
- FreezeMaster 260 – RM1,199 (promosi RM629)
- FreezeMaster 390 – RM1,699 (promosi RM859)
- PureFresh FDR 520 (Inox) – RM2,599 (promosi RM1,979)
- PureFresh FDR 520 (Gentle Matte Black) – RM2,739 (promosi RM2,079)
Model PureFresh FDR 520 kini boleh dibeli menerusi laman web PRISM+, Shopee serta kedai fizikal PRISM+ di seluruh negara.
Sementara itu, PureFresh TMF 170, FreezeMaster 260 dan FreezeMaster 390 kini dibuka untuk tempahan awal secara eksklusif di laman web PRISM+, dengan penghantaran dijangka bermula sekitar pertengahan hingga hujung Ogos 2026.
Semua model turut disertakan waranti di lokasi (on-site) selama dua tahun. Selain itu, PureFresh FDR 520 dan siri FreezeMaster menerima waranti pemampat selama 12 tahun, manakala PureFresh TMF 170 hadir dengan waranti pemampat selama 10 tahun.
PRISM+ PureFresh FDR 520

PureFresh FDR 520 merupakan peti sejuk empat pintu dengan kapasiti 520L, sesuai untuk keluarga yang memerlukan ruang simpanan lebih besar untuk barangan basah dan sejuk beku.
Keistimewaan utamanya ialah Negative Ion Generator yang menawarkan perlindungan antibakteria sehingga 99.99%, sekali gus membantu mengurangkan bakteria dan bau di dalam peti sejuk. Menurut PRISM+, sistem ini telah diuji di makmal terhadap bakteria E. coli dan Staphylococcus aureus, dua bakteria yang sering dikaitkan dengan keracunan makanan.
Bagi memastikan suhu kekal sekata, peti sejuk ini menggunakan Multi Zone Cooling System yang mengagihkan udara sejuk dan ion negatif ke setiap ruang simpanan. Ia turut dilengkapi teknologi No Frost untuk mengelakkan pembentukan ais, serta Inverter Compressor yang membantu menjimatkan penggunaan tenaga.
Ciri lain yang disediakan termasuk paparan sentuh LED di bahagian luar, mod Quick Cool dan Quick Freeze untuk menyejukkan makanan dengan lebih pantas selepas membeli-belah, Energy Saving Mode, serta pemegang pintu jenis tersembunyi (recessed handle) bagi memberikan penampilan yang lebih moden.
PRISM+ PureFresh TMF 170

Bagi mereka yang tinggal di apartmen, studio atau rumah sewa, PRISM+ turut memperkenalkan PureFresh TMF 170, peti sejuk dua pintu dengan kapasiti 170L.
Walaupun bersaiz kompak dan hanya menggunakan ruang lantai sekitar 0.23 meter persegi, ia masih menawarkan ruang simpanan yang mencukupi untuk keperluan harian. Peti sejuk ini juga beroperasi pada tahap bunyi sekitar 42dB, menjadikannya sesuai digunakan di ruang kediaman terbuka atau pantri pejabat.
Antara ciri yang ditawarkan termasuk penarafan kecekapan tenaga 4 bintang, rak kaca tempered serta pintu yang boleh dipasang mengikut arah bukaan pilihan pengguna (reversible door).
PRISM+ FreezeMaster 260 dan FreezeMaster 390

Selain peti sejuk, PRISM+ turut memperkenalkan dua model chest freezer baharu, iaitu FreezeMaster 260 dan FreezeMaster 390, yang menyasarkan pengguna yang gemar membeli barangan secara pukal serta peniaga kecil seperti kafe, kedai runcit dan perniagaan makanan dari rumah.
Kedua-dua model ini menawarkan ruang simpanan yang besar serta mampu mengekalkan makanan dalam keadaan sejuk beku sehingga 100 jam sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.
Ia turut menerima penarafan tenaga 4 bintang, selain dilengkapi bahagian dalaman yang mudah dibersihkan, tombol kawalan suhu yang lebih selamat untuk kanak-kanak, lampu LED dalaman, pintu jenis hovering serta bakul simpanan yang boleh ditanggalkan untuk memudahkan penyusunan makanan.






