MBSB Bank kini mengumumkan sokongan Samsung Wallet dan Google Pay untuk pemegang Kad Visa Debit-i mereka. Dengan ciri ini, pengguna boleh membuat pembayaran tanpa sentuh menggunakan telefon pintar Android yang menyokong kedua-dua platform tersebut, tanpa perlu membawa kad fizikal.
Kad Visa Debit-i MBSB Bank boleh digunakan menerusi Samsung Wallet dan Google Pay di semua premis yang menerima pembayaran Visa, sama ada di Malaysia mahupun di luar negara. Bagi pengguna peranti Apple, MBSB Bank turut mengesahkan bahawa Apple Pay akan diperkenalkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Menariknya, sempena pelancaran ini, MBSB Bank turut menawarkan promosi kepada pelanggan yang layak, termasuk baucar ZUS Coffee bernilai RM5 serta peluang memenangi sebuah tablet Samsung Galaxy Tab S10 Lite.
Pembayaran lebih selamat dengan teknologi tokenisasi

Menurut MBSB Bank, setiap transaksi yang dibuat menerusi Samsung Wallet dan Google Pay dilindungi oleh ciri keselamatan peranti pengguna. Selain itu, penggunaan teknologi tokenisasi memastikan maklumat sebenar kad tidak terdedah, sebaliknya digantikan dengan nombor pengecam digital unik bagi setiap transaksi.
Langkah ini juga seiring dengan perkembangan pesat pembayaran digital di Malaysia. Bank berkenaan memetik data yang menunjukkan sebanyak 18.4 bilion transaksi pembayaran elektronik telah dicatatkan pada tahun 2025, peningkatan 25% berbanding tahun sebelumnya, dengan purata 538 pembayaran tanpa tunai bagi setiap individu.
Selain Samsung Wallet dan Google Pay, MBSB Bank berkata mereka akan terus memperluaskan sokongan pembayaran digital dengan memperkenalkan Apple Pay dalam masa terdekat.
Promosi Samsung Wallet x MBSB: Baucar ZUS Coffee RM5 & peluang menang Galaxy Tab S10 Lite
Bagi meraikan pelancaran ini, MBSB Bank mengadakan kempen promosi Samsung Wallet bermula 18 Jun sehingga 31 Ogos 2026 yang terbuka kepada semua pemegang Kad Debit-i Visa MBSB (baru dan sedia ada).

Untuk mendapatkan baucar ZUS Coffee bernilai RM5 ini, anda hanya perlu:
- Tambahkan Kad Debit-i Visa MBSB ke dalam peranti Samsung Wallet.
- Buat pembayaran pertama anda menggunakan Samsung Wallet.
Namun, baucar ini terhad kepada 1,000 penebusan terawal sahaja berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat. Sebelum membuat pembayaran, pastikan anda menyertai promosi di dalam aplikasi Samsung Wallet melalui tab Promotions, tekan pada banner kempen, dan terima terma serta syarat yang ditetapkan.
Selain baucar kopi, anda juga berpeluang memenangi sebuah tablet Samsung Galaxy Tab S10 Lite (Wi-Fi).

Setiap perbelanjaan minimum RM30 dalam satu resit menggunakan Kad Debit-i Visa MBSB menerusi Samsung Wallet akan layak mendapat satu penyertaan cabutan bertuah. Sebanyak 6 unit Galaxy Tab S10 Lite ditawarkan sepanjang tempoh kempen ini.
Untuk maklumat lanjut dan terma penuh kempen, anda boleh melawat laman rasmi promosi Samsung Wallet MBSB Bank dan merujuk bahagian Soalan Lazim (FAQ).





