WhatsApp baru sahaja mengumumkan beberapa ciri panggilan baharu, dan ini termasuk membolehkan pengguna membuat dan menerima panggilan suara mahupun video terus dari pelayar WhatsApp Web.
Buat panggilan dari WhatsApp Web tanpa perlu pasang aplikasi
Dengan kemas kini ini, pengguna tidak lagi perlu memasang aplikasi WhatsApp Desktop untuk membuat panggilan menggunakan komputer. Sebaliknya, semua panggilan boleh dilakukan terus melalui pelayar web seperti Chrome, Edge atau Safari. Ciri ini amat berguna terutamanya jika anda menggunakan komputer pejabat atau komputer kongsi yang tidak membenarkan pemasangan perisian baharu.
Versi web ini turut menawarkan ciri panggilan yang sama seperti pada aplikasi mudah alih, termasuklah perkongsian skrin, reaksi panggilan, serta tab Calls untuk melihat semula sejarah panggilan dan senarai kenalan kegemaran anda. Yang lebih penting, panggilan menerusi pelayar ini kekal percuma, disulitkan end-to-end, dan tiada had masa dikenakan.
Boleh pindah panggilan antara peranti tanpa perlu tamatkan panggilan
Satu lagi ciri baharu yang diperkenalkan ialah keupayaan untuk memindahkan panggilan yang sedang berlangsung ke peranti lain, tanpa perlu menamatkan panggilan terlebih dahulu.
Sebagai contoh, katakanlah anda memulakan panggilan kumpulan di telefon semasa dalam perjalanan pulang. Sebaik sahaja anda sampai dan duduk di meja kerja, anda boleh terus beralih ke WhatsApp Web atau Desktop tanpa perlu ‘putuskan’ panggilan tersebut dahulu.
Bilik menunggu untuk kawal siapa boleh sertai panggilan kumpulan
Bagi pengguna yang kerap menganjurkan panggilan kumpulan, kini terdapat ciri bilik menunggu (waiting room) yang membolehkan hos mengawal sesiapa yang boleh menyertai panggilan tersebut.
Apabila mencipta pautan panggilan, hos boleh mengaktifkan tetapan “Require approval to join”. Dengan tetapan ini, sesiapa yang menekan pautan jemputan akan ditempatkan di ruang menunggu terlebih dahulu dan hanya boleh menyertai panggilan selepas diluluskan oleh hos.
Video HD lebih pantas serta ciri penyingkiran bunyi latar
Untuk menjadikan pengalaman panggilan lebih jelas, WhatsApp turut memperkenalkan ciri baharu bernama QuickHD. Berbeza daripada sebelum ini di mana kualiti video perlu beransur-ansur bertambah baik sepanjang panggilan, QuickHD kini membolehkan video kualiti HD terus dipaparkan dengan jelas sejak beberapa saat pertama panggilan bermula.
Selain itu, WhatsApp turut menambah ciri penyingkiran bunyi latar (background noise removal). Ciri ini berfungsi menapis bunyi bising di sekeliling anda, supaya suara anda kedengaran lebih jelas walaupun sedang berada di tempat yang sesak atau bising. Ciri ini boleh dihidupkan atau dimatikan bila-bila masa sepanjang panggilan, terus dari menu tetapan panggilan.
Buat masa ini, kesemua ciri di atas sedang dilancarkan secara berperingkat kepada pengguna di seluruh dunia, dan dijangka akan tersedia buat semua pengguna WhatsApp tidak lama lagi.






