Google kini rasmi melancarkan Pixel 11 Pro Fold, telefon lipat generasi terbaharu mereka menggantikan Pixel 10 Pro Fold tahun lalu. Model baharu ini hadir dengan reka bentuk yang lebih nipis dan ringan, peningkatan pada skrin serta ketahanan, selain beberapa ciri baharu berasaskan Gemini.
Pixel 11 Pro Fold turut hadir dengan HiLight, iaitu lampu LED pada bahagian belakang yang boleh memberikan notifikasi melalui cahaya. Selain itu, Google turut memperkenalkan beberapa ciri baharu yang memanfaatkan skrin besar serta kecerdasan Gemini pada telefon lipat ini.
Lebih nipis dan ringan

Dari segi reka bentuk, Pixel 11 Pro Fold menerima beberapa perubahan berbanding generasi sebelumnya. Menurut Google, ia kini hampir 10% lebih ringan dan hampi 1mm lebih nipis berbanding Pixel 10 Pro Fold, dnegan berukuran 10.1mm (sebelum ini 10.8mm) apabila dilipat, dan 5mm (sebelum ini 5.2mm) apabila dibuka. Bezel pada telefon ini turut kini lebih nipis, memberikan penampilan yang lebih kemas.

Disebabkan itu, skrin luar Pixel 11 Pro Fold kini sedikit lebih besar pada 6.5″ berbanding 6.4″, menggunakan jenis panel OLED Super Actua dengan kadar segar semula 1-120Hz. Apabila dibuka pula, anda akan jumpa skrin dalam jenis OLED Super Actua Flex berukuran 8 inci, dengan resolusi 2076 x 2152 dan kadar segar semula yang sama, 1-120Hz. Kedua-dua skrin ini turut 20% lebih cerah, dengan kecerahan HDR sehingga 2,000 nits dan puncak sehingga 3,600 nits.

Pixel Pro 11 Fold ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu Obsidian dan Olive.
Lebih tahan lasak
Selain menjadikannya lebih nipis, Google turut memberikan perhatian kepada aspek ketahanan. Pixel 11 Pro Fold masih mengekalkan penarafan IP68 untuk perlindungan daripada habuk dan air. Ia turut menggunakan penutup belakang komposit baharu, direka supaya lebih sukar untuk retak.

Selain itu, kesan lipatan pada skrin dalam turut diperbaik kerana Pixel 11 Pro Fold ini menggunakan engsel “gearless hinge” baharu dengan radius lenturan yang lebih besar serta kaca yang lebih tebal pada skrin dalam. Skrin luaran dilindungi kaca seramik, manakala skrin dalaman pula dilapisi dengan kaca Ultra Thin Glass.
Dengan semua penambahbaikan ini, Google mendakwa Pixel 11 Pro Fold kini tiga kali lebih tahan lasak berbanding generasi sebelumnya dan menjadi Pixel Fold paling tahan lasak setakat ini.
Lampu HiLight untuk notifikasi

Seperti model Pixel 11 Pro, model telefon lipat ini turut menerima lampu HiLight baharu di bahagian belakang. Lampu LED ini boleh memberikan maklumat melalui cahaya berwarna. Contohnya, pengguna boleh menetapkan warna tertentu untuk panggilan masuk daripada Favourite Contacts.
Ciri ini turut boleh digunakan ketika pengguna berinteraksi dengan Gemini secara bebas tangan, di mana cahaya pada HiLight akan memberikan isyarat semasa Gemini sedang digunakan. Google turut menyatakan bahawa lebih banyak fungsi akan ditambah pada HiLight dari semasa ke semasa, termasuklah sokongan untuk notifikasi mesej daripada Favourite Contacts.
Dikuasakan Tensor G6

Pixel 11 Pro Fold dikuasakan cip Google Tensor G6, bersama cip keselamatan Titan M3 dan dilengkapi RAM 16GB. Untuk storan, ia ditawarkan dalam pilihan 256GB atau 512GB.
Varian 512GB menggunakan storan Zoned UFS yang dikatakan memberikan prestasi lebih pantas. Dari segi perisian, Pixel 11 Pro Fold hadir dengan Android 17 dan Google menjanjikan tujuh tahun kemas kini sistem operasi, keselamatan dan Pixel Drop.
Untuk bateri, Pixel 11 Pro Fold dilengkapi tangki berkapasiti 4,806mAh, sedikit lebih kecil berbanding 5,150mAh pada model sebelumnya. Namun menurut Google, kapasiti ini masih mampu menawarkan hayat penggunaan lebih 24 jam. Pengecasan berwayar 30W pula boleh mengisi sehingga 50% bateri dalam masa kira-kira 30 minit, menggunakan pengecas USB-C PPS 30W atau lebih tinggi.
Untuk pengecasan tanpa wayar pula, ia menyokong Qi2.2 sehingga 25W melalui Pixelsnap. Google mendakwa pengecasan tanpa wayar ini 20% lebih pantas berbanding generasi sebelumnya.
Kamera utama 48MP dan zum sehingga 30x

Di jabatan pengimejan, Pixel 11 Pro Fold masih mengekalkan susunan tiga kamera belakang yang sama seperti Pixel 10 Pro Fold. Ini merangkumi kamera utama 48MP f/1.7, kamera ultralebar 10.5MP dengan autofokus dan makro fokus, serta kamera telefoto 10.8MP dengan OIS yang menyokong zum optikal 5x, dan Super Zoom lebih jauh sehingga 30x.
Untuk kamera hadapan, terdapat kamera 10MP pada skrin luar dan satu lagi kamera 10MP pada skrin dalam. Dari segi video, kamera belakang boleh merakam sehingga 4K pada 60fps, selain menyokong ciri seperti Video Boost, Night Sight Video, Creator Suite dan rakaman video 10-bit HDR.
Ciri terjemahan bahasa isyarat kepada teks

Salah satu ciri menarik pada Pixel 11 Pro Fold ialah sokongan untuk terjemahan masa nyata, termasuk ciri baharu “sign-to-text”. Ciri ini dibangunkan bersama komuniti Pekak dan membolehkan pengguna menggunakan bahasa isyarat melalui kamera hadapan. Terjemahan kemudiannya akan dipaparkan pada skrin luar.
Untuk multitasking pula, Google turut memaklumkan mengoptimumkan fungsi tetingkap terapung untuk skrin Fold 11 Pro. Pengguna boleh menjadikan mana-mana aplikasi sebagai tetingkap terapung dan mengaksesnya dengan pantas di bahagian bawah kanan skrin apabila telefon dibuka.

Ciri-ciri foldable lain seperti Drag and Drop, Split Screen dan Instant View turut dikekalkan, selain Circle to Search yang kini turut diintegrasikan pada kamera Pixel.
Harga Pixel 11 Pro Fold di Malaysia
Pixel 11 Pro Fold kini dibuka untuk tempahan awal dan akan mula dijual secara rasmi di Malaysia pada 20 Ogos. Harga bermula RM7,999 untuk varian 256GB dan RM8,599 untuk varian 512GB.
Pembelian boleh dibuat menerusi Urban Republic, Senheng, Thundermatch dan Shopee. Pixel 11 Pro Fold turut tersedia didapatkan menerusi CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Google Pixel 11 Pro Fold.




