Honor Malaysia kini memperkenalkan jam pintar terbaharu bagi pasaran tempatan, iaitu Honor Watch 6. Jam tangan pintar ini menyasarkan pengguna yang aktif bersukan dan mementingkan pemantauan kesihatan, dengan pelbagai ciri menarik seperti mod sukan profesional, hayat bateri yang panjang serta fungsi pintar untuk kegunaan harian.
Antara tarikan utama HONOR Watch 6 ialah sokongan lebih 120 mod sukan, termasuk Mod Badminton Profesional dan Mod Bola Sepak Profesional, yang boleh digunakan tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan atau melanggan perkhidmatan berbayar.
Harga dan ketersediaan Honor Watch 6 di Malaysia

Honor Watch 6 kini boleh didapati secara rasmi di Malaysia. Jam tangan pintar ini ditawarkan dalam dua pilihan varian dan kemasan
- Honor Watch 6 Shadow Black – RM699
- Honor Watch 6 Twilight Brown – RM799
Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkannya menerusi Kedai Konsep Honor di seluruh negara, laman web rasmi Honor Malaysia, serta kedai rasmi mereka di Lazada, Shopee, dan TikTok Shop.
Spesifikasi Honor Watch 6

Jam Honor Watch 6 ini dilengkapi paparan skrin sentuh AMOLED 1.46″ dengan resolusi 464 x 464 piksel (317 PPI) dan menyokong kecerahan puncak sehingga 3,000 nits bagi membolehkan maklumat dibaca dengan jelas di bawah cahaya matahari.


Dari segi reka bentuk, ia membawakan konsep Racing Dashboard dengan bezel keluli tahan karat 316L, pilihan kemasan badan aluminium seberat 41g (Shadow Black) atau keluli tahan karat seberat 50g (Twilight Brown), serta dipadankan dengan tali jenis fluoroelastomer atau komposit. . Bagi kawalan fizikal, jam ini disertakan dua butang dengan butang atas berfungsi sebagai rotating crown.
Dari aspek ketahanan, Honor Watch 6 menyokong penarafan ketahanan air 5ATM dan IP69. Jam ini dikuasakan oleh bateri berkapasiti 980mAh yang mampu menawarkan penggunaan sehingga 35 hari untuk sesi pengecasan penuh, atau sehingga 42 jam apabila penjejakan GPS diaktifkan. Pengecasan dilakukan menerusi port magnetik khas.

Bagi penjejakan fizikal dan kesihatan, HONOR Watch 6 dilengkapi pelbagai sensor merangkumi pengesan kadar denyutan jantung optikal, akselerometer, giroskop, magnetometer, barometer, serta penderia cahaya persekitaran. Menerusi sistem Intelligent Sense, ia menjalankan pemantauan berterusan secara automatik untuk kadar denyutan jantung, tahap oksigen dalam darah (SpO2), dan corak tidur.



Dari sudut penjejakan sukan pula, jam ini menyokong lebih 120 mod sukan termasuk Mod Badminton Profesional dan Mod Bola Sepak Profesional yang membekalkan data analisis laluan, peta haba, serta teknik hayunan secara terbina tanpa bayaran langganan. Dari segi ketersambungan dan fungsi pintar, ia menggunakan sambungan Bluetooth 5.4 dan serasi dengan telefon pintar yang menjalankan Android 9.0 atau iOS 15.1 dan ke atas.
Ia turut dibekalkan dengan pembesar suara serta mikrofon terbina untuk sokongan panggilan dan rakaman suara.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan merangkumi sokongan NFC untuk kegunaan kad akses, keupayaan menerima notifikasi daripada dua telefon pintar serentak, serta fungsi AI Recorder yang menukar rakaman suara kepada ringkasan teks untuk disegerakkan ke aplikasi Honor Notes.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Honor Watch 6.





